Theflowersellingboy

Rabu, 9 Oktober 2013

Keluarkan Peluh Melalui Senaman: Ianya Satu Kaedah Penjagaan Kesihatan Yang mudah dan Murah. Lakukan Secara Konsisten.



Biasanya,  selepas solat Subuh , saya dan isteri akan melakukan senaman pagi bermula pada pukul 6.55 pagi. Kami berjalan pantas (bukan berjogging) mengelilingi kawasan halaman rumah yang bertar sebanyak 100 pusingan. Menurut jarak langkah kaki saya, satu pusingan kawasan bertar itu memerlukan 63 langkah. Ertinya tamatnya 100 pusingan , saya telah melakukan 6,300 langkah, bagi tempoh hampir satu jam (ada masa 52 minit, dan ada juga 48 minit).

Kami berjalan cepat tanpa berhenti sehingga 100 pusingan. Bagi satu pusingan ia mengambil masa setengah minit atau satu minit sebanyak dua pusingan. 

Kami memulakan langkah dengan perlahan pada pusingan permulaan. Langkah semakin cepat selepas 5 atau 6 pusingan. Dan pada pusingan 20 terakhir , langkah mula perlahan tapi lebih cepat dari langkah pada pusingan awal. Pada pusingan 10 sehingga 80 ianya agak laju berbanding pada pusingan awal dan akhir. Sebab itulah ianya mengambil masa 1 jam, bukan 50 minit, jika kami berjalan pada kederasan setengah minit satu pusingan.

Sambil kami berjalan, secara perlahan atau di dalam hati menyebut Suhhanallah, Walhamdulillah, Walaila Haillahlah Allahhu Akbar.

Saya dapati bahawa setelah 15 minit berjalan, badan mula terasa panas tapi belum melembab.  Pada minit ke 22, badan mula rasa melembab tapi peluh masih belum mengalir. Menuju ke minit 30 minit, peluh mula keluar, ada terasa aliran air dari kawasan di kepala menurun kebawah khususnya di kawasan telinga. Tapi ia masih lagi bukan butiran peluh yang besar yang boleh gugur dari anggota badan ke bawah/tanah. Hanya apabila memasuki 49 minit keatas, peluh mula berjijiran jatuh dari anggota badan ke tanah.

Semasa peluh berjijiran itulah saya rasa seronok dan puas hati melakukan senaman, semacam satu kejayaan mendapat sesuatu yang kita idamkan. Ya, saya tersangat idamkan untuk mengeluarkan peluh dari anggota badan. Selagi peluh tidak jatuh menitis dari anggota badan, saya akan teruskan senaman berjalan cepat. Setakat hari ini ianya tidak pernah menggagalkan harapan saya itu.

Mengikut pengamal kesihatan, senaman adalah satu cara yang baik untuk mengeluarkan peluh dan menghancurkan lemak  dalam badan. Peluh yang keluar itu juga dikatakan sebagai mengandungi bahan-bahan yang tidak diperlukan oleh anggota badan. Maknanya jika tersimpan dalam anggota badan, ianya tidak berguna. Tidak berguna bermaksud tidak dapat dimenfaatkan untuk kesihatan tubuh badan. Maka ianya akan menjadi agen kepada kemusnahan anggota badan. Jadi lebih baik dibuang atau dikeluarkankan saja dari mendiami dalam anggota badan kita.

Caranya mudah saja. Tidak perlu buat pembedahan membuang lemak berlebihan, misalnya. Tidak perlu menghadiri kursus dan memakan ubat atau makanan tambahan (supplement) untuk melangsingkan atau mengurangkan berat badan. Jangan menyusahkan diri membeli peralatan dan mesin senaman yang mahal-mahal atau menyediakan sebuah jim di rumah bagi menghancurkan lemak dalam badan. 

Ke taman rihat dan rekreasi untuk melakukan senaman? Yang ini pun sepatutnya bukan pilihan utama jika tempat itu jauh dari rumah kita. Kerana ianya melibatkan kos dan masa. Kos dan masa ini terlalu penting. Masa perjalanan pergi balik itu kita boleh gunakan untuk kerja lain. Lagipun, bukankah harga minyak telah naik. Mengapa kita menambahkan lagi beban sara hidup kita.

Ke jim? Itu juga bukan keutamaan. Ianya mahal dan jauh dari tempat kediaman kita. 

Hanya dengan bersenam kita boleh mengeluarkan peluh dan menghancurkan lemak dalam badan. Tapi kita perlu pilih senaman yang tidak menyusahkan kita dari segi kos dan masa.  Dan sudah tentu sesuai dengan keadaan fizikal dan usia kita.

Saya memilih senaman berjalan cepat, sesuai dengan kemampuan fizikal dan usia saya. Saya memilih halaman rumah saya yang ada dihadapan mata. Tidak perlu memandu ke taman rihat dan rekreasi yang agak jauh dari rumah. Lagipun udara dikawasan rumah adalah bersih.

Jika kita tiada kawasan halaman yang mencukupi, kita boleh saja berjalan dikawasan-kawasan/jalan yang berhampiran dengan rumah. Tidak perlu pergi jarak yang jauh. Buat pada jarak yang dekat dengan melakukan banyak kali ulangan dalam tempoh satu jam. Saya percaya peluh akan berjijiran dan bertitisan keluar sehingga basah lencun pakaian kita. Masa itu kita akan rasa seronok. 

Saya percaya peluh yang keluar itu sama fungsinya dengan kencing dan berak iaitu mengeluarkan bahan yang tidak memberi menfaat kepada anggota badan. Jadi mengapa kita tidak mahu mengeluarkan peluh? Dan mengapa kita perlu mencari jalan yang susah yang melibatkan kos dan masa bagi mengeluarkan peluh sedangkan ada cara yang mudah, murah dan menjimatkan masa.

Lakukanlah senaman dihalaman rumah atau berdekatan dengan rumah secara berjalan cepat da;am tempoh 45 minit atau 1 jam. Amalkan secara konsisten. InsyaAllah jika kita seorang bapa/ibu, kita akan berada pada tahap kesihatan yang tidak merisau dan menyusahkan kita dan anak-anak kita.

Senaman berjalan cepat ini hanya memerlukan  track suit atau apa saja seluar dan baju , dan kasut serta stokin. Itu saja. Murah. Sesungguhnya ubat yang paling mujarrab dan murah untuk menjaga kesihatan ialah melalui senaman.  
 


 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan