Theflowersellingboy

Jumaat, 4 Oktober 2013

Menghadapi Realiti Kehidupan: Transformasi Sikap dan Tindakan.

 
 
 
Realitinya, harga barang dan perkhidmatan memang naik. Kerajaan hadapi. Rakyat pun hadapi. 
 
Kerajaan jangan menafikan. Rakyat pula mesti bersama bantu mengatasinya. 
 
Kerajaan jangan banyak berhelah dan memberikan bermacam-macam alasan yang tidak munasabah, tidak masuk akal, menyakitkan hati rakyat yang telah sedia terdera dengan kos sara hidup yang tinggi.
 
Kerajaan jangan membodohkan rakyat walaupun sebahagian besar rakyat yang telah memberi undi dulu tidak memahami tentang selok belok pengurusan ekonomi.
 
Tapi mereka tahu  2  ringgit sepuluh sen itu lebih tinggi dari 1 ringgit sembilan puluh sen. Mereka kata harga minyak naik. Kerajaan kata kerajaan tidak naikkan harga minyak, kerajaan kurangkan subsidi saja. Harga minyak ditentukan oleh pasaran dunia.
 
Menteri ada kereta sendiri. Besar kemungkinan lebih dari satu. Menteri pergi beli minyak RON 95, pakai wang sendiri. Menteri pun bayar 2 ringgit sepuluh sen seliter berbanding dulu sebanyak 1 ringgit sembilan puluh sen seliter. Menteri kata harga tak naik? Biar betul.  

Saya faham mengapa menteri kata harga itu tak naik. Apatah lagi dalam banyak keadaan menteri itu menggunakan kereta rasmi sama ada untuk tujuan rasmi atau peribadi. Minyak tidaklah percuma. Kena bayar juga 2 ringgit sepuluh sen seliter kalau menteri itu pakai RON 95. Kalau pakai RON 97, kena bayar 2 ringgit tujuh puluh sen. 
 
Siapa bayar? Menteri tak bayar. Yang bayar ialah rakyat. Sebab itu menteri dengan muka selamba saja memberitahu rakyat, kerajaan tidak menaikkan harga minyak.
  
Dalam menghadapi kenaikan harga sikap menteri dan kerajaan itu tidak betul. 
 
Mengapa perlu berselindung disebalik harga pasaran dunia. Mengapa pula perlu membandingkan harga petrol negara asing. Mengapa pula perlu mengelirukan fikiran rakyat dengan mengatakan kerajaan hanya kurangkan subsidi minyak dan bukan naikkan harga.
 
Apa yang perlu dibuat oleh kerajaan atau menteri itu ialah mengurangkan kesan kenaikan harga keatas kehidupan rakyat. Bukankah itu janji pilihanraya, bekerja dan berkhidmat demi kesejahteraan rakyat.
 
Jadi sikap kerajaan dan menteri itu mesti betullah dalam menghadapi kenaikan harga. Sikap yang betul akan menzahirkan kata hati yang betul. Tidaklah cakap yang tidak masuk akal dan mengelirukan. Kata hati yang betul menzahir dan menggerakkan tindakan yang betul. Tidak menyalahguna kuasa, tidak boros menggugunakan wang awam, tidak membazir, tidak melakukan rasuah. Yang mahu dilakukan ialah bagi membantu mereka yang memerlukan tidak kira latarbelakang. 
 
Mampukah kerajaan yang ada ini melakukannya? 
 
Saya percaya kerajaan mempunyai dasar-dasar yang baik untuk membantu rakyat. 
 
Tapi dasar yang baik tidak dituruti dengan perlaksanaan yang baik, saya berani jamin hasilnya tidak baik. Ertinya Pelan Kerajaan untuk memperkasakan Ekonomi Orang Melayu seperti yang diistiharkan oleh PM baru-baru ini secara keseluruhannya adalah satu pelan yang baik walaupun ada sedikit sebanyak yang perlu dibuat penyesuain. Perlaksanaannya belum tentu baik.
 
Saya meragui perlaksaannya.
 
Buktinya terlalu jelas dihadapan kita. Dasar, pelan, program dan skim yang terlalu banyak bagi membantu orang Melayu yang telah dilaksanakan sebelum dari pelan diatas telah tidak mencapai matlamat. 
 
Hanya sekelompok kecil orang Melayu yang mendapat menfaat. Malang sekali kelompok kecil itu sebenarnya tidak perlu diberikan bantuan yang sebegitu banyak. 
 
Sebenarnya kita tidak perlu pelan memperkasakan ekonomi itu jika perlaksanaan dasar dan berbagai pelan, program serta skim terdahulu dilakukan tanpa kegelinciran.
 
Akibat dari kegelinciran yang berbagai bentuk itu, menyebabkan kedudukan ekonomi dan taraf hidup sebahagian besar orang Melayu masih ditakuk lama walaupun sudah 56 tahun merdeka. Jurang kehidupan antara miskin kaya semakin jauh.

Namun saya mahu bersikap positif. 

Kerajaan mempunyai segala kekuatan dan sumber untuk melakukannya. Gunakan kekuatan dan sumber itu dengan baik dengan mengamalkan urustadbir negara yang baik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Laporan Tahunan Ketua Audit Negara perlulah diberi pertimbangan dengan sikap yang betul. Berhentikan amalan-amalan membazir. Berhentikan perbuatan rasuah. Berhentikan salah guna kuasa. Berhentikan boros belanja. Berhentikan sikap dan tindakan membeza-bezakan rakyat dan negeri dari segi peluang menerima dan mendapat faedah  dari dasar, program dan skim kerajaan persekutuan. 

Rakyat pula mesti bekerja keras dan menfaatkan sepenuhnya bantuan dan pertolongan kerajaan. Jangan sia-sia dan membazirkan skim dan program bantuan kerajaan. Setiap sen yang kita terima mesti menghasilkan pulangan yang boleh meningkatkan ekonomi dan taraf hidup kita. Jangan terlalu bergantungan kepada subsidi berterusan. Subsidi adalah asas mula kita bina kekuatan bukannya sepenjang masa dalam kehidupan kita.


Kerajaan mesti mulakan perubahan dan rakyat mesti menyokong. 

Kerajaan dan menteri tidak boleh lagi memperbodohkan rakyat dengan melakukan bermacam-macam kegelinciran dalam mengurustadbir negara. 

Rakyat pula mesti bekerja keras dan buangkanlah sikap yang sentiasa mahu bergantungan. Menerima bantuan dan pertolongan atas dasar perlu adalah wajib, tidak salah. Tapi mensia-siakan peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan hasil dari bantuan dan pertolongan itu dengan kepercayaan bantuan dan pertolongan itu akan berterusan, adalah tidak betul bahkan menghina kejatian diri.  

Itulah sebenarnya TRANSFORMASI yang kita kehendaki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan