Theflowersellingboy

Isnin, 7 Oktober 2013

Berbahas Memang Bukan Budaya UMNO




Hishamuddin Hussin yang bertanding dan mempertahankan satu dari 3 jawatan Naib Presiden UMNO tidak bersetuju diadakan perbahasan sebagai satu dari kaedah dalam mempromosikan diri dalam persaingan merebut jawatan itu. Alasannya ialah persaingan itu adalah persaingan dalam keluarga UMNO sendiri.
 
Tapi Mukhriz Mahathir yang mencuba nasibnya pada kali pertama bagi jawatan yang sama menyatakan beliau bersetuju dengan cadangan mantan TPM Musa Hitam untuk diadakan perbahasan dikalangan mereka yang bertanding jawatan itu. 
 
Pesaing-pesaing lain yang terdiri Zahid Hamidi, Shafie Apdal, Ali Rustam dan Isa Samad belum lagi memberikan reaksi terhadap cadangan mantan TPM itu. 

Mungkin ada orang yang buat kesimpulan terutamanya ahli UMNO yang menyokong Mukhriz mengatakan Hishamuddin ini penakut orangnya. Benar, satu ketika dulu dia pernah menghunus keris, seperti pahlawan Melayu UMNO tapi dia tidak sanggup berperang dengan hujah sesama ahli. Dia berani berkeris. Itupun memberi amaran kepada pihak luar. 

Maknanya dia bukanlah penakut orangnya. Cuma cara beraninya itu berbeza.

Sebenarnya Hishamuddin ini mempertahankan sesuatu yang menjadi rukun, kepercayaan dan pegangan UMNO. Dia mempertahankan budaya UMNO itu sendiri. Jadi jika ada penyokong-penyokong Mukhriz dan ahli UMNO yang lain mengatakan Hishamuddin ini penakut kerana menolak perdebatan, orang-orang ini telah menghina UMNO. 

Rukun UMNO dalam hal persaingan bagi sesuatu kedudukan ialah menolak perdebatan. UMNO berpegang secara konsisten bahawa debat bukan cara terbaik dalam menilai kemampuan seseorang. UMNO sentiasa percaya bahawa debat itu bukan budaya UMNO.

Jadi mengapa mahu kata Hishamuddin penakut? Beliau mempertahankan Budaya UMNO dari tercemar. Dan Hishamuddin tidak keseorangan.

Masihkah kau ingat atau lupakah kamu akan pendirian kepimpinan UMNO (termasuk Hishamuddin dan Mukhriz) semasa menolak beberapa kali ajakan, jemputan dan cabaran Anwar Ibrahim untuk berdebat semasa kempen PRU yang baru lepas?  Apa kata-kata kepimpinan UMNO termasuk mantan PM.

Sudah tentu Melayu dalam UMNO tidak ingat dan mudah lupa. Kerana mereka masih lagi dibuai dengan kata-kata yang merintih lagi menghayalkan  dari sebuah puisi yang dideklimasikan oleh Mahathir pada suatu ketika yang telah berlalu: Melayu Mudah Lupa, yang sepatutnya Melayu UMNO Mudah Lupa.

Tapi tidak Melayu selain UMNO. Masih segar bugar tanpa tercemar dalam fikiran, perasaan dan hati kecil akan kata-kata yang sentiasa diulang sebut bahawa debat itu bukan budaya Malaysia. Rasanya masih terngiang-ngiang ditelinga akan kata-kata yang dihamburkan itu semasa menolak ajakan, jemputan dan cabaran berdebat dari Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semasa kempen PRU 13 yang lalu.

Cuba fikirkan adakah perbezaan  diantara Hishamuddin dan kepimpinan UMNO dalam menolak perdebatan.

Sama saja. Satu (Hishamuddin) mengatakan tidak wajar berdebat dalam keluarga. Maknanya bukan budaya UMNO. Yang satu lagi (kepimpinan UMNO) kata debat  bukan budaya Malaysia.

Satu bukan budaya UMNO. Satu lagi bukan budaya Malaysia. 

Pokoknya ialah persaingan secara berdebat. Satu, bersaing untuk jawatan naib presiden UMNO. Satu lagi bersaing untuk memimpin negara.

Ertinya bersaing untuk satu kedudukan yang ada kuasa.

Apakah sebenarnya tafsiran dan pengertian Hishamuddin dan UMNO tentang keluarga. Adakah beliau dan orang UMNO menganggap keluarga  itu hanya sesama ahli UMNO.  Bukankah sesama rakyat Malaysia, kita juga sebagai satu keluarga, sebuah keluarga yang besar.

Menafsir apa yang beliau perkatakan dalam menolak debat, saya berpandangan bahawa Hishamuddin tidak menganggap selain dari ahli UMNO itu termasuk dalam tafsiran keluarga. Ini bermakna jika selain dari UMNO yang mengajak beliau berdebat, beliau akan terima, kerana bukan dalam satu keluarga. 

Tapi kenapa ajakan, jemputan dan cabaran Anwar dulu untuk berdebat tiada seorang ahli UMNO yang mahu menerima, termasuk Hishamuddin dan Mukhriz ? Pelik. Tapi benar berlaku.

Mengapa pula Mukhriz bersetuju untuk berdebat dalam persaingan naib presiden UMNO.  Adakah ini bermakna Mukhriz mahu menjadikan debat itu sebagai budaya UMNO dan bukan budaya Malaysia. Ertinya beliau hanya mahu berdebat dengan  ahli UMNO bagi persaingan mendapatkan sesuatu kedudukan. Beliau tidak mahu berdebat dengan selain dari ahli UMNO. 

Terlalu pelik walaupun benar.

Seorang tidak mahu berdebat kerana ada ikatan kekeluargaan. Dan seorang lagi tidak mahu berdebat jika  tiada ikatan kekeluargaan.

Dan mereka menafsirkan kekeluargaan dalam pengertian yang sempit.

Bagi Hishamuddin, Mukhriz adalah ahli keluarganya.  Mukhriz pun mempunyai perasan yang sama terhadap Hishamuddin. Sebab itu Mukhriz mahu hanya berdebat dengan ahli keluarganya, pihak luar dianggap tidak ada ikatan kekeluargaan dan tidak penting.

Itulah yang sebenarnya yang membentuk sikap kedua-dua pemimpin UMNO itu dan ahli-ahli UMNO terhadap rakyat selain dari UMNO termasuk orang Melayu bukan UMNO.  Nampaknya semacam berbeza. Tapi dilubuk hati adalah sama. 

Oleh kerana itulah bagi UMNO, rakyat selain dari ahli UMNO termasuk orang Melayu adalah tidak penting dan tidak perlu diberikan layanan seperti yang diberikan kepada ahli UMNO. Alasan: Bukan satu keluarga (logik Hishamuddin).
Alasan: Tiada ikatan kekeluargaan (logik Muhkriz).

Alasan kedua-duanya sama saja.

Kedua-duanya hendak mengelakkan dari berbahas jika dirasakan kedudukan terjejas. Sama saja.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan