Theflowersellingboy

Jumaat, 6 September 2013

Justifikasi kenaikan harga dan nasihat yang tidak sihat

 
 
 
 
Sebahagian besar rakyat sungguh tertekan dan terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Kenaikan barangan dan perkhidmatan, nampaknya semakin menjadi-jadi. Yang terbaru ialah kenaikan harga minyak Ron 95 dan Ron 97.Berbagai alasan dan justifikasi bagi menyokong kenaikan harga itu. Antaranya untuk mengukuhkan ekonomi dalam jangka masa panjang melalui pengurangan subsidi kerajaan yang terlalu besar. 
 
Antara barangan yang mendapat subsidi kerajaan ialah minyak. Maka kerajaan memilih subsidi ini dikurangkan. Tapi pengurangan subsidi ini memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dan seterusnya membebankan sebahagian besar rakyat yang terdiri dikalangan yang berpendapatan rendah dan sederhana dan golongan yang tiada pekerjaan sama ada tetap atau sementara.
 
Kenaikan harga minyak ini akan juga mempengaruhi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang lain.
 
Bagi saja kerajaan telah mengambil tindakan yang kurang tepat. Ada pilihan lain yang boleh dan perlu dilakukan bagi mengatasi kedudukan kewangan negara. Benar, pengurangan subsidi tidak boleh dielakkan. Tapi pengurangan subsidi minyak ini yang memberi kesan yang merebak kepada kenaikan barangan dan perkhidmatan yang lain sepatutnya menjadi pilihan terakhir. Apatah lagi ianya melibatkan sebahagian besar rakyat.
 
Tapi saya tidak mahu membicarakan pilihan lain yang boleh dan perlu dilakukan kerajaan. Kerajaan tidak akan mendengar. Saya lebih suka untuk menurunkan antara alasan-alasan, hujah dan nasihat yang terpancul dari mulut menteri atau mereka yang menyokong tindakan kenaikan sesuatu harga.
 
Dengarlah alasan, hujah dan nasihat-nasihat yang terpancul dari mulut pak menteri dan mereka yang senafsu dengannya bagi menjustifikasikan kenaikan harga. Saya tokok tambah dengan suara hati kecil saya.

1. Harga gula naik: 
-Kurangkan guna gula. 
-Lagipun gula adalah penyebab sakit kencing manis yang amat bahaya . 
-Gula sebenarnya adalah racun .

2. Harga ayam naik: 
-Kurangkan makan ayam. 
-Boikot penjual ayam dan tukar  makan ikan pula. 

Tapi harga ikan lebih mahal dari ayam?

-Boikot makan ayam dan ikan. 
-Ganti dengan makan....., jalan-jalan cari makan.
-Sambil berjalan tengok dalam tong sampah kalau-kalau ada makanan lebihan majlis-majlis rasmi kerajaan yang dibuang. Ngap saja makanan buangan itu.

3. Harga minyak naik: 
-Ianya hanya 20 sen saja sedangkan anak-anak dapat duit raya lebih dari itu, paling kurang 5 ringgit satu envelop. 
-Tidak membebankan berbanding dengan harga minyak negara jiran yang terlalu mahal. 
-Kurangkan guna minyak. 
-Banyak berjalan kaki atau berbasikal untuk ke tempat kerja kerana ianya menyihatkan tubuh badan.

4. Tarif air dan letrik naik: 
-Kurangkan pakai air. Kurang minum, kurang mencuci dan membersih, kurang mandi sebab kambing yang tak mandi pun harganya mahal.
-Kurangkan pakai letrik. Bergelap pun tidak mengapa sebab dulupun kita pakai andang dan pelita.

5. Harga rumah naik: 
-Jangan tinggal dalam rumah. 
-Tinggal saja dalam pondok.  Dulupun kita pernah duduk dalam pondok durian. 
-Susah-susah sangat tinggal atas pokok macam datuk nenek kita dulu.
-Jadi musafir dan tidur di surau dan masjid
-Tidur dimana-mana saja kerana negara kita selamat. Boleh tinggal atas jejantas, bawah jambatan, kolong, kaki lima dan lorong belakang.
-Kalau semua tempat telah penuh, tinggal saja dalam tanah. 

Begitulah selalunya yang diperkatakan setiap kali harga naik. Telah tertanam dalam otak kepala pak menteri dan yang senafsu dengannya bahawa orang Malaysia ini bodoh-bodoh belaka atau boleh diperbodohkan. 

Mengapa menteri dan gengnya itu percaya yang orang malaysia ini bodoh? 

Sebab orang yang terseksa menanggung beban kenaikan harga inilah yang mengundi dan menyokong kerajaan yang ada. Kena seksa, undi tetap BN. Bukankah itu orang yang bodoh atau boleh diperbodohkan. Jadi amat sesuailah justifikasi dan hujah kenaikan harga pun dibuat mengikut kepala otak yang bodoh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan