Theflowersellingboy

Khamis, 26 September 2013

Jawapan kepada mereka yang gundah gulana , keluh kesah dan susah serta sakit hati tentang kenaikan harga barang dan perkhidmatan: Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian---, Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Tidakkan lari gunung di kejar, hilang kabus nampaklah dia.

Apabila harga barang-barang dan perkhidmatan  naik, seperti harga minyak yang naik 20 sen saja itu, harga ayam yang pasti naik setiap menyambut sesuatu perayaan, harga rumah yang tidak mampu dicapai oleh banyak orang, harga gula yang telah pun naik dan yang bakal naik lagi bagi mengelakkan sakit kencing manis, harga pengangkutan naik berikutan kenaikan harga minyak, harga barang-barang lain yang naik seperti roti canai kesan dari kenaikan harga minyak, ramai orang yang menjadi keluh kesah, dalam hati menjadi gundah gulana, marah, sakit hati, geram, benci, kecewa, menyesal kerana memilih kerajaan yang ada. 
 
Itu adalah respon dalam hati yang setengahnya pendam saja. Ada yang buat bising dan hebuh-hebuh di warung-warung kecil di tepi longkang dan jalan raya yang berdebu. Ada juga yang bercerita dalam restoran dan cafe berhawa dingin.
 
Ada juga yang ajak berdemonstrasi, satu respon berbentuk fisikal. Walaupun diberi amaran oleh pihak berkuasa, mereka ini, bilangannya tidaklah besar kerana ramai yang takut kena cekup dan dipukul sebelum kena cekup.
 
Melainkan yang pendam dalam hati, respon diatas adalah untuk memberitahu kerajaan bahawa mereka terlalu terbeban dengan kenaikan harga. 'Tolonglah, kami tidak tahan lagi', itulah maksud respon mereka itu. Dan ada pula yang menagih janji pilihanraya, "Janji nak beri kami senang. Sekarang harga naik. Susah yang dapat."

Bagi saya respon seperti itu kurang menarik, kerana tidak ada sentuhan rasa. Tidak mengusik sedikitpun hati orang yang ada kuasa untuk menurunkan harga kerana tidak ada sentuhan peribadi, 'no personal touch', kata bahasa orang putih. Tidak ada luahan hati yang terus langsung kepada yang empunya diri. Kalau umpama menonton tv, kita hanya menonton siaran yang dirakamkan, bukan siaran secara langsung.

Sebab itu , saya merasa terkesan apabila membaca surat dari seorang anak muda perempuan yang berkerjaya, berpendapatan sedikit lebih dari 2,000 ringgit sebulan, yang ditujukan kepada PM, menyatakan perasaannya yang gundah gulana dan susah hati dengan kenaikan harga barang dan harga rumah yang mahal. Anak itu sesungguhnya menaruh harapan kepada PM untuk membantu bukan saja untuk dirinya bahkan untuk rakyat Malaysia.
 
Dia tahu dan dia sedar bahawa PM sajalah yang mampu berbuat demikian. 
 
Saya terkesan kerana ada banyak lagi dikalangan kita yang berpendapatan kurang dari 2,000 sebulan. Ada yang seribu, lapan ratus, lima ratus sebulan. Sudah tentu ada yang tiada berpendapatan tetap dan ada yang tidak berpendapatan kerana tiada pekerjaan. 
 
Jadi sedangkan orang yang berpendapatan lebih sedikit dari 2,000 menyatakan keluh kesahnya , bayangkan pula perasaan dan keadaan orang yang berpendapatan lebih kecil dan yang tiada pendapatan. Saya dapat bayangkan bahawa mereka tidak akan mampu untuk keluh kesah. Mereka akan kata, "Gila punya kerajaan. Baik akau mati".
 
Saya amat faham reaksi mereka itu sebab ada dikalangan adik beradik saya pun macam itu. Bekerja sebagai pemungut sampah sebuah syarikat pemungut sampah. Ada enam orang anak. Maknanya bersama diri dan isteri, bilangan yang perlu makan, pakai dan tempat tinggal ialah  8 orang. Saya tidak bertanya pula berapa gaji bulanan yang dia dapat.  Tapi apalah yang diharapkan gaji seorang pengutip sampah, di Malaysia! Gaji minima melebihi seribu pun , kerajaan tidak berani menetapkan. Maka kedudukan dia lebih teruk dari anak muda yang menulis surat kepada PM itu.

Saya ada kata-kata yang agak panjang susunannya kepada anak muda ini sebagai tambahan kepada kata-kata yang mungkin akan disampaikan oleh PM sebagai  membalas suratnya itu. Saya mengambil pendekatan: Berakit-rakit dahulu, berenang-renang kemudian. Bersakit-sakit dahulu dan bersenang-senang kemudian. Pemilihan pendekatan ini adalah sejalan dengan pemikiran dan pendekatan PM yang baru-baru ini telah mengusulkan 5 strategi utama yang akan dilaksanakan dalam MEMPERKASAKAN EKONOMI ORANG MELAYU dan BUMIPUTERA. 
 
Dalam tempoh 7 tahun perjalanan ke tahun 2020, kita mesti sanggup bersusah-susah dahulu. Tahun 2020 kita bersenang-senanganlah walaupun kemudian. Mengapa hati jadi gundah gulana dan susah dengan kenaikan harga?
 
Kata PM, saya percaya dengan penuh keyakinan, dengan membawa maksud bahawa apabila menyinsingnya fajar 2020, pendapatan isirumah orang Melayu akan meningkat ke tahap isirumah berpendapatan tinggi dalam sebuah negara Malaysia yang maju. 

Itu adalah janji PM.

Selain kita mengambil sikap bersusah dahulu dan bersenang kemudian, kita mesti ingat akan maksud yang dipesankan dalam pepatah Melayu ini: Tidakkan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah dia. Bukankah ianya ada persamaan dengan apa yang dihasratkan oleh PM. "Tunggulah, akan tiba masanya untuk kita bersenang-senangan", mengapa hati jadi gundah gulana.

Inilah kata-kata yang mampu saya susun untuk anak muda perempuan yang gundah gulana itu:

Anakanda yang gundah gulana,
 
Bersabarlah nak. Apabila menyinsing fajar tahun keramat 2020 nanti, anak dan semua orang melayu, InsyaAllah, akan menikmati pendapatan yang tinggi, dalam sebuah negara Malaysia yang maju. Hanya 7 tahun saja lagi. Tidak lama. 
 
Itu janji PM bukan janji ayahanda. Selain dari cakap PM, cakap siapa yang kita boleh percaya? Siapa yang kita boleh percaya menepati janji? Sudah tentu PM.

Ayahanda tahu bahawa punca dari rasa hilang percaya ini, bermula dari ayahanda sendiri kerana gagal menunai janji membeli sepersalinan baju untuk anakanda pada hari raya yang baru lepas. Berguling-guling anakanda diatas lantai buluh rumah kita sehingga ada bahagian badan yang luka. Tapi ayahanda masih prihatin lagi. Luka anakanda itu telah disapu dengan buah dan daun senduduk yang berkeliaran di belakang rumah kita. 
 
Jangan risau, seminggu dua lagi akan sembuhlah luka-luka itu kerana itulah ubat yang ayanhanda gunakan sejak dari kecil dulu untuk menyembuh luka. Mujarrab nak. Tak percaya, lihatlah tubuh ayahanda yang suka berlenggeng ni, menikmati angin berlepas lalu. Ok, kan. Cuma adalah parut-parut. Kata orang kudisnya baik, parutnya kekal.
 
Ayahanda juga faham akan kekecewaan anakanda kerana tidak membawa anakanda ke klinik atau hospital. Tapi ananda juga kena faham bahawa klinikitu terlalu jauh dari rumah kita. Kena berakit dulu. Kemudian menepi ke pengkalan sebelum meneruskan perjalanan ke hospital. Sudah tentu waktu kita sampai klinik atau hospital telah memberhentikan perkhidmatan. Jadi pilihan ayahanda itu  tepat sekali.
 
Takkan tidak dapat pakaian baru dan tidak dirawat di klinik anakanda jadikan sebab untuk tidak boleh percaya akan kata-kata PM. Itu tidak adil. Yang salah ayahanda. Yang mungkir janji ayahanda. Yang tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya ayahanda juga. Mengapa PM pula hendak dipersalahkan. Mengapa ada keraguan akan kata-kata PM itu.

Anakanda yang gundah gulana,
 
Bersangka baiklah kita. Masa 7 tahun tidak lama. Ingat akan pesan orang tua-tua, maksud ayahanda, orang tua melayulah. Kita cakap fasal ekonomi melayu. Jadi rujukan kita mestilah dalam kerangka melayu. Kata mereka: Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Apa macam setuju tak?
 
Memanglah benar harga minyak naik walaupun 20 sen ianya menyusahkan hidup kita. Tambah-tambah lagi barang yang lain pun naik juga. Tapi ambillah falsafah dari perumpamaan diatas. Kita susah dulu, untuk senang kemudian. Kita susah hari ini untuk hidup senang bila fajar 2020 menyinsing. Bukankah bersabar itu separuh dari iman. Percayalah kepada takdir wahai anakanda. Kenaikan harga ini adalah takdir. Usah dilawan takdir.

Kalau pesanan pepatah diatas masih tidak mampu meyakinkan hati anakanada yang gundah gulana itu, tidak dapat mengubati hati sakit itu, dengarkan pula kata-kata hikmat ini: Tidakkan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah dia.
 
Ertinya wahai anakanda, kita mesti sentiasa percaya bahawa kehidupan susah yang menyiksa kita pada hari ini sehingga tahun 2020, pada akhirnya atau orang putih kata 'at the end of the day', kita akan dihidangkan dengan kesenangan sebaik saja terbit matahari tahun 2020. Kabus akan hilang dan gunung yang cantik dan indah itu akan berada di pandangan mata kita, suatu hari nanti. Bersabarlah.
 
Kecuali, kecualilah anakanda berhujah mengatakan bahawa gunung itu diliputi oleh jerebu dan bukan kabus. Yang ini ayahanda angkat kedua-dua belah tangan menyerah kalah.
 
Kalau jerebu itu berpanjangan tanpa tempoh masa untuk hilang, kecewalah kita untuk menikmati keindahan gunung itu.  Sesaklah kita untuk bernafas kerana udara menjadi tercemar. Ruang pernafasan kita menjadi sempit disebabkan partikel-partikel dari jerebu itu melekat dan berkumpul pada lapisan ruang laluan pernafsan kita. Satu lagi bentuk dan jenis kolesterol yang bakal menyerang kita. Serangan bukan saja dilaluan saluran darah untuk membolehkan darah lancar keluar masuk kejantung tapi bersama dengan itu ialah serangan di ruang laluan keluar masuk udara yang menyiksakan pernafasan kita.
 
Tapi anakanda yang gundah gulana,
 
Bukankah baru-baru ini kita telah dihidangkan dengan juadah dan segala bentuk dan jenis makanan pada hari berpesta pada raya yang baru lepas.? Anakanda jangan buat lupa. Anakanda jangan tidak pandai bersyukur. Kufur nikmat namanya, kata setengah bijak pandai. 

Jangan pula marahkan ayahanda yang mungkir janji dan tidak mampu bawa anakanda ke klinik menjadi sebab untuk anakanda memarahipihaklain. Itu tidak adil.
 
Renungkanlah wahai anakanda bahawa hidangan yang anakanda santap bersama dengan ribuan anak-anak malaysia di hari pesta itu, menurut sumber yang boleh dipercayai, mencecah 2.88 juta ringgit. Bukan 20 sen seperti kenaikan harga minyak yang anakanda hebuh-hebuhkan itu. Bandingkan, tidak perlu khidmat perunding luar atau dalam untuk membuat kiraan. Ayahanda yang sekolah atap ini pun boleh buat kira-kira. Tapi ayahanda tidaklah dapat menunjukkan kira-kira itu dalam bentuk angka. Sebab angka itu sudah terlalu fobia untuk ayahanda. Ayahanda cuma dapat berbisik pada anakanda: " Mak datuk, banyaknya. Patutlah......."
 
Ayahanda harap selain dari amakanda, jangan ada orang lain yang dengar. Risikonya terlalu amat tinggi terutama jika ada pihak yang cuba menyambung perkataan 'patutlah .....'. Macam-macam benda mereka boleh cakap.

Panjang sungguh warkah ayahanda ini. tapi sesekali memberi nasihat apa salahnya. Nasihat ini pun nasihat yang baik, meminta anakanda bersabar dan terimalah takdir kenaikan harga.

Wassallam.

Ayahanda yang tiada gundah dan tiada gulana. Tiada juga wang di poket.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan