Theflowersellingboy

Khamis, 17 Oktober 2013

HARI RAYA KURBAN: Cerita Lama Berulang Lagi





Adakah satu kebetulan atau sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah SWT?

Tahun lepas pada 10 Zulhijjah saya dan isteri beraya Hari Raya Kurban di wad hospital. Pada tahun ini juga kami beraya di wad hospital. Kedua-duanya di wad Hospital Pantai. Cuma lokasi saja yang berbeza. Pada tahun lepas kami di wad Hospital Pantai Ampang dan pada tahun ini di Hospital Pantai Air keroh, Melaka.

Tahun lepas isteri dirawat kerana keracunan makanan. Tahun ini dirawat kerana serangan kecil angin ahmar (mild stroke).
 
Saya hanya menemani isteri yang sakit. Tapi saya dapat juga menunaikan solat sunat aidil adha bagi kedua-dua tahun itu..
Antara dua penyakit ini, bagi saya, keracunan makanan mudah dikesan. Apabila seseorang itu cirit birit dan muntah-muntah yang kerap maka kita boleh syakki orang itu diserang oleh keracunan makanan.

Tapi bagi saya, serangan angin ahmar tidak mudah saya mahu kesan atau pasti. Dalam kes isteri saya, dia hanya mengadu sakit kepal yang amat sangat dan sentiasa mahu berbaring. Jika bangun atau berdiri sakitnya semakin bertambah. Jadi apa yang saya buat hanya menggosok dan memicit bahagian kepala yang sakit (sebelah kiri) dengan minyak angin (balm).

Dalam tempoh 2 hari, sakit kepalanya masih lagi menyerang tanpa henti. 

Ubat kawalan darah tinggi dan kencing manis tidak pernah gagal diambil. Jadi saya tidak mengesyakki serangan yang berkaitan dengan tekanan darah tinggi walaupun bacaan systolicnya pada tahap 150-159 yang lebih tinggi dari hari-hari sebelum diserang sakit kepala. Bacaan diastolicnya tidak melebihi 80. Jadi saya mengesyakki isteri diserang sakit kepala biasa, dan meminta beliau mengambil panadol.

Panadol tidak membantu. Sakit kepalanya bertambah. 

Kami ke klinik kerajaan. Doktor memberikan satu suntikan bagi mengatasi sakit kepala dan dibekalkan dengan panadol.

Suntikan itu tidak mengurang barang sedikitpun sakit kepala. Dan panadol yang dimakan semakin menambah sakit kepalanya.

Hari esoknya, Sabtu, kami ke Hospital Pantai Air Keroh, untuk mendapat rawatan. Doktor memberi rawatan yang sama juga iaitu satu suntikan dan panadol. 

Sekali lagi suntikan dan panadol yang diberikan tidak membantu malah kepala bertambah sakit. 

Jadi saya mengesyakki sesuatu yang tidak kena dibahagian kepala isteri yang sakit itu. Isteri perlu menjalani pengimejan ct scan untuk mengesan apakah yang menyebabkan isteri sakit kepala yang melampau. Mungkin ada pendarahan dikepala? Mungkin ada darah beku yang menghalang aliran darah (blood clot)? Dan berbagai kemungkinan yang amat takut saya lahirkan.

Tapi doktor pakar tidak ada bertugas pada hari Sabtu. Jadi saya tangguh untuk menghantar isteri pada hari Isnin.

Selain dari sakit kepala yang amat sangat, pandangan mata kanan isteri menjadi terhad. Dia boleh nampak dengan baik sesuatu yang berada dihadapannya saja (tunnel vision), tapi tidak nampak dibahagian tepi matanyanya (periphery). Dia terpaksa membuat pusingan kesebelah kanan untuk mendapat pandangan yang baik akan objek di 'periphery' itu.

Jadi ada diantara anak kami mengesyakki isteri diserang oleh glaucoma. Maka kami bawa isteri untuk berjumpa dengan pakar mata.

Sebelum membuat ct scan, kami berjumpa dengan pakar mata. Pakar mata mengesyakki isteri diserang angin ahmar yang kecil (mild stroke). Tapi beliau memnta kami melakukan ct scan terlebih dulu.

Dalam perjalanan ke makmal x-ray , tiba-tiba isteri menyatakan kaki kanannya mula kebas-kebas dan rasa sejuk. Jadi kami bersegera untuk dapatkan tempat duduk berhampiran dengan makmal x-ray. Ditempat duduk itu isteri mengadu mengatakan tangan kanannya pula merasa kebas. Saya dan seorang anak perempuan memicit-micit tangan yang dikatakan kebas itu. 

Kami mengurut dengan menggunakan minyak angin. Isteri terlalu takut dan menangis. Kami cuba memberi kekuatannya agar jangan menangis dan meminta dia membaca apa saja ayat al-quran termasuk ayat Kursi. Isteri membaca sambil menangis. Anak mengurut tangan emaknya. Saya bergegas ke kauter ct scan untuk meminta supaya isteri saya didahulukan dengan alasan tangan kebas itu. Tapi pesakit terlalu ramai. Petugas tidak boleh melakukan apa yang saya minta. Saya faham tapi masih juga mengharapkan supaya keutamaan diberikan. 

Kembali ke tempat duduk isteri. Urutan anak itu telah menghilangkan rasa kebas. Tangannya mula panas semula. Alhamduliilah.

Apabila giliran tiba, saya menolak isteri yang duduk diatas kerusi roda masuk untuk tujuan ct scan. Scan yang pertama tidak dapat memberi gambar yang jelas, begitu kata petugas kepada saya. Ada seperti tompok hitam, katanya lagi. Oleh itu satu cecair (saya tidak dapat ingat nama yang diberitahu oleh petugas itu) perlu dimasukkan kedalam badan isteri untuk dapat satu imej yang jelas.

Otak saya sudah memikirkan yang bukan-bukan. Mungkin ketumbuhan?  Saya amat susah hati, tapi tidak memberitahu kepada anak-anak.

Kami terpaksa menunggu keputusan scan itu lebih dari 2 jam. 

Selepas itu kami berjumpa semula dengan doktor pakar mata. Dari imej scan yang dibuat beliau mengesahkan isteri kena serangan kecil angin ahmar. Beliau menghubungi seorang physician untuk kami.

Kami berjumpa physician itu. Sekali lagi disahkan isteri kena serangan angin ahmar dan memnita isteri di rawat diwad hospital bagi memudahkannya melakukan pemerhatian dan pemantauan. 

Hari ini hari ketiga saya dan isteri di wad hospital. Bacaan tekanan darah masih lagi belum stabil. Ada masa tinggi dan ada masa pada tahap yang normal. Doktor masih lagi membuat pemerhatian. Kami mengharapkan bacaan tekanan darah isteri itu menjadi normal supaya dapat segera keluar dari hospital.   

Begitulah secebis kisah yang berulang pada hari raya kurban buat saya dan isteri serta anak-anak kami. 

Adakah ianya satu kebetulan atau sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Allah saja yang maha mengetahui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan