Theflowersellingboy

Ahad, 27 Oktober 2013

Ringan-ringankan Kepala




Hari ini mau ringan-ringankan kepala. Badan pun masih lagi rasa letih setelah buat kerja dari 9 pagi hingga 12 tengah hari membersih dan mencuci kawasan luar rumah termasuk mengumpul sampah sarap dan duan-daun yang bertebaran dihadapan halaman rumah.

Mau ringan-ringankan kepala -tak mau fikir perkara yang berat-berat misalnya tentang persoalan : Belanjawan/ Bajet 2014: Tema, Teras dan Cara Penggunaan Wang: Mana Yang Lebih Penting Kearah Memperkukuhkan Ekonomi dan Mensejahterakan Rakyat.

Lain kali mungkin tajuk seperti itu akan dibincangkan.

Buat hari ini lebih baik ringan-ringankan kepala dengan menyentuh perkara-perkara yang boleh dikategorikan sebagai lawak-lawakan yang menggelikan hati kerana tidak ada kemunasabahan cara berfikirnya. Cara berfikir macam mat jenin, pak kaduk, lebai malang, pak pandir dan si luncai, dalam cerita Penglipur Lara Melayu Lama. 

Oleh kerana sekarang ini kita berada dalam zaman serba maju dan serba sofistikated maka jenaka yang dilaku atau dilakunkan oleh watak watak kontemporari ini kita panggil sebagai Penglipur Lara Melayu Baru (PLMB)

Sebelum kita pergi kepada PLMB, adalah lebih baik kita segarkan dulu dengan PLML .

Watak Pertama: Mat Jenin

Mat Jenin mau jadi orang kaya. Macam mana? Mudah saja, fikir Mat Jenin. Jual buah kelapa, dia boleh jadi orang kaya. Maka Mat Jenin pun panjatlah pokok kelapa. Sejak dari mula memanjat sehingga mencapai ke tandan kelapa Mat Jenin pasang angan-angan. Kalau jadi orang kaya, dia nak kahwin dengan puteri raja. Dia nak belikan puteri raja itu cincin berlian berwarna biru kilau-kilauan. Dia sendiri mau menyarungkan cincin itu ke jari manis puteri yang bakal jadi isterinya itu.  

Mat jenin membayangkan puteri itu tersenyum ria. Maka Mat Jenin terlalu suka lalu melompat-lompat kegembiraan. Dia tidak sedar bahawa dia sedang memetik buah kelapa. Lalu jatuhlah Mat Jenin ke tanah, terus mati.

(cerita diatas adalah versi saya sendiri. Tidak terdapat dalam versi asal).
 
Watak Pak Pandir: 
 
Pak Pandir adalah suami dan manusia lurus bendul. Pada suatu hari , isterinya Mak Andih memintanya supaya memandikan anaknya kerana Mat Andih hendak ke pasar membeli barang. Sebelum dari hari ini Pak Pandir pernah melihat isterinya memasak air bagi tujuan memandikan anaknya. Maka permintaan isterinyaitu baginya mudah saja dilakukan. Dengan itu dia dengan cepat menganggukkan kepala sebagai isyarat 'no problem', bisa dilakukan.

Isterinya telah ke pasar. Anaknya masih lagi tidur. Pak Pandir menjerang air bagi tujuan memandikan anaknya. Sebaik saja anaknya bangun, pak pandir memasukkan air yang panas itu dalam bekas mandi tanpa mencampurkan dengan air sejuk suapaya air itu menjadi suam. Dia mengambil anaknya itu dan memasukkan anaknya itu kedalam bekas mandi yang berisi air panas itu. Maka menjeritlah anaknya meraung kesakitan. Tapi bagi pak andir, raungan anaknya itu disangkanya anaknya terlalu suka dengan mandian itu. Maka matilah anaknya itu.

Baik. Cukuplah dua cerita bagi dua watak diatas.  Bagi cerita yang lain bacalah PLML.

Apa kesan cerita itu kepada anda? 

Ada dua kesan kepada saya. Pertama -kedua-dua watak itu adalah watak orang bodoh yang beranggapan diri pandai. Kedua -kedua-dua cerita itu berakhir dengan kematian diatas rasa seronok sendiri.

Apa macam? Geli hati tak dengan kebodohan dua watak diatas.

Bagi saya, walaupun tindakannya bodoh sehingga melibatkan kematian , watak-watak tersebut sungguh menghiburkan.

Baik. Sekarang kita mulakan cerita PLMB.


Watak XYZ:

Dalam sebuah negeri antah berantah namanya, ada seorang menteri XYZ nama diberi. Tugasnya ialah menjaga ayam dan itik dan yang sejenis dengannya. Penduduk negeri itu terlalu suka makan ayam sehinggakan bekalan ayam menjadi berkurangan pada hari perayaan. Oleh kerana 'demand untuk makan ayam mengatasi supply ayam' , maka mengikut tiori ekonomi, harga ayam akan naik. Rupa-rupanya, tiori ekonomi ini betul dari segi applikasi di alam nyata, apatah lagi dalam keadaan pasaran yang tidak sempurna (imperfect market - banyak penipuan dan manupulasi kerana antara lain capaian maklumat yang terbatas).

Maka naik darahlah orang di negeri antah berantah itu. Lalu mereka pun pergi jumpa menteri mengadu hal tentang harga ayam yang naik. Apabila saja berdepan dengan menteri XYZ, dihamburkanlah kata-kata yang pedas-pedas kerana terlalu marah dengan kenaikan harga itu. Tapi ada juga yang menangis meroyan minta belas kesian dari menteri. 

Menteri itu buat muka selamba saja bila mendengar kemarahan dan rintihan orang-orang itu. Dia (menteri muka selamba itu)  melontarkan satu cadangan. Katanya cadangan ini berdasarkan satu resolusi yang telah difikirkan masak-masak. 

"Kamu semua orang kampong. Mesti ada pelihara itik dan ayam. Sembelihlah ayam sendiri. Tak payah beli ayam di pasar. Tapi kalau harga ayam naik, jangan makan ayam. Makan yang lain seperti itik, burung atau pun ikan".

Maka bertambah marahlah orang-orang yang berjumpa menteri itu termasuk mereka yang merintih dan meroyan. Maka seorang daripada orang itu menjerit:

"Kami datang untuk meminta harga ayam yang murah. Bukan nak tukar jenis makanan. Bab tukar makan itu kami tahulah buat sendiri. Apalah kau ni , jadi menteri pun tak faham perkara yang semudah itu. Cap ayam betullah kamu".


Watak ABC:

Dalam negeri antah berantah juga, penduduknya suka sangat makan benda-benda yang manis. Setiap makanan yang dibuat, mesti ada bahan pemanis. Sambal tumis yang ada belacanpun, mesti dimaniskan agar kurang terasa pedas. Pendek kata kalau tiada manis, tiadalah selera rakyat negeri itu.

Maka tabiat sukakan yang manis ini membuatkan permintaan terhadap gula bertambah dari hari ke sehari. Ini membuatkan seorang pembekal gula yang mendapat monopoli pembekalan gula mengambil peluang mengapplikasikan tiori ekonomi demand and supply itu. Ertinya jika demand tinggi mengatasi supply maka secara otomatik harga gula mesti naik. 

Cuma masalahnya, pembekal yang seorang itu tidak boleh sesuka hati menaikkan harga gula itu tanpa memaklumkan kepada pihak pemerintah. Lalu diadukannya kepada pemerintah negeri antah berantah untuk tujuan menaikkan harga gula.

Memang sebelum itu juga, sudah banyak kali perkara ini diadukan kepada pemerintah untuk menaikkan harga gula. Tapi pemerintah tidak bersetuju kerana ianya boleh membebankan kehidupan rakyat yang telah pun terbeban dengan berbagai kenaikan harga. Tambah-tambah lagi waktu itu waktu mau masuk pilihanraya. "No, no no. I won't dare to do that now. Wait after the election", pujuk ketua kerajaan kepada pembekal itu.

Namun, pembekal itu masih lagi boleh tersenyum apabila kerajaan bersetuju menanggung kos kenaikan gula yang disebabkan demand mengatasi supply itu dengan cara memberi subsidi kepada pembekal itu.

Sekarang keputusan pilihanraya sudah diketahui. Kerajaan yang sama juga. 

Janji kepada pembekal mesti ditepati kerana itu adalah moto pilihanraya yang lepas. Ertinya, sekarang sudah ada keberanian untuk menaikkan harga. Namun sebagai kerajaan yang mementingkan penyertaan rakyat dalam sesuatu pertimbangan (kerajaan yang prihatin) maka diajak berundinglah dengan pembekal gula itu macam mana cara dan kaedah serta trik dan teknik  untuk memasyhurkan kenaikan harga gula supaya rakyat yang telah menyokong dan mengundi dalam pilihanraya lepas tidak marah atau merajuk serta menyesal.

Maka setelah bermesyuarah, tercapai kata sepakatlah bahawa i) gula tidak baik dari segi kesihatan kerana menyebabkan kencing manis seperti yang disahkan oleh doktor pakar, ii) penyakit kencing manis ini boleh mengurang atau melumpuhkan daya seks seseorang.

Tersenyumlah ketua kerajaan itu kerana amat yakin bahawa alasan ini sudah kuat untuk meyakinkan rakyat untuk menerima kenaikan harga gula. Maka dalam beberapa perjumpaan dua perkara ini diwarwarkan:

"Tuan-tuan yang disayangi, percayalah bahawa tidak ada niat kerajaan untuk menyusahkan rakyat. Sebenarnya kerajaan terlalu mengambil berat akan kesihatan rakyat. Kerajaan tidak mahu rakyat mengidap sakit kencing manis akibat mengambil gula. Gula itu manis tapi ianya racun seperti pepatah orang tua-tua kita: Madu itu racun, pahit itu ubat.

Oleh yang demikian, untuk mengurangkan rakyat mengidap kencing manis , mulai esok harga gula akan naik. Saya tahu ianya mungkin sesuatu yang tuan-tuan tidak suka, sesuatu yang pahit kepada tuan-tuan. Tapi, macam yang saya katakan tadi bahawa yang pahit itu adalah ubat dan yang madu atau manis itu racun. Sudah tentu kita pilih ubat, bukan racun. Lagi pun, kita mahu rakyat kita mempunyai daya kekuatan batin demi kebahgiaan dan kesejahteraan dalam kehidupan".

Itulah saja cerita saya dalam skim ringan-ringankan kepala.

Apa macam? Ada yang tidak ketawa cerita saya tu? Tak ketawa pun tidak mengapa asalkan saya dapat ringan-ringankan kepala.




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan