Theflowersellingboy

Selasa, 29 Oktober 2013

MATI OTAK




Tengah hari tadi sewaktu berada disebuah klinik, seseorang telah memberikan satu buku kecil yang bertajuk Mati Otak dan Perdermaan Organ.

Setelah membacanya, didapati bahawa isi kandungan buku kecil yang diterbitkan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia amat berfaedah untuk dibaca dan diketahui. Mungkin ada yang telah membacanya dan mungkin juga ada yang masih belum membacanya. Namun saya merasakan elok juga saya paparkan sebahagian daripada apa yang ditulis dalam buku kecil itu. Semoga, ianya akan memberi menfaat kepada sesiapa yang membacanya.

Sehubungan dengan ini, saya hanya menyalinkan perkataan demi perkataan apa yang terdapat dalam buku kecil itu. Saya hanya menyalin hal yang berkaitan dengan MATI OTAK dan meninggalkan bahagian tentang pendermaan organ.

........

Apakah yang dikatakan mati otak?

Mati otak ialah keadaan tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak menyebabkan keseluruhan otak (termasuk batang otak iaitu bahagian otak yang mengawal aktiviti-aktiviti penghidupan seperti pernafasan dan denyutan jantung) tidak lagi berfungsi. Kehilangan fungsi otak ini tidak boleh dipulihkan.


Keadaan yang menyebabkan mati otak

Bagi segelintir pesakit, kematian otak boleh terjadi dahulu sebelum denyutan jantung mereka berhenti. Ini mungkin terjadi apabila pesakit itu mengalami koma akibat keadaan-keadaan seperti yang dinyatakan berikut dan telah mendapat rawatan bantuan pernafasan mesin (ventilator) seperti di unit rawatan rapi:

*Kecederaan otak yang menyebabkan bengkak otak atau pendarahan dalam kepala yang teruk;

*Pendarahan otak yang teruk secara spontan oleh kerana urat saluran darah ke otak yang terputus akibat darah tinggi atau saluran darah yang tidak normal (Arterio-venous malformation atau AVM);  
*Otak bengkak yang teruk oleh kerana jangkitan kuman  atau virus (encephalitis) ataupun ketumbuhan seperti barah otak, dan

*Strok (angin ahmar) teruk yang melibatkan seluruh otak kerana saluran darah yang tersekat oleh darah beku.

Seseorang yang mati otak tidak akan bernafas. Kematian otak akan disusuli dengan kerosakan organ-organ dan anggota tubuh badan yang lain. Bantuan pernafasan menggunakan mesin pernafasan dan sokongan ubatan boleh melengahkan pemberhentian denyutan jantung buat seketika. Walau bagaimanapun denyutan jantung akan berhenti juga akhirnya walau dengan sebanyak mana sokongan yang diberi.Apabila seseorang itu telah disahkan kematian otak, bermakna dia telahpun meninggal dunia.


Bagaimanakah pesakit disahkan mati otak?

Mati otak adalah satu cara bagaimana seseorang itu boleh disahkan mati. Pengesahan mati otak adalah dibuat oleh dua orang doktor pakar yang tiada kaitan dengan pemindahan organ setelah ujian-ujian tertentu dijalankan ke atas pesakit tersebut. Ujian-ujian ini dilakukan 2 kali setelah beberapa jam pemerhatian untuk menentukan tidak ada perbezaan yang dilihat.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan