Theflowersellingboy

Isnin, 21 Oktober 2013

TIGA ORANG KAWAN LAMA: Kesemuanya Tewas

Cerita dari seorang kawan, katanya:

Saya ada 3 orang kawan yang masuk bertanding dalam perebutan kedudukan dalam UMNO baru-baru ini. Seorang tewas bagi menduduki Majlis Kerja Tertinggi dan dua orang tewas dalam persaingan Naib Presiden. Malang sungguh nasib mereka. 

Ketiga-tiga mereka itu bukan calang-calang orang pada suatu ketika dulu. Mereka pernah mengetuai negeri masing-masing bagi tempoh yang melebihi 10 tahun. Ada yang berjawatan menteri dan timbalan menteri persekutuan. Ada yang pernah menjadi KetuaPemuda UMNO. Ada yang pernah menjadi Naib Presiden. Ada juga yang menjadi presiden kepada pertubuhan belia antara bangsa.

Ya, rekod mereka hebat sekali. Malangnya kalah juga akhirnya dalam persaingan merebut kedudukan dalam Parti UMNO baru-baru ini.

Adakah mereka kalah disebabkan faktor usia kerana sudah menjadi ahli 60an? 

Saya fikir bukan itu sebabnya kerana ramai juga yang menang berusia 60an.

Adakah mereka kalah kerana aliran pemikiran tidak sejajar dengan aliran pemikiran sebahagian besar ahli UMNO ketika ini?

Apa dia sebenarnya aliran pemikiran majoriti ahli UMNO? Transformasi?

Apa pula maksud transformasi yang difahami dan dikehendaki oleh majoriti ahli UMNO?

Saya fikir kekalahan kawan-kawan saya itu tidak ada kaitan langsung dengan aliran pemikiran majoriti atau pemikiran yang bertujuan kearah transformasi. Malah maksud dan pengertian transformasi juga tidak sama dikalangan ahli-ahli.

Jadi mengapa mereka yang dulu popular boleh menerima nasib yang malang. Saya mengatakan malang ialah kerana bilangan undi yang mereka terima terlalu amat kecil berbanding dengan pesaing-pesaing yang lain, termasuklah pesaing yang kali pertama memasuki pertandingan bagi jawatan yang sama. 

Apakah jasa-jasa mereka sudah hilang kesannya dalam hati ahli-ahli yang mengundi?

Saya cuba mencari jawapan walaupun saya bukan ahli UMNO dan tidak juga biasa dengan selok belok, sepak teranjang dan berbagai lagi mainan politik yang hodoh dan tidak senonoh dalam persaingan bagi mendapat sesuatu kedudukan dalam parti, khususnya UMNO.

Saya cuba tinjau 3 faktor dibawah yang mungkin menjadi sebab kekalahan mereka iaitu

i) masalah moral (sama ada sebagai satu persepsi atua realiti)
ii) tiada kedudukan dan kuasa dan disebabkan itu
iii) kurang kemampuan kewangan.

Tentang i) perlu saya perjelaskan bahawa persepsi sebahagian besar orang sama ada ahli parti dan bukan ahli bahawa orang politik mempunyai masalah moral yang teruk, tanpa kecuali, meliputi semua peringkat. Apatah lagi jika ianya satu realiti dan ada yang telah terbukti dan boleh dibuktikan. 

Maknanya, pada pendapat saya soal moral bukan satu faktor yang penting dalam pertimbangan ahli.

Mengaitkan ii) sebagai faktor kekalahan, saya perlu lihat kedudukan kawan saya itu pada tempoh persaingan jawatan itu, seorang demi seorang.

Kawan pertama saya ini tidak mempunyai kedudukan politik yang baik. Hanya ahli biasa. Diberikan tanggungjawab sebagai pengerusi satu GLC persekutuan.

Seorang lagi tewas dalam pilihanraya yang lepas. Diberikan jawatan sebagai pengerusi satu perbadanan dan baru diperakukan oleh negeri untuk menjadi senator. Menang sebagai ketua bahagian.

Manakala yang ketiga pula adalah pengerusi kepada GLC persekutuan yang lantikannya menimbulkan banyak kontroversi. Berjaya dalam pilihanraya yang lepas.

Kelihatan bahawa kawan-kawan saya itu tidak ada kedudukan dalam kerajaan. Maka mereka itu tidak ada kuasa. Mereka itu tidak boleh menjanji apa-apa bantuan atau imbuhan.

Tiada kedudukan dalam kerajaan, tiadalah kuasa. Dan tiada kuasa , tidak dapat menjanjikan imbuhan. 

Mereka terpaksa mengeluarkan wang dari poket sendiri. Mampukah mereka melakukannya? 

Katakan wang yang diperlukan bagi mendapat sokongan dan undi ialah RM200.00 seorang (angka yang diberi oleh bekas PM Tun Dr.Mahathir) maka bagi 150,000 orang pengundi jumlah wang yang diperlukan ialah RM30,000,000. 

Mampukah kawan-kawan saya itu mengeluarkannya dari poket? Ini tidak termasuk belanja-belanja yang lain seperti perjalanan dan penginapan.

Saya yakin mereka tidak mampu. Kalau pun mampu mereka tidak akan melakukannya kerana risiko kalah terlalu besar.

Mungkin juga mereka kalah kerana tidak memaninkan sentimen melayu?

Benar, ada kawan saya yang cuba memainkan sentimen melayu itu. Tapi kalah juga. Sebab dia tiada kedudukan yang membuatkan orang boleh percaya ia dapat melakukan apa yang dia cakapkan itu.

Jadi kesimpulannya kekalahan kawan-kawan saya itu bukanlah kerana moral. Tidak juga kerana tidak pernah berjasa dan berkhidmat dengan baik dan cemerlang khususnya yang menfaatkan orang Melayu. Atau tidak dapat memberi idea yang baik sejajar dengan kehendak transformasi pimpinan. Bukan juga kerana sudah memasuki usia 60an.

Kawan-kawan saya itu kalah kerana pada masa persaingan itu mereka tiada kedudukan dalam kerajaan sama ada negeri atau persekutuan. Dengan demikian tiada apa-apa yang boleh menggembirakan ahli-ahli yang mengundi kawan-kawan saya itu pada masa depan. 'Buat abeh bogeh', kata orang negeri, jika mengundi kawan-kawan saya itu.

Apa moral cerita kawan saya ini mengenai kawan-kawannya yang tiga orang itu yang tewas dalam persaingan jawatan politik? 

Fikirlah sendiri. 

Jangan kata bahawa kedudukan, kuasa dan wang adalah penentu kepada persaingan jawatan dalam parti. Dan jangan sekali-kali kata ada amalan politik wang. Jauhkan dari berkata amalan rasuah dalam pemilihan jawatan politik merupakan satu kemestian.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan