Theflowersellingboy

Selasa, 8 Oktober 2013

Pergi lagi seorang sahabat: Semoga Allah Merahmati Rohnya

 
 
 
Sewaktu menyapu sampah dan daun-daun kering yang berguguran di halaman rumah, waktu itu menghampiri pukul 9 pagi, menerima panggilan talipon dari kawan lama memaklumkan seorang dari sahabat , kawan satu kelas,  telah meninggal dunia akibat sakit kanser prostet. 
 
Kawan itu (Arwah) tinggal di Seremban, mantan pengarah pendidikan pelajaran Negeri Sembilan.
 
Tertusuk dihati sedih dan sesal. Seminggu sebelum itu, dalam sebuah majlis perkahwinan anak seorang kawan , kawan satu kelas juga,  yang tinggal di Seremban, berita tentang keuzuran arwah ini telah disampaikan. 
 
"Baik kau pergi tengok cepat", kawan itu menggambarkan betapa perlunya saya segera melawat arwah itu. 
 
Saya tidak tahu alamat rumahnya , dan tidak juga biasa dengan kawasan di Seremban, lantas mengajak sama kawan itu untuk pergi menziarahi. Tapi dia mempunyai satu lagi jemputan kahwin di Bangi. Jadi kami berjanji untuk menetapkan hari untuk melawat sahabat yang uzur itu.
 
Malang sekali, semalam pukul 9 pagi sahabat itu telah kembali menemui Allah SWT. Semoga rohnya dimasukkan dikalangan hamba Allah yang dirahmati.
 
Ini satu pengajaran yang amat berguna kapada saya. Saya tidak segera melawat kawan yang uzur itu. Sepatutnya apabila saja mendengar perkhabaran seseorang apatah lagi kawan yang dikenali, satu kelas pula sepanjang persekolahan sehingga tamat tingkatan enam,  itu sakit atau uzur, saya mesti bersegera melawat kawan itu. 
 
Sebab yang saya tidak bersegera melawat itu ialah kerana tidak tahu alamat rumah. Saya tidak tahu jalan ke rumahnya. Saya   mahu melawat bersama dengan  kawan yang lain. 
 
Saya lupa bahawa orang yang terlalu uzur, apatah lagi mengidap penyakit kanser, harapan untuk sembuh tipis sekali. Dari segi hukum, Allahlah yang maha mengetahui. 
 
Saya sepatutnya tidak melengah-lengahkan masa untuk menziarahinya.    

Alamat rumah bukan satu masalah.

Alamat rumah boleh saja diminta dari kawan yang lain. Jalan menuju arah rumahnya, boleh saja ditanya dengan kawan atau sesiapa yang saya jumpa. Memang ianya boleh melambatkan sampai ke rumah kawan itu, mungkin tersalah pilih jalan dan tersalah masuk simpang, tapi akhirnya saya percaya saya akan sampai juga ke rumah kawan itu. 

Buktinya, semalam saya dapat juga mencari rumahnya, berdasarkan alamat yang diberikan oleh kawan walaupun banyak kali turun dari kereta bertanya seseorang arah tuju ke rumah kawan itu. 

Dan saya tidak sepatutnya menunggu kawan lain untuk menziarahi sama. Mungkin kawan saya itu mempunyai hal lain semasa saya mempunyai masa lapang untuk melakukan ziarah.

Itulah yang tertusuk di hati yang amat dikesalkan apabila menerima berita sedih itu.

Jadi apabila menerima berita pemergian sahabat itu semalam, saya dengan segera berhenti kerja mengutip dan menyapu sampah dan daun-daun kering di halaman. Pada jam 11, pagi bertolaklah saya dan isteri ke Seremban, walaupun kereta yang dipandu tidak berapa 'sihat'.

Alhamdulillah, dapat juga mencari rumah arwah, dengan melakukan beberapa kesilapan, salah masuk simpang.

Di rumah arwah ketika itu telah sedia ada orang yang datang menziarah dan menguruskan jenazah. Kawan-kawan satu kelas dan satu sekolah juga turut hadir.

Dapat juga saya sedekahkan bacaan surah Yaasin. Semoga Allah merahmati roh arwah sahabat saya itu Rohani Bin Syariff.

Waktu jenazah hendak dibawa ke satu masjid yang agak jauh juga dari rumah arwah, sayapun mahu ikut sama bersolat jenazah. Tapi malang sekali kereta yang tidak sihat itu buat hal pula. Injin tidak boleh hidup. Maka tidak dapatlah saya bersama-sama bersolat jenazah, dan mendoa serta mengaminkan doa yang dilafazkan oleh imam. Hanya dari jauh saya mendoakan kerahmatan diberikan Allah keatas roh sahabat saya itu.

Semasa kami bertemu dengan kawan-kawan, ada diantaranya bertahun-tahun tidak berjumpa, satu perkara yang sama diantara kami ialah susuk tubuh badan kami serta perhiasannya. Semuanya tidak secergas seperti dulu, walaupun dulu setengahnya adalah pemain bola sepak, atlit , pemain takraw yang melibas seperti ikan pari. Tidak pada hari pertemuan semalam. Semua menunjukkan sifat-sifat keletihan dan mudah penat.

Perhiasan di kepalapun sudah berubah warna dari hitam pekat dan legam, menjadi putih semuanya. Itu yang ada rambut, masih lagi boleh tahan. Tapi ada kepala yang sudah botak yang dipagari rambut dikiri kanan. Bahagian tengah kepala sudah licin boleh dijadikan cermin. 

Kami menyenaraikan jenis-jenis penyakit. Tekanan darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, kanser prostet dan sakit jantung. Sakit lain seperti demam, selesema dan batuk, tidak lagi termasuk dalam senarai penyakit idapan kami yang telah memasuki usia 60an.  Kalau idap pun, sudah tak jadi hal lagi.

Satu atau dua atau tiga dari lima penyakit yang disenaraikan itu adalah penyakit yang kami semua idapi, termasuk saya. Maka terkeluarlah kata gurauan, "Who is next".

Ya, selepas arwah ini, tiada seorang pun yang tahu siapa yang lebih awal mengikuti arwah. Hanya Allah saja yang tahu.

Saya akan melihat balik album lama semasa bersekolah dulu, cuba mengira-ngira berapa orang kah lagi yang masih meneruskan kehidupan dan berapa yang sudah pergi dari jumlah kalau tidak silap saya 36 orang.  

Pergi lagi seorang sahabat sekolah. Semoga Allah merahmati rohnya.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan