Theflowersellingboy

Isnin, 30 September 2013

HARGA MAHAL: Apakah Yang Boleh Kita Lakukan Untuk Membantu Orang Yang Berpendapatan Rendah? Apakah Pula Yang Perlu Dilakukan Oleh Kerajaan.

 
 
Sesekali teringin makan di luar. Masuk di medan selera (food court) di sebuah kompleks perniagaan. Tengok-tengok gambar makanan yang dipamirkan. Semuanya tidak jadi masalah, boleh dimakan. Bersama gambar makanan itu tertulis tanda harga. Ini ada masalah. Mahal.
 
Buat juga pesanan. Pesan makanan yang paling murah diantara yang mahal. Pesan nasi goreng belacan yang bertanda harga RM5.00. Isteri  pula memilih wantan hor, harganya RM6.50. Untuk minuman kami pesan epal jus , RM3.00 segelas plastik. Jumlah harga yang kena bayar untuk makan luar itu ialah RM17.50 atau RM8.75 seorang.
 
Semasa buat pesanan , saya sempat bertanya kepada pekerja gerai makanan itu. Kenapa mahal sangat? Sebab harga minyak yang naik 20 sen ke?  Pekerja itu memberitahu harga adalah sama, tidak naik.
 
Mungkin saya jarang makan di luar. Atau sebelum dari ini saya tidak ambil berat langsung tentang harga. Hanya beberapa minggu yang lepas, saya ambil kira fasal harga dan fasal keluar wang belanja. Ianya bermula sewaktu mengisi minyak kereta. Bayar RM 60.00, tapi jarum penanda isian minyak, hanya duduk di tengah saja. Dulu lebih menyendeng sebelah kanan, melebihi kawasan tengah.    

Maknanya wang 60 ringgit yang saya ada sekarang ini telah tidak mampu lagi untuk membuatkan jarum itu duduk ditempatnya dulu kerana isipadu minyak dalam tangki telah berkurangan. Sekaligus ianya memendekkan jarak jauh yang saya boleh pandu.

Minyak mahal, nasi goreng belacan pun mahal.

Mungkin ada orang mengatakan harga itu berpatutan. Ianya tidak mahal kerana orang itu mampu membayarnya. Tapi jangan salah sangka atau salah teka tentang kemampuan saya. Sebenarnya saya mampu dengan harga yang dikenakan walaupun saya kata harga itu mahal.

Tapi kalau dah mampu fasal apa nak buat bising? Betul juga pertanyaan itu jika ada orang yang bertanya seperti itu, dan jika hanya saya saja yang ada didunia ini.

Saya cakap bukan fasal saya mampu atau tidak. Saya cakap harga makanan yang mahal. Makanan yang dimakan oleh semua orang. Buruh kasar pun nak makan, pemungut sampah dan penjaga serta pembersih tandas pun nak makan, pemandu pun nak makan. Begitu juga menteri dan perdana menteri pun nak makan.

Saya boleh bayar kerana pendapatan saya masih lagi boleh menyerap kenaikan harga setakat ini. Tidak ada masalah, dan saya sewajarnya tidak perlu susah hati dan keluh kesah.

Tapi saya terlalu susah hati, keluh kesah apabila mengenangkan adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan yang lain yang saya kenal dan tidak kenal, yang jauh dan dekat , yang dalam golongan berpendapatan rendah seperti pembersih  tandas itu untuk dapat menikmati makanan seperti apa yang saya dan isteri saya pesan yang bernilai RM17.50. 

Saya percaya banyak dari kita akan tidak tergamak untuk menelan makanan itu jika kita kenangkan nasib orang-orang itu. Apatah lagi orang itu adalah adik, abang atau kakak kita. Jika mereka sudah berumahtangga, ada anak, banyak pula, dan tinggal di KL atau Putra Jaya. Bayangkan apakah yang dapat mereka makan. Berapa kali mereka akan dapat makan. Berhutang dengan Along?

Katakan gaji mereka sebulan RM 800.00. Anak 5 orang dan seorang isteri yang tidak bekerja. Kalau dikira secara harian, gaji orang itu ialah sebanyak RM26.66 sen saja. Bandingkan pula harga makanan yang saya pesan suami isteri RM17.50 sekali makan. 

Kita buat kiraan mudah.  

Dapat sehari                               RM26.66
Sekali makan bagi dau orang     RM17.50
Baki sehari                                 RM   9.16

Orang itu juga nak bayar tambang ke tempat kerja. Bayar tambang bas pergi balik. Bayar minum pagi. Bayar tambang anak sekolah. Bayar makanan anak diekolah. Dan macam-macam lagi. Cukup dengan baki 9 ringgit lebih tu?

Sudah tentu tidak cukup.

Jadi kita tahu keadaan seperti ini. Saya pun tahu. Dihadapan saya dan isteri terhidang makanan yang tidak akan mampu pemandu atau pembersih tandas itu membelinya. Katakan yang tidak mampu itu adik anda. Bagaimana?

Saya, ada adik beradik seperti itu. Saya juga ada kawan seperti itu. Dan saya juga ada maklumat orang-orang yang berkeadaan begitu, jauh dan dekat. Maka tergamakkah  saya untuk makan makanan itu?

Terus terang saya katakan saya tidak tergamak untuk makan.

Tapi , saya tidak mampu menahan lapar. Saya dan isteri tetap makan makanan itu. Sama seperti menteri atau perdana menteri.

Begitulah sedihnya dihati. Saya tidak mampu membantu orang-orang yang susah itu. Setakat sesekali beri pertolongan sedikit wang dan pakaian , boleh lah . Tapi bukan setiap hari dan setiap masa. Tidak juga dalam bilangan yang banyak. Tidak juga diluar dari adik beradik saya. 

Maka untuk mereka dapat menikmati kehidupan seperti saya, ianya tidak mungkin, jauh sekali. Apatah lagi kehidupan sebagai perdana menteri.

Namun saya percaya kita boleh juga membantu , jika kita mahu. Amalkanlah gaya hidup berhemah tanpa membazir. Kita berbelanja hanya atas dasar perlu, bukan kerana kita mampu.  

Dengan cara berhemah tanpa membazir, bekalan barang-barang dan perkhidmatan tidaklah terlonggok pada kita yang mampu saja. Apabila keadaan seperti itu, iaitu apabila barang-barang dan perkhidmatan itu mudah diperolehi  di pasaran maka harganya tidak akan mudah naik. Hanya apabila berkurangan dan ramai pula yang mahu memperolehinya maka harga barang dan perkhidmatan akan naik. Dan apabila harga naik, hanya orang yang mampu saja boleh memilikinya, khususnya yang berpendapatan tinggi.

Ertinya orang yang suka berbelanja secara tidak berhemah adalah orang yang mengamalkan pembaziran. Orang ini adalah orang yang tamak. Orang ini juga yang membuatkan barang-barang dan perkhidmatan menjadi kurang di pasaran. Orang inilah yang menyebakan harga naik.

Ingat, bahawa pembaziran itu kawan syaitan.

Maka cuba kita jawab soalan-soalan ini.

i) Mengapa kita perlu jadi tamak. 
ii) Mengapa suka membazir sedangkan ada orang lain yang juga memerlukannya. 
iii) Mengapa perlu berkawan dengan syaitan.
iv) Mengapa kita mahu menyusahkan orang lain.

Saya percaya kita tidak suka semua sifat-sifat buruk itu. Sewajarnya itulah  jawapan kita bagi soalan-soalan diatas, jika kita mahu membantu orang berpendapatan rendah.

Kesimpulannya kita mesti ubah cara menguruskan kewangan kita. Walaupun kita mempunyai sumber kewangan yang berlebihan, atau sumber kewangan kita kukuh, kita mesti juga mengamalkan perbelanjaan yang berhemah tanpa membazir. Kalau semua kita berbuat begitu maka barang-barang dan perkhidmatan akan mencukupi untuk ramai orang pada harga yang berpatutan dan mampu belanja.

Begitu juga diperingkat pengurusan wang negara. Jika kerajaan mengamalkan belanja berhemah tanpa membazir, harga barang tidak mudah naik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan