Theflowersellingboy

Sabtu, 5 Oktober 2013

Kemiskinan dan Peperiksaan adalah faktor-faktor yang menyempitkan peluang untuk mendapat pendidikan yang lebih tinggi

Banyak faktor-faktor yang boleh menyempitkan peluang dan menjadi penghalang kepada seseorang untuk mendapat pendidikan yang lebih tinggi. Antaranya ialah kemiskinan dan peperiksaan.


1. KEMISKINAN

Keluarga yang miskin tidak mampu untuk memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anak. Setengahnya tidak menghantar anak ke sekolah. Sebaliknya anak-anak yang masih kecil itu dijadikan tenaga buruh untuk membantu menambah pendapatan keluarga. 

Ini tidak bermakna mereka tidak mempunyai keinginan untuk anak-anaknya mendapat pendidikan dan mengimpi dan mengharapkan kejaayaan anak-anaknya itu. 

Sebenarnya mereka terpaksa mengutamakan mencari makan  berbanding pendidikan anak. Kemiskinanlah yang membuatkan mereka melakukan seperti itu.

Orang miskin juga tidak mampu membantu pelajaran anak-anak dirumah. Tidak ada masa diperuntukkan untuk menyemak buku kerja anak dan bertanya perkembangan pelajaran, sama ada meningkat, menurun atau pada takuk yang sama.  Sebab i) mereka sendiri tidak ada pelajaran, ii) masa lebih di tumpukan untuk mencari nafkah hidup dan keperluan lain bagi sebuah keluarga.

Kerana miskin, tidak mampu menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau membeli buku kerja atau rujukan sebagai tambahan dari buku yang digunakan di sekolah.

Makanan yang dimakan oleh anak orang miskin terlalu kurang khasiat bagi pertumbuhan fizikal dan kecerdasan otak. Dalam kelas tidak ada daya ketahanan dan fokus dalam mengikuti pelajaran yang diajar. Rata-rata mereka gagal dalam semua atau sebahagian besar mata pelajaran. Sentiasa gagal ini membuatkan mereka tidak bersemangat untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Anak orang miskin mempunyai hanya sepasang saja pakaian sekolah. Sama ada bersih atau kotor dan berbau yang tidak menyenangkan, itulah yang dipakai sepanjang seminggu persekolahan. Ini membuatkan mereka rendah diri sehingga menjejaskan tumpuan kepada pelajaran dan keyakinan mereka untuk berjaya.

Tidak mampu membayar apa-apa bayaran dan fees yang dikenakan oleh sekolah. Jika pihak sekolah bertegas juga menuntut bayaran-bayaran tersebut, sedangkan ibubapa tidak mampu membayarnya, ianya memberi tekanan kepada anak-anak itu. Ada yang merasa malu, lantas tidak hadir ke sekolah.

Satu contoh tentang kemiskinan yang mematikan peluang untuk mendapatkan pendidikan lebih tinggi. Ini adalah cerita benar:

Pada tahun 1960an dulu, bagi melayakkan murid sekolah rendah belajar diperingkat menengah, seseorang murid itu mesti lulus peperiksaan darjah enam untuk ke sekolah menengah. Fees yang dikenakan ialah RM3.00.

Dalam kelas saya ada 30 orang murid darjah 6. Sebahagian besar ibubapa adalah orang miskin. Hanya  beberapa orang murid saja yang membayar fees tersebut, termasuk saya sendiri. Maka yang tidak bayar itu tidaklah dibenarkan untuk memasuki peperiksaan.

Saya juga anak orang miskin. Tapi saya bayar juga. Mana saya dapat wang ? Saya tidak minta dari ibubapa kerana saya tahu saya akan kena marah. Oleh itu saya dapatkan wang dengan cara   yang 'salah'. Mengumpul wang hasil dari jualan sekerap curian sewaktu menjaga lembu di sebuah estet getah. Jadi pencuri kecillah.

Hanya 2 orang saja yang berjaya dalam peperiksaan itu. Seorang perempuan, anak orang berada (menurut ukuran orang kampong) dan saya.

Apa jadi kepada 28 lagi kawan-kawan saya itu? Mereka menjadi penoreh getah dan membuat kerja-kerja kampong yang lain pada usia terlalu muda, usia 13 tahun. Mereka itu bodoh ke? Tidak, mereka itu mangsa kemiskinan.

Nasib baik saya buat ikhtiar. Kalau tidak, komputer pun saya takut. Apatah lagi nak berblogging.


2. PEPERIKSAAN

Peperiksaan adalah satu kaedah untuk mengetahui tahap kefahaman dan penerimaan seseorang pelajar terhadap mata pelajaran yang diajar. Ianya juga digunakan sebagai cara menentukan kedudukan seseorang pelajar berdasarkan gred dan markah yang diperolehi. Ianya juga sebagai alat saringan untuk menentukan kelayakan seseorang untuk memasuki sesuatu bidang dan aliran. Ia juga digunakan sebagai cara untuk 'menyingkirkan' pelajar dari meneruskan pelajaran, dan juga paspot untuk meneruskan pelajaran.

Saya mahu tumpukan kepada fungsi yang akhir saja iaitu peperiksaan sebagai cara untuk menyingkirkan pelajar dari meneruskan pelajaran, dan juga paspot untuk meneruskan pelajaran khususnya di peringkat sekolah rendah.

Sekarang , bilangan peperiksaan adalah kurang berbanding pada masa-masa yang lepas. Ada juga berita bahawa pada tahun hadapan peperiksaan UPSR (sekolah rendah ) akan dihapuskan. Tahniah, jika itu keputusan kerajaan.

Saya bukan anti peperiksaan. Bagi saya peperiksaan itu perlu dan wajib diadakan. Tapi jangan dijadikan peperiksaan itu cara untuk menyingkirkan pelajar dari dapat meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, khususnya peperiksaan diperingkat sekolah rendah.

Dulu diperingkat rendah, kita ada peperiksaan darjah enam untuk kesekolah menengah; peperiksaan darjah lima; dan peperiksaan darjah tiga.

Mesti lulus peperiksaan darjah enam jika mahu layak belajar diperingkat menengah. 

Apa baiknya peperiksaan darjah enam sebagai syarat untuk boleh belajar sekolah menengah seperti yang dilakukan pada tahun 1960an dulu? Ramai anak-anak yang gugur terutama anak-anak orang miskin. Satu aset yang maha penting bagi kemajuan negara. 

Mereka itu bukan tidak mampu belajar jika diberi peluang dan bantuan.

Walaupun ketika ini peperiksaan-peperiksaan yang ada diperingkat rendah tidak menghalang untuk meneruskan pelajaran diperingkat menengah, tetapi ada sebahagian murid terutama anak orang miskin yang tidak mempunyai daya tahan yang kuat untuk menghadapinya. Lalu setengahnya, tidak suka atau ada semangat untuk meneruskan pelajaran. Bagi mereka peperiksaan itu membebankan.   


3. KESIMPULAN

Sempitnya peluang untuk mendapatkan pelajaran tinggi dan terhalangnya seseorang untuk mendapatkan pelajaran itu yang antaranya disebabkan kemiskinan dan peperiksaan , ianya satu kerugian besar kepada negara kerana modal insan yang tidak dapat dimenfaatkan sebaik-baiknya untuk kemajuan negara.  Maka kerajaan sewajarnya melihat perkara ini sebagai satu keutamaan yang perlu dititikberatkan dalam dasar, program , skim dan perlaksanaan berkaitan dengan pendidikan yang bertujuan bagi menentukan kemiskinan dan peperiksaan bukan menjadi penghalang dan menyempitkan peluang untuk rakyat mendapat pendidikan tinggi dan lebih baik.

Kerajaan kena mulakan dengan DASAR PELAJARAN PERCUMA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan