Theflowersellingboy

Sabtu, 26 Oktober 2013

Bajet 2014:Satu Retorik Politik?




Bajet 2014 telah pun dibentangkan oleh Menteri Kewangan semalam yang mengambil masa 2 jam 18 minit. Tempoh masa itu hampir menyamai perjalanan dengan kenderaan dari Melaka ke Johor Baru. Maknanya banyak perkara yang diperihalkan.

Tapi ada perkara yang penting yang ditinggalkan. Apa dia? Bacalah seterusnya.

Berbagai-bagai komen dan ulasan yang telah diberikan oleh berbagai pihak. Ada yang menyokong secara total , ada yang menyokong bahagian-bahagian tertentu, dan ada yang tidak menyokong.  Walau apapun respons , mereka adalah rakyat yang prihatin, rakyat yang mengambil berat tentang apa yang berlaku dalam negara yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Dan ada juga rakyat yang tidak mempunyai peluang dan kemampuan untuk memberi apa-apa respons. Sebahagian mereka bukan kerana tidak berminat, tapi mereka tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan khususnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan bajet dan urus tadbir negara. Dan ada juga sebahagian yang bersikap sambil lewa dan selamba, tidak ambil kisah apa yang berlaku. Dua kumpulan inilah merupakan majoriti rakyat negara kita.


Baik. Saya akan memberi sedikit respons tentang pembentangan bajet 2014 ini secara am dengan membuat perbandingan bajet tahun 2013, tanpa membuat perincian yang mendalam.

Menteri Kewangan telah mengemukakan satu cadangan penggunaan wang dari Kumpulanwang Yang Disatukan Persekutuan sebanyak RM 246.2 billion bagi menemui perbelanjaan-perbelanjaan yang dijangka yang akan dibuat bagi tahun kewangan  2014 untuk dipertimbang dan diluluskan oleh Parlimen.

Perbelanjaan yang diperlukan itu ialah bagi Maksud Belanja Mengurus (Bekalan danTanggungan) sebanyak RM 217-17 billion dan Belanja Pembangunan sebanyak RM 46.5 juta.

Tema bajet tahun 2014 ialah Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasakan Transformasi dan Melaksanakan Janji.

Manakala Teras Bajet 2014 ialah:
i) Merancak aktiviti ekonomi
ii) Mengukuh pengurusan fiskal
iii) Mengunggul modal insan
iv) Mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar
v) Mensejahterakan kehidupan rakyat.

Nampaknya bajet yang dibentangkan oleh menteri kewangan ini menggunakan satu format yang sama, bagi setiap tahun pembentangan. Ada Tema Bajet dan Ada Teras atau Fokus Bajet.

Bagi tahun 2013 bajet yang dibentangkan bertemakan Memakmur negara, Mensejahtera rakyat: Sebuah Janji Ditepati. 

Manakala teras atau fokus bajet 2013 pula ialah:
i) Merancak aktiviti pelaburan
ii) Memperkasa pendidikan dan latihan
iii) Membudayakan inovasi, meningkat produktiviti
iv) Konsolidasi fiskal dan mempercekap penyampaian perkhidmatan awam
v) Mensejahterakan rakyat

Ulasan saya ialah:

i) Menteri kewangan tidak atau gagal memaklumkan kepada rakyat tentang penghasilan dari penggunaan wang yang telah diminta dan diluluskan pada tahun sebelumnya. 

Oleh itu rakyat tidak tahu sama ada tema bajet 2013,  memakmurkan negara, mensejahterakan rakyat: Sebuah janji ditepati, berjaya atau gagal dicapai.

Soalan-soalan bermain dalamkepala rakyat antara lain:
-Adakah negara bertambah makmur diukur misalnya dari segi pendapatan negara dan agihan pendapatan yang adil kepada rakyat? 
-Adakah rakyat bertambah sejahtera misalnya diukur dari segi upah dan pendapatan yang diterima berbanding dengan kos sara hidup- adakah kuasa beli rakyat bertambah atau sebaliknya,
-Adakah rakyat merasa lebih selamat dari kacau ganggu dan perlakuan jenayah, dan 
-Adakah rakyat mendapat kemudahan pendidikan dan kesihatan yang lebih baik.

Wang yang dibelanjakan oleh kerajaan itu adalah hasil permohonan dari kerajaan melalui menteri kewangan untuk menggunakan hasil negara (dari Kumpulanwang Disatukan, Persekutuan) bagi tujuan-tujuan tertentu, yang telah diluluskan oleh rakyat (Parlimen). Maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan (menteri kewangan) untuk memaklumkan/melaporkan kepada rakyat tentang penggunaan wang itu dari segi tujuan-tujuan yang hendak dicapai. Rakyat berhak untuk tahu apa yang telah terjadi kepada wang yang telah diluluskan itu dibandingkan dengan tema dan teras perbelanjaan yang telah dijanjikan.

Adakah disebabkan adanya Laporan Ketua Audit maka kerajaan merasakan tidak perlu  melaporkan secara langsung melalui ucapan pembentangan bajet? 

Kalau begitu rasionalnya,  ianya tidak menggambarkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Hanya pandai meminta tapi tidak ada rasa tanggungjawab untuk memberitahu apakah hasil dari penggunaan wang yang telah diberi kepada tuan punya wang.

Laporan Ketua Audit adalah maklumbalas yang tidak menceritakan kesemuanya termasuklah dari segi memberi penilaian tentang pencapaian bagi hal-hal yang telah dijanjikan.

Lagipun Laporan Ketua Audit itu adalah laporan bagi tahun 2012 dan tahun sebelumnya. Ini bermakna laporan itu tidak langsung menyentuh tentang penggunaan wang tahun 2013. 

Sepatutnya kerajaan kena beritahu rakyat apa yang telah terjadi kepada wang yang telah diluluskan bagi bajet 2013, sekurang-kurangnya sehingga tempoh setengah tahun.

Kalau kita gunakan Laporan Ketua Audit sebagai asas bagi rakyat untuk mempertimbang dan meluluskan wang yang dipohon oleh menteri kewangan itu , maka dengan mudah rakyat boleh menolak permohonan menteri kewangan itu kerana seperti yang dilaporkan oleh audit, pengurusan wang dan aset kerajaan tidak diuruskan seperti sepatutnya, banyak pembaziran dan salah urus.

Adakah rakyat rela memberikan pertimbangan dan kelulusan permohonan ini setelah pihak audit melaporkan seperti itu?

Setakat memaklumkan kepada rakyat bahawa kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji dan menangani hal-hal yang dibangkitkan oleh audit adalah tidak cukup kuat bagi meyakinkan rakyat akan kesungguhan kerajaan dalam mengurus wang dan aset kerajaan dengan secara yang beramanah. Dan terlalu lemah untuk dijadikan asas bagi rakyat mempertimbang dan melulus jumlah yang dipohon oleh menteri kewangan.

Sebenarnya sebelum cadangan menteri kewangan itu tentang penubuhan jawatankuasa tersebut, pada ketika ini dan sebelumnya, telah sedia ada berbagai pihak dan jawatankuasa bagi menguruskan hal-hal yang dibangkitkan oleh audit.

ii) Apa bezanya tema bajet 2013 dan 2014? Apa bezanya Teras bajet 2014 dan Teras 2013 (2013 digunakan perkataan fokus)?

Tema 2014:Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasakan Transformasi dan Melaksanakan Janji.

Tema 2013: Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat dan Sebuah Janji Ditepati.

Cuba lihat terasnya pula seperti diatas.

Ada perbezaan?

Yang berbeza hanya penggunaan perkataan saja. Apa yang sebenar yang hendak disampaikan ialah mengenai janji. Bahawa kerajaan melaksana dan menepati janji. Itu saja.

Tidak mengapa, kalau itulah yang mahu disampaikan dalam pembentangan bajet itu. 

Tapi benarkah kerajaan melaksana dan menepati?

Kita ambil janji kerajaan tentang menurunkan harga kereta. Harga kereta turun ke?

Janji kerajaan untuk naik BR1M dari RM 500 ke RM 1,000. Bertambah ke BR1M?

Janji kerajaan tidak menyusahkan rakyat. Cukai Barangan dan Perkhidmatan itu menyenangkan rakyat ke?

Janji kerajaan mengurangkan kos sara hidup. Mengurangkan subsisidi gula  tidak menaikkan harga gula dan makanan yang menggunakan bahan gula ke? Katanya bagi mengurangkan kencing manis. Bukan kah selain dari gula, bahan seperti nasi juga ada gula? Adakah ini bermakna kita tidak boleh makan nasi atau makanan lain yang ada kandungan gula seperti buah-buahan, misalnya kurma?

Alasan kerajaan menaikkan harga gula sungguh menggelikan hati pada semua orang termasuk mereka yang tidak digeletik.

Adakah urus tadbir kerajaan bertambah baik? Bagaimana dengan hal yang dibangkitkan oleh audit. Apakah indeks rasuah dan salah guna kuasa negara bertambah baik? Adakah tidak berlaku pembaziran? Bagaimana dengan hutang negara yang terlalu tinggi?

Jadi apa janji yang telah dilaksana dan ditepati?

Adakah bajet ini satu retorik politik, dengan susunan perkataan-perkataan yang indah, sebagai pemanis kata, dan petikan  ayat al-quran sebagai menguatkan cerita yang dibawa, sama seperti ketika kempen merayu undi pada setiap pilihanraya?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan