Theflowersellingboy

Rabu, 2 Oktober 2013

Laporan Audit Tahunan : SIAPA YANG KENA TIBAI?




Laporan Audit Tahunan memang menjadi satu kegusaran kepada Pegawai Pengawal. Gusar, kerana penggunaan wang termasuk pengurusan aset dibawah kawalannya, dilaporkan kepada rakyat. Dalam banyak hal, perkara yang dilaporkan adalah tentang ketidakcekapan menguruskan perkara-perkara tersebut yang menyebabkan kerugian dan pembaziran. Mungkin ada berlaku salah guna kuasa, pengambilan rasuah dan penipuan (fraud).

Pihak audit juga tidak lupa untuk melaporkan pengurusan yang baik dan berjaya.

Parlimen yang sedang bersidang sekarang ini telah dibekalkan dengan Laporan Ketua Audit Negara (KAN) bagi tahun 2012. Maka banyak hal telah berbangkit dan dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen. Sudah tentu hal-hal salah urus,  salah guna kuasa, tidak cekap, pembaziran, kerugian, kenaikan kos projek kerana kelewatan perlaksanaan dan segala yang memberi kesan negatif keatas kewangan dan aset negara seperti yang dilaporkan oleh KAN menjadi perkara yang mendapat perhatian ahli parlimen dan menjadi liputan media.

Rata-rata rakyat tidak menyukai pengurusan seperti yang dilaporkan itu. Ada yang marah dan meminta tindakan diambil keatas mereka yang bertanggungjawab.

Siapakah mereka yang bertanggungjawab?

Mungkin semua pihak sedia maklum, struktur organisasi sesebuah kementerian diketuai oleh Menteri (politik), diikuti dengan timbalan menteri (politik) jika  ada,  dan dituruti Ketua Setiausaha/Ketua Pengarah (penjawat awam) dan seterusnya penjawat awam yang lain.

Ada lagi satu struktur organisasi. Struktur organisasi ini diketuai oleh penjawat awam. Ianya melibatkan tanggungjawab dan kawalan keatas kewangan termasuk aset kerajaan. Maknanya apa-apa saja yang menyentuh tentang perkara itu, misalnya perkara yang dilaporkan oleh KAN, penjawat awam yang mengetuai organisasi itu temasuk orang-orang dibawah kawalannya adalah pihak yang dipertanggungjawabkan.

Ada 3 peringkat penjawat awam dalam sesebuah agensi yang bertanggungjawab dalam operasi bagi sesuatu agensi.

Peringkat pertama ialah Ketua Agensi yang secara amnya ialah juga pegawai pengawal. Tetapi pegawai pengawal tidak semestinya terhad kepada ketua agensi atau ketua agensi itu semestinya seorang yang dilantik sebagai pegawai pengawal.

Semua Penjawat Awam dari berbagai peringkat yang diwartakan sebagai Pegawai Pengawal adalah orang yang bertanggungjawab keatas pengurusan kewangan dan aset agensi, jabatan atau kementeriannya. Ertinya jika ada perkara yang dilaporkan tidak kena oleh KAN maka Pengawai Pengawal itu mesti mengambil tanggungjawab. Jika sebaliknya, ucapan tahniah sepatutnya untuk pegawai pengawal itu.

Pegawai Pengawal tidak mampu melakukan semua kerja agensinya. Tidak pula mampu untuk menyelia setiap kerja dan orang bawahannya. Tidak ada masa yang cukup untuk memberikan perhatian keatas perkara-perkara sistem, proses, dan prosedur secara terperinci. 

Pegawai pengawal banyak terlibat dalam peringkat dasar, dan tugas-tugas berbentuk makro misalnya menyediakan garis panduan agensi, memantau kedudukan peruntukan dan perbelanjaan serta baki pada sesuatu tempoh, biasanya suku tahun atau setiap bulan, pemantauan perlaksanaan projek bagi sesuatu tempoh dan sebagainya. Dia tidak telibat dalam hal-hal yang terperinci misalnya proses membuat bayaran, melakukan perolehan dan pembelian dan sebagainya.

Jadi untuk menguruskan kewangan dan aset agensinya dengan lebih terurus bagi pihaknya, Pegawai Pengawal akan mewakilkan kuasa kawalannya kepada pegawai-pegawai tertentu secara spesifik. Had kuasa kewangan juga adalah sesuatu yang akan ditentukan oleh Pegawai Pengawal dalam perwakilan kuasanya.

Pegawai Yang diWakilkan Kuasa ini adalah peringkat kedua dalam struktur pengoperasian agensi. 

Pegawai Pengawal boleh mewakilkan kuasa. Tapi pegawai pengawal tidak boleh mengelak dari mengambil tanggungjawab keatas apa yang berlaku keatas pengurusan kewangan dan aset agensinya. Ertinya kuasa boleh diwakilkan, dan tanggungjawab mesti juga dipikul oleh pegawai pengawal.(The controlling officer can delegate his authority and responsibilities but he can not shirk his responsibilities).

Kuasa yang telah diwakilkan itu juga tidak boleh diwakilkan kepada orang lain.

Satu lagi peringkat ialah pegawai dan warga kerja  yang diberikan tugas dan tanggungjawab yang dinyatakan dalam senarai tugas masing-masing tanpa perwakilan kuasa.

Ringkasnya dalam pengoperasian sesebuah agensi ianya melibatkan Pegawai Pengawal, Pegawai Yang diWakilkan Kuasa dan Pegawai dan Warga kerja yang menjalankan tugas menurut senarai tugas yang ditentukan.

Maknanya ketiga-ketiga peringkat kepegawaian ini mempunyai tanggungjawab masing-masing. Ini bermaksud bahawa tidak ada mana-mana peringkat pun yang boleh lepas dari tanggungjawab jika berlaku salah urus, kecuaian, salah guna kuasa atau sebagainya seperti yang dilaporakan oleh KAN.

Dalam bahasa kasarnya, merekalah yang kena tibai, jika berlaku salah urus.

Kita tinjau pula laporan KAN 2012. Antara yang telah dilaporkan ialah salah memilih keutamaan dalam membelanjakan wang awam sehingga boleh dianggap sebagai membazir. Contoh, i) perbelanjaan sebanyak 1.6 juta ringgit bagi membayar kepada penghibur dari Korea atau K-Pop dalam sambutan Hari Belia. Jika diambil perbelanjaan-perbelanjaan lain yang berkaitan dengan sambutan itu jumlah yang terlibat menghampiri 3 juta.

Belanja seperti ini adalah membazir. Jumlah ini boleh digunakan bagi memperbaikki kedudukan ekonomi belia khususnya yang menganggur. Itulah yang lebih utama kepada beliau daripada dihidangkan dengan hiburan, dari budaya asing pula.

Contoh ii) salah pengendalian perkhidmatan keselamatan dibawah Kementerian Pelajaran (Pendidikan) yang melibatkan 2.051 bilion ringgit bagi tempoh 2010-2012. Bilion, bukan sedikit yang sepatutnya dimenfaatkan untuk membina sekolah-sekolah luar bandar yang daif dan menyediakan berbagai alat kemudahan persekolahan, menyediakan pengajaran kelas tambahan dan sebagianya demi meningkatkan pelajaran anak-anak.

Contoh iii) kempen atas talian menggunakan facebook dan twitter oleh Kementeria Kesihatan bagi dua program iaitu Kempen Tak Nak Merokok yang melibatkan 199,688 ringgit dan Kempen Intervensi Penyakit Tidak Berjangkit yang melibatkan wang awam sebanyak 120,500 ringgit. Kos yang terlibat tidak sepadan dengan khidmat yang diberi. Sepatutnya wang itu diutamakan bagi digunakan dalam hal yang lebih utama misalnya menyediakan bekalan ubat yang mencukupi.

Selain dari pembaziran KAN juga melaporkan kecuaian dalam menjaga keselamatan aset awam seperti senjata api, gari dan kenderaan Jabatan Polis sehingga melibatkan kehilangan dan kerugian serta membahayakan keselamatan awam. Kehilangan itu melibatkan kerugian 1.33 juta ringgit. 

KPN menafikan bahawa ada senjata api yang telah jatuh ketangan penjenayah. Mungkin betul setakat yang diketahui ketika ini. Boleh jamin pada masa depan?

KAN juga membangkitkan 'value for money' dimana penggunaan wang awam dalam penyelenggaraan itu tidak setara dengan khidmat yang diberi dalam kes yang melibatkan penggunaan 3 dari 5 pesawat Jabatan Polis dalam kerja membanteras jenayah. Kos yang terlibat ialah 175 juta.

Satu hal lagi ialah tentang kenaikan kos disebabkan kelewatan perlaksanaan dalam kes projek Rangkaian Pembentungan di Kuala Sawah Negeri Sembilan. Naik dari 81.45 juta kepada 121.6 juta ringgit.

Pembaziran, kecuaian, wang yang diguna tak setara dengan tugas yang dijalankan, dan kenaikan kos ini adalah menjadi tanggungjawab Pegawai Pengawal dan pegawai-pegawai dibawah kawalannya. Dan jika dapat dikesan secara spesifik dan khusus pegawai yang bertanggungjawab dan jika ianya benar seperti yang didakwa maka orang itu sepatutnya dikenakan tindakan menurut prosedur dan peraturan yang ada. Antara hukuman ialah 'surcharge'.

Tapi dalam hal ini, ada keadaan-keadaan diluar kemampuan penjawat awam untuk melakukan sesuatu menurut yang sepatutnya. Ertinya ada campur tangan luar yang menyebabkan perkara salah aturan, salah urus dan membazir itu berlaku. Biasanya campur tangan politik misalnya menteri.

Siapakah penjawat awam itu yang boleh menolak kemahuan menteri untuk membelanjakan sesuatu yang tidak menjadi keutamaan atau yang boleh dikategorikan sebagai membazir.  Contoh, belanja 1.6 juta bagi mendapatkan khidmat hiburan K-Pop dari Korea dalam sambutan Hari Belia.

Ada banyak lagi contoh. Dalam hal seperti ini, menurut pengalaman, pihak audit akan menyatakan bahawa jika ada arahan dari menteri yang tidak selaras dengan peraturan dan yang membazir misalnya, penjawat awam itu mesti meminta menteri itu mengeluarkan arahan secara bertulis.

Audit boleh bercakap seperti itu. 

Mana menteri yang akan berbuat seperti itu? 

Berapa ramai penjawat awam yang berani berbuat seperti itu?  

Mana menteri yang berani membuat arahan secara bertulis untuk melakukan sesuatu bayaran yang bersalahan dengan peraturan?

Memang ada penjawat awam yang meminta menteri supaya membuat arahan secara bertulis bagi hal-hal yang menyalahi peraturan atau yang ditafsirkan sebagai membazir.  Risikonya terlalu tinggi. Hanya yang tidak sayangkan jawatan dan peluang kenaikan pangkat, yang akan melakukan. Berapa ramai? Satu pun susah nak cari.

Sebab itu ramai yang menjadi tukang angguk malah mendahului angguknya sebelum arahan dikeluarkan menteri. Golongan penjawat awam inilah yang mempunyai peluang naik pangkat yang terbuka luas.

Dalam kes pembaziran wang awam seperti yang ditafsirkan oleh audit, misalnya dalam kes K-Pop itu, siapakah pegawai awam untuk mengatakan program itu sebagai membazir jika menteri mengatakan sebaliknya.

Saya berikan satu senario. Satu projek pembinaan yang melibatkan jutaan ringgit. Menurut peraturan, bayaran kepada kontraktor hanya boleh dibayar apabila sesuatu kerja itu disahkan oleh jurutera atau pihak professional yang kompeten dalam sesuatu bidang sebagai sudah sempurna  dan layak dibayar.

Ada banyak keadaan peraturan itu dipaksa langgar bagi mempercepatkan bayaran apabila ada desakan dari pihak yang berkuasa atau yang mempunyai hubungan dengan pihak yang berkuasa.  Arahan bayaran dikeluarkan. Tapi bukan secara bertulis. Dalam banyak keadaan penjawat awam yang bermotokan 'Saya Yang Menutut Perintah' akan secara tidak rela melakukan bayaran.

Siapa yang kena bantai nanti? 

Apabila sesuatu bangunan itu tidak sempurna, dan runtuh, semua jari akan menuding kepada penjawat awam. Siapa lagi yang perlu disiasat oleh SPRM kalau tidak penjawat awam kerana dialah yang meluluskan bayaran bagi binaan yang simennya belum cukup kering atau campuran konkritnya banyak pasir dari simen.

Siapakah yang dilaporkan sebagai tidak cekap dan membazir oleh KAN kalau tidak penjawat awam.

Siapakah yang akan diambil tindakan dan dibuang kerja kalau tidak penjawat awam.

Pernahkah menteri dibicarakan dalam hal-hal membazir atau salah guna wang awam? Kes NFC bagaimana.

Begitulah duduk perkara antara laporan KAN dan penjawat awam. Yang pasti kena bantai ialah penjawat awam. Yang betul bersalah, sepatutnya begitu. Tapi yang terpaksa buat salah macam mana. Jawapan audit senang saja: Buktikan secara bertulis.

Begitulah nasib penjawat awam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan