Theflowersellingboy

Isnin, 23 September 2013

Harga Barang Naik Adalah Ketentuan Pasaran

Seorang menteri kata bahawa harga minyak naik adalah ketentuan pasaran. Ertinya harga gula yang telah naik dan yang bakal akan naik, harga ayam naik dan harga barang dan perkhidmatan yang lain naik adalah ketentuan pasaran.
 
Cakap menteri itu betul. Jangan ada pula yang pandai-pandai hendak menyanggah atau buat demonstrasi untuk meminta kerajaan menurunkan harga sebab kerajaan tiada kuasa. Yang berkuasa ialah pasaran. Pasaran yang menentukan harga.
 
Ahli-ahli ekonomi memang sudah faham dengan kuasa pasaran ini yang dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai 'market forces'. Tempat berlakunya market forces ini dipanggil 'market place'. 
 
Market place orang kampong antaranya ialah di pasar. Setengah tempat memanggil market juga dengan sedikit ubahsuaian dari segi sebutan yang berbunyi 'merket' atau yang bunyinya semacam itu. 
 
Orang kampong juga faham apa itu harga di pasar sebab disitulah mereka saling tengkar menengkar dengan penjual tentang harga. Dalam semua keadaan orang kampong itu menyerah kalah. Sebab yang berkuasa adalah harga di pasar.  Harga di pasar itulah yang menentukan berapa banyak dan berat barang yang boleh dimasukkan dalam troli untuk dibawa balik. 
 
Kalau 4 atau 5 tahun dulu harga ikan kembong 5 ringgit satu kilo, dan pagi tadi naik 20 ringgit sekilo maka bilangan ekor ikan kembong yang mampu untuk dibawa balik untuk digoreng berkurangan sebanyak 4 kali ganda yang bersamaan dengan 4 kali menjadi rengan dari segi timbangan kilo. 
 
Bagi orang kampong itu, hari ini, bilangan peratah ikan telah bertambah dan selera makan pun semakin meningkat. Bilangan tanggongan sudah bertambah dan anak yang dulunya kecil telah tumbuh membesar yang mempunyai selera makan yang hebat. 'Tolak batu dan kayu', yang lain semuanya dikebas, begitulah jolokan yang diberi.
 
Sesungguhnya orang kampong itu tidak dapat melawan kuasa di pasar. Dia juga tidak dapat menahan tambahan bilangan keluarga. Dia juga tidak dapat menahan kehebatan selera anak-anaknya. 
 
Tapi orang kampong itu tidaklah bodoh sangat dalam menghadapi keadaan harga di pasar yang naik itu. Dia tidak pernah berputus asa dan harapan. Sebagai ketua keluarga dia mesti mencari jalan untuk membesarkan anak-anaknya. Dia tidak boleh kata pada isterinya, 
 
"Yang, kita patut merancang mengurangkan anak sebab harga barang semakin naik. Selera kita dan selera anak-anak kita perlu sekat. Makan ekor ikan saja. Itupun yang ada. Kita tidak mampu melawan kuasa pasaran".
 
Orang kampong itu tidak tergamak mengatakan sebegitu walaupun dia hanya orang kampong bersekolah atap. Dia berazam dan berusaha mencari jalan untuk mengatasi masalah kekurangan ikan kembong disebabkan kenaikan harga itu.
 
Isterinya walaupun seorang suri rumah, pandai membantu dengan memberi idea yang bernas demi anak-anaknya. Isteri itu mencadangkan,
 
"Apa kata kita makan ekor atau tulang ikan saja atau kerak-kerak gorengan ikan itu. Kan ke kita dah lama makan isi ikan. Cukuplah".
 
Begitulah cara berfikir orang kampong itu dalam menghadapi kuasa pasaran yang berlaku di pasar. Dia mengambil langkah berjimat cermat, mengorbankan seleranya kerana dia tidak mampu melawan penjual di pasar yang meminta harga seperti yang ditetapkan oleh kuasa pasaran. 
  
Jelas bahawa orang kampong itu tidak hilang semua kuasa walaupun dia tidak mampu menyekat kuasa pasaran. Dia masih lagi ada kuasa dalam menentukan apa yang perlu dibuat jika harga ikan meningkat naik. Dia tidak hilang akal.

Cuba kita kembali kepada kenyataan menteri itu bahawa 'harga minyak naik adalah ketentuan pasaran'. Ingatkan juga kata-kata menteri yang lain yang mencadangkan bahawa jika harga ayam naik, jangan makan ayam. Harga rumah naik jangan beli rumah. Harga sayur naik, tanamlah sayur.

Jangan juga lupa akan kata-kata seseorang yang dikatakan berilmu agama, dalam hal kenaikan harga minyak. Katanya kenaikan harga ini adalah ketentuan Allah.

Bandingkan dengan cara orang kampong berfikir apabila menghadapi kenaikan harga. Siapa atau pihak manakah yang mudah hilang akal.

Menteri-menteri diatas mencari 'scapegoat' atau mangsa untuk dipersalahkan atau justifikasi berlakunya kenaikan harga. Atau berlindung disebalik sesuatu yang memang ada kebenarannya seperti market forces itu. Atau berlindung atas nama takdir dari Allah. Siapa yang tidak percaya kepada takdir?  

Soalnya ialah mencari jalan penyelesaian. 

Orang kampong yang menteri sentiasa mengendeng, memujuk, dan merayu  untuk diberi undi semasa kempen pilihanraya dulu dan yang sebahagian besarnya termakan dengan pujuk rayu menteri-menteri itu, perlukan pertolongan bukannya mahu tahu sebab kenaikan harga minyak. Mereka mahu menteri-menteri itu berfikir , berusaha dan mengambil tindakan kearah tidak membebankan kehidupan mereka kesan dari kenaikan harga barang. 

Mereka, orang kampong itu tidaklah boleh dianggap bodoh. Mereka tahu apa itu 'market forces' sebab mereka berdepan dengan realiti kenaikan harga. Ertinya bila harga naik, dia kena bayar lebih dan dapat barang yang sama yang lebih rengan dari dulu untuk keperluan bilangan tanggungan yang bertambah, termasuk selera.

Bagi menteri pula, bila harga naik dia akan beritahu kenaikan itu adalah ketetapan pasaran. Dalam realiti hidupnya dia tidak tertekan walaupun dia tahu nilai wangnya berkurangan dari dahulu bagi mendapatkan barang dan perkhidmatan yang sama. Tapi dia tidak pernah risau sebab keadaan itu tidak sesekali akan mengurangkan jumlah dan berat barangan serta kekerapan mendapatkan perkhidmatan. Semuanya bisa diatur dan diaturkan. Sebab ada yang mengaturkan. Sebab itu dia dengan mudah saja mengatakan bahawa kenaikan harga itu adalah ketetapan pasaran. 

Cuma, dia berani berkata begitu selepas memenangi pilihanraya.

Apa guna menjadi kerajaan kalau tidak ada kuasa? Bukan saya yang kata, menteri yang kata. Apabila menteri kata kenaikan harga adalah ketentuan pasaran dan menerimanya saja tanpa usaha atau tindakan bagi mengatasi kesan kenaikan harga maka jelas menteri itu tiada kuasa atau tidak tahu menggunakan kuasa secara yang betul dan dibenarkan.

Lihat orang kampong. Sanggup berkorban nafsu selera semata-mata tidak mahu menjejaskan keperluan selera anak-anaknya.  Dia tahu bahawa dia masih ada kuasa.
 
Menteri tidak boleh berfikir secara demikian ke? Mengambil tindakan kearah membantu beban kenaikan harga. Orang kampong sudah tunjuk contoh dengan melakukan korban selera. Menteri tidak mampu berjimat belanja ke?

Tidak perlu tunjukkan kepandaian dengan konsep kuasa pasaran. Atau supply dan demand. Atau konsep 'scarcity'. Kita tidak berada dalam kelas mata pelajaran ekonomi. Sekarang ini adalah realiti kedudukan ekonomi orang berpendapatan rendah yang tertekan oleh kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan. Cari jalan dan ambil tindakan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga itu kalau pun tidak boleh menahan kenaikan harga.

Adalah satu lawak jenaka kalau ada menteri mengatakan kerajaan tiada kuasa dalam mencampuri ketentuan pasaran. Apa guna jadi kerajaan. Bukankah antara fungsi kerajaan ialah 'to regulate' termasuk dalam soal mengenai harga. Sebab itu adanya kawalan harga. Tapi bukan bermaksud kita perlu kawal saja. Tindakan yang lain wajar juga diambil misalnya melihat struktur dan jumlah subsidi atau insentif yang telah diberi dan disediakan kepada sektor dan industri tertentu, termasuk konsessi  seperti tol dan IPP.

Kaji dari segi keutamaan berbanding dengan keutamaan mengatasi bebanan orang berpendapatan rendah. Dan jangan buat lawak seperti badut mengatakan pengurangan subsidi minyak yang menyebabkan kenaikan harga petrol Ron 95 adalah merupakan satu cara untuk membantu orang berpendapatan rendah. Hilang dan tiada akal namanya. 

Jangan bodohkan lagi orang kampong walaupun mereka telah dibodohkan semasa kempen pilihanraya. Jangan membebankan orang berpendapatan rendah sebab mereka sudah cukup terseksa. Bukankah bertanding dalam pilihanraya dulu bertujuan untuk merebut kuasa. Sekarang kuasa telah diperolehi mengapa pula mudah saja berkata kerajaan tiada kuasa keatas ketentuan pasaran.

Kalau tidak tahu guna kuasa, berikan orang lain berkuasa. Letak jawatan. Ada ramai lagi yang mampu jadi menteri dan mampu juga menguruskan kenaikan harga agar orang berpendapatan rendah tidak terbeban sangat dengan kenaikan harga.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan