Theflowersellingboy

Jumaat, 11 Oktober 2013

Beruntungnya Orang Cuai dan Bodoh di Negeri Antah Berantah

Cerita dalam sebuah negeri bernama Antah Berantah.


Ali telah gagal dalam peperiksaan peringkat rendah. Semua mata pelajaran dia gagal. Dia berhenti sekolah dan memohon jawatan di sebuah jabatan kerajaan. Dia ditawarkan bekerja sebagai pekerja am, jawatan yang paling rendah dalam struktur organisasi  jabatan itu. Namun dia tetap bersyukur kerana dapat juga dia menyara hidup dengan rezki yang halal.

Dalam beberapa tahun bekerja, Ali berumah tangga. Dua tahun selepas itu dia dikurniakan dengan seorang anak. Tanggungan bertambah dan perbelanjaan sara hidup bertamabah juga. Kenaikan gaji tahunan tidak dapat menandingi kenaikan kos hidup. Tambah-tambah lagi harga barang selalu naik.

Tugas Ali antara lain adalah untuk membawa masuk dan keluar fail, surat dan dokumen-dokumen kedalam dan keluar dari bilik bos untuk sesuatu tindakan. Ini bermakna tugas Ali ini juga amat penting dalam menentukan cepat dan lambatnya sesuatu keputusan atau arahan itu disampaikan dan diambil tindakan atau sebaliknya. Jika lambat Ali melakukan kerjanya, lambatlah fail, surat dan dokumen-dokumen itu masuk ke dalam atau keluar dari bilik bos.

Antara dokumen yang penting ialah surat kelulusan yang telah ditandatangani oleh bos bagi sesuatu permohonan dari orang awam.
Pada suatu hari, Ali dalam kesesakan wang. Dia tidak mampu untuk membeli susu anaknya yang baru lahir itu. Dua hari yang lepas dia berikan anaknya minum air masak saja. Anaknya menangis, tidak mahu minum air masak itu.

Jadi Ali mencari jalan macam mana untuk dapat wang untuk membolehkannya membeli susu yang sangat diperlukan oleh anaknya. 

Semasa mengambil fail dari bilik bosnya Ali ternampak satu surat kelulusan yang telah ditandatangani oleh bosnya untuk dihantar kepada pemohon yang berjaya. Tiba-tiba Ali tersenyum melihat surat itu. 

Ali menulis alamat pemohon yang berjaya itu.

Sebaik habis kerja , Ali terus ke rumah seperti alamat yang diambil tadi. Maka berjumpalah dia dengan pemohon yang telah berjaya itu. Setelah  memperkenalkan diri, Ali menyatakan bahawa permohonan orang itu tidak diluluskan. Tapi, dia boleh membantu untuk mendapat kelulusan. Sebab dia kenal baik dengan bos. 

Pemohon itu tersangat suka hati dengan kesanggupan Ali menolongnya. Dia bersetuju memberi wang sebanyak tiga puluh ringgit seperti yang diminta oleh Ali. Lagipun wang itu, menurut Ali, untuk diberikan kepada bosnya sebagai pengeras.

Maka tersenyumlah Ali dalam perjalanan balik ke rumahnya, sambil singgah di sebuah kedai untuk membeli susu anaknya.

Entah macam mana perbuatan Ali ini di ketahui oleh pekerja lain di pejabat yang sama. Pekerja itu melaporkan kepada bos. Bos memanggil Ali. Ali mengesahkan, memang benar dia melakukannya.

Bos seorang yang tegas, ikut buku dan tidak bertolak ansur dalam hal rasuah. Lalu dia laporkan kepada Suruhaan Jaya Menangkap Perasuah.

Pendek cerita, Ali di dakwa dimahkamah

Dalam mahkamah hakim bertanya antara lain:

Hakim: Apa kelulusan kamu

Ali: Gagaldalam peperiksaan peringkat rendah.

Hakim: Subjek apa yang gagal

Ali: Semua gagal, tuan.

Hakim: Jadi awak ini orang bodohlah

Ali: Benar tuan. Saya bodoh.

Hakim kepada pendakwa: Mengapa kamu dakwa orang bodoh. Mana satu undang-undang di negeri Antah Berantah ini yang membolehkan orang bodoh didakwa.

Pendakwa: Minta maaf Yang Arif. Tapi orang kena tuduh ini mengambil rasuah. Dia bodoh atau cerdik, pada pendapat saya tidak relevan. Dia telah ambil rasuah, dan wajar dihukum.

Hakim: Kamu tahu tak , dalam negeri Antah Berantah ini, orang yang cuai dan bodoh tidak boleh didakwa walaupun berbilion duit yang hilang. Ini cuma 30 ringgit saja.

Pendakwa: Macam mana dengan laporan Ketua Audit Negeri Antah Berantah yang melaporkan berbagai kehilangan dan kerugian wang dan harta benda. Boleh diambil tindakan, Yang Arif?

Hakim: Jika disebabkan kecuaian dan dilakukan oleh orang bodoh, tindakan tidak boleh diambil. Itulah yang terkanun dalam undang-undang negeri Antah Berantah sejak dari dulu lagi, sehingga hari ini dan sampai bila-bila.

Pendakwa: Faham Yang Arif.

Hakim kepada Ali: Saya dapati kamu ini telah salah didakwa. Oleh itu kamu dibebaskan. Belanjalah wang 30 ringgit itu untuk membeli susu anak kamu. Kesian dia.

Ali: Terima kasih tuan. Minta maaf , Yang Arif.

Dengan tersenyum Ali melangkah keluar dari tempat kena dakwa. Dalam hatinya berkata, sungguh bertuah jadi orang bodoh sepertinya, ambil rasuahpun tak kena tangkap.
 
Tapi Ali tidak faham mengapa timbul cerita laporan Ketua Audit Negeri Antah Berantah tentang wang dan harta yang hilang serta kerugian berbilion ringgit itu diantara Hakim dan Pendakwa. Apa ada kena mengena dengan perbicaraan dia mengambil rasuah 30 ringgit.

'Aku ambil 30 ringgit saja. Dia orang hilangkan berbilion ringgit.Tak kan sama' , bisik hati kecil Ali.

Kemudian Ali tersenyum, "Ohhh aku dan orang itu sama rupanya. Aku bodoh, dia orang pun bodoh. Sebab tak ada undang-undang dalam negeri Antah Berantah untuk mendakwa orang cuai dan bodoh. Untung nasib badan, tak masuk penjara".



Tiada ulasan:

Catat Ulasan