Theflowersellingboy

Ahad, 20 Oktober 2013

RASUAH dan PENGARUH KUASA: Pemilihan Jawatan Dalam Politik




Dua perkara yang pasti berlaku dalam pemilihan jawatan dalam politik ialah 
i) AMALAN RASUAH dan 
ii) MENGGUNAKAN KUASA UNTUK MEMPENGARUHI KEPUTUSAN

Dua hal ini berlaku dalam semua parti politik, khususnya yang diamalkan oleh ahli-ahli parti politik di Malaysia.

Ini bukan tuduhan, persepsi atau sangkaan. Ini adalah sesuatu yang disahkan oleh ahli politik itu sendiri. Bukan calang-calang ahli yang mengesahkan. Ahli politik yang telah menjadi presiden sebuah parti yang begitu lama sekali, Tun Dr. Mahathir. Menurut yang dilaporkan bahawa beliau terpaksa memberi RM 200.00 seorang bagi mendapat sokongan dalam pemilihan jawatan parti. 

Disamping itu beliau juga berpendapat bahawa anaknya Datuk Mukriz yang bersaing untuk jawatan Naib Presiden UMNO mempunyai peluang 50 : 50 atau lebih kurang dari itu kerana anaknya bukan seorang calun yang direstui oleh PM.

Keputusan pemilihan itu semalam mengesahkan dua hal tersebut iaitu amalan rasuah atau yang selalu dipanggil sebagai politik wang dan pengaruh kuasa dari pimpinan tertinggi. 

Walaupun belum ada lagi bukti dapat diketengahkan, tapi pengakuan beberapa pihak misalnya Saudara Saifuddin Abdullah bahawa beliau tewas dalam persaingan jawatan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Temerluh adalah disebabkan tidak mengamalkan politik wang, sudah sebenarnya mengesahkan permainan rasuah ini seperti yang selalu disebut-sebut oleh ahli parti.

Anihnya ialah rata-rata ahli benci rasuah dan tidak suka kepada politik wang semenjak dari dulu dan ketika ini, dan mungkin juga pada masa akan datang. Tapi amalan politik wang ini masih berterusan dilakukan disemua peringkat.

Ertinya rasuah adalah satu budaya politik. Rasuah adalah amalan yang dibenci tapi digunakan sebagai satu jalan bagi memenangi sesuatu kedudukan dalam politik.  Nampak gaya, orang politik menyamakan rasuah itu sama seperti perceraian dalam Islam.  

Perceraian adalah dibenci oleh Allah dan juga masyarakat. Tapi ianya diharuskan. Mungkin mengambil kaedah perceraian itu maka orang politik melakukan rasuah dalam pemilihan jawatan. Mereka benci rasua, tapi demi jawatan yang diidamkan rasuah itu menjadi harus dilakukan. Setengah pihak mengatakan wajib dilakukan, jika mahu menang.

Hal rasuah dan penggunaan kuasa dalam mempengaruhi ahli membuat pilihan berlaku dalamsemua parti politik, bukan terhad kepada UMNO saja. Cuma yang berbeza ialah ahli-ahli UMNO yang bersaing untuk sesuatu jawatan mempunyai wang yang lebih dari ahli politik parti yang lain. Ditambah pula kuasa eksekutif yang dimiliki yang mampu menawar berbagai kedudukan dan imbuhan dengan cara yang juga diluar peraturan.

Oleh kerana ianya sudah menjadi budaya politik, rasuah dan penggunaan kuasa untuk mempengaruhi keputusan pemilihan tidak akan dapat dihapuskan. Siapa pun pimpinan parti politik, dan apa pun parti politik, dua hal ini akan terus berlaku. Parti yang menguasai kerajaan akan melakukannya pada skala yang lebih besar dari parti politik bukan kerajaan.

Selain ianya sudah menjadi satu budaya, amalan yang tidak baik dari segi membangunkan sebuah negara bangsa yang bermaruah, terus menerus dilakukan adalah disebabkan perbuatan-perbuatan itu tidak pernah diambil sebagai sesuatu yang serious oleh pihakyang melaksanakan tanggungjawab bagi memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Maklumat yang ada, jika berlaku tuduhan amalan rasuah, ianya hanya dibawa ke Jawatankuasa Disiplin Parti untuk sesuatu tindakan.

TIDAK ADA KES SESEORANG YANG DITUDUH MENGAMALKAN RASUAH POLITIK ITU DISIASAT OLEH SPRM dan DIDAKWA DI MAHKAMAH.

Maka implikasinya terlalu besar dan merosakkan negara. Sebab yang menjadi pemimpin adalah mereka yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa. Siapa saja ahli politik dan dari apa parti pun, jika diberi amanah untuk menerajui negara , akan gagal menjalankan amanah dengan baik, malah akan meneruskan amalan itu kerana amalan itulah yang mengekalkan mereka untuk berkuasa.

Rasuah dan salah gunakuasa adalah satu lingkaran maut bagi sebuah negara dan bangsa (vicious circle). Kerana itulah hanya caranya bagi mendapatkan kuasa dan kedudukan dalam parti politik dan kerajaan, khususnya di Malaysia.

Tanyalah Tun Dr. Mahathir, PM yang paling lama berkuasa di Malaysia. Berapa wang yang telah mengalir cara ini sepanjang beliau menjadi PM, dan berapa kali pengaruh jawatan digunakan dalam persaingan jawatan politik. Sudah tentu beliau boleh menjawabnya.

Jadi mengapa perlu dihairankan berlakunya perlakuan rasuah dan salah gunakuasa dalam menguruskan wang dan aset negara. Laporan Tahunan Ketua Audit Negara hanya cebisan kisah yang tidak lengkap tentang hal ini. Laporan yang lengkap boleh didapatkan dari mereka yang berkuasa. Cuma mereka ini tidak bersedia untuk melaporkannya saja. Sedangkan pengistiharan harta, tidak mahu dilakukan, inikan pula melaporkan perbuatan yang durjana. 

Namun Allah maha mengetahui.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan