Theflowersellingboy

Jumaat, 18 Oktober 2013

BILIK 286:Antara Tidur Pesakit Angin Ahmar dengan Tidur Orang Sihat, Siapa Yang Lena?


Bilik 286:

Sebuah sofa panjang berwarna hitam untuk 2 orang, dihadapannya sebuah meja rendah yang sama panjang berwarna putih kekuningan, sebuah sofa hitam, dua buah kerusi kayu, sebuah jam dinding, sebuah katil berhadang kiri kanan, dua buah almari kecil, sebuah meja tepi yang kecil, satu bekas buang sampah dan sebuah bilik mandi beserta tandas. Bilik berhawa dingin.

Itulah tempat penginapan dan tidur sepanjang 4 hari yang berlalu. Amat lengkap dan menyelesakan.

Katil itu hanya untuk pesakit saja. Untuk isteri saya yang sedang menerima rawatan serangan angin ahmar yang kecil.

Saya hanya layak untuk menggunakan sofa dan kerusi-kerusi serta meja yang disediakan sama ada untuk duduk merihatkan badan, membaca atau baring-baring. Ianya digunakan sebaik mungkin. Ianya amat menyelesakan.

Tapi tidak untuk tidur malam. Sofa yang panjang berukuran kurang lebih 4 kaki itu amat menyakitkan badan. Kaki tidak boleh dilunjurkan, terpaksa 'mengekut' seperti orang kesejukan. Tapi ianya terasa penat kalau terlalu lama. Maka diluruskan semula, terjuntailah kedua belah kaki. Ianya juga tidak bertahan lama kerana terasa penat. Dikekutkan (bengkok) semula dua kaki itu. Ini dilakukan setiap kali mengalihkan badan ke kiri atau kekanan. 

Mata tidak boleh lena. Empat malam berturut-turut, saya tidak dapat melelapkan mata. Sekejap paling badan kekiri dan sekejap ke kanan. Tidak dikira berapa kali saya melakukan palingan itu. Yang saya tahu saya tidak boleh tidur, dan tidak sedar waktu Subuh menjelang. 

Isteri yang tidur diatas katil, nyenyak sekali tidurnya. Kadang-kadang terdengar suara dengkuran. Namun beliau juga sering diganggu oleh para petugas hospital. Beliau yang sedang lena dikejutkan untuk bacaan tekanan darah, diambil darah, ditambah 'dripping' ,dan diberi ubat. Saya dapat ikuti kesemua aktiviti itu kerana saya   masih lagi belum tidur.

Begitulah secebis kisah orang sihat menemani isteri yang dirawat, tidur dalam bilik khas untuk pesakit. 

Tapi sekurang-kurangnya saya sihat. Bersyukurlah. Hanya sedikit rasa tidak selesa kerana tidak mudah lena.

Isteri kurang sihat dan terpaksa dirawat. Walaupun katilnya itu tidak menghalang untuk dia tidur lena tapi apa maknanya lena jika bukan dirumah sendiri, tidur atas katil sendiri.

Maka kami berdua mengharapkan hari ini doktor bersetuju untuk membenarkan isteri dibawa balik. Dibawa balik kerana disahkan sihat. Itulah harapan kami berdua dan harapan anak-anak.

Berkaitan dengan sakit isteri ini iaitu serangan angin ahmar disebabkan tekanan darah yang tinggi, sepanjang rawatan, saya tidak mendengar doktor atau petugas yang lain bercerita fasal makanan. Malah isteri boleh memesan makanan yang dia suka dalam senarai makanan yang ada. Maknanya kalau hendak makan daging, boleh saja dipesan. Tiada pantang. 

Tidak ada nasihat atau arahan yang mana satu makanan yang boleh diambil dan mana satu yang perlu dijauhkan. 

Mungkin semasa dibenarkan balik nanti hal makanan akan disentuh.

Dalam hal isteri ini , saya berat untuk mengesyakki bahawa serangan angin ahmar itu berpunca dari permakanan isteri. Dia tidak boleh tiada ikan masin kering sama ada waktu makan tengah hari atau makan malam. Sama ada dirumah sendiri atau dirumah anak-anak. Ada saja dihadapannya ikan masin dalam bekas plastik kecil. Dia seorang saja yang makan. 

Saya teringin juga untuk makan ikan masin. Tapi bila mengenangkan ianya tidak baik kepada pesakit tekanan darah tinggi, sudah lama saya mengucapkan selamat tinggal kepada ikan masin itu. Air liur meleleh juga. Tidak mengapa asalkan kesihatan terjaga.

Namun semasa dirawat ini, isteri telah berikrar dan mengajak saya untuk menjauhi yang masin, makanan berlemak dan buah durian. 'Makan rebus-rebus saja. Tidak berminyak dan berlemak', itulah yang diikrarkan oleh beliau dan meminta sokongan saya. Saya sudah lama bersetuju cara itu . Tidak jadi masalah. 

Saya yakin saya boleh melakukannya. Dan saya mengharapkan isteri mempunyai kekuatan dapat melakukannya juga. Mungkin serangan angin ahmar yang kecil ini memberikan kekuatan kepadanya untuk menjauhkan makanan-makanan itu. InsyaAllah, semoga begitulah yang akan terjadi, doa saya ke hadrat Allah SWT. 
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan