Theflowersellingboy

Jumaat, 20 September 2013

Bagaimana Kehidupan Seorang Berpendapatan Kecil Seperti Pemandu Dalam Menghadapi Kenaikan Kos Sara Hidup. Apakah Jalan Penyelesaian Menurut Cara Pemandu dan Cara Kerajaan.




Banyak orang bercakap tentang subjek ekonomi rumah tangga, lebih tepat tentang pendapatan dan kos sara hidup. 

Golongan pemandu dan buruh kasar sipengutip sampah, pekerja mencuci bangunan dan yang senasib dengannya adalah golongan yang merasa terlalu tertekan dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Apalah yang boleh diharapkan dengan gaji sebanyak RM800.00 sehingga RM1000.00 untuk satu menu makan pagi, minum waktu rehat, makan tengah hari, minum petang , makan malam dan makan larut malam (supper)?

Jangan ada pula pihak yang cepat menceber bibir sambil sedap mengatakan bahawa sipemandu yang berpendapatan kecil itu sengaja mengada-ada. Mulut jangan celupar dengan membuat pertanyaan : Pemandu pun nak ber'supper'? 

Ingat pemandu pun manusia seperti juga orang kaya. Bezanya pemandu itu tidak pandai membazir berbanding dengan orang kaya.  

Bagi sipemandu itu menu dan kos menu harian adalah seperti berikut:

Menu minum pagi:

Nasi goreng berisi ayam          -RM4.00 sepinggan
Teh kosong tanpa gula             -RM 1.00 segelas
Jumlah kos                               -RM5.00 satu pagi seorang
Satu bulan ada 30 pagi             -RM 150.00 seorang

Menu minum waktu rehat
Karipap satu biji                      -RM1.00
Teh kosong tanpa gula             -RM 1.00
Jumlah                                     -RM2.00
30 kali minum waktu rehat     -RM 60.00

Menu makan tengah hari
Nasi campur (ayam atau ikan) - RM 6.00
Air kosong                               -RM0.20
Jumlah                                     -RM6.20
30 hari                                     -RM186.00

Jumlah kos bagi tiga waktu makan/minum bagi seorang pemandu dalam sebulan ialah  RM396.00. Ini bermakna baki yang ada setelah menolak kos diatas ialah diantara RM604.00 dan RM404.00. Dari lebihan sebanyak itulah banyak pihak terutamanya orang besar-besar, para pemimpin negara termasuk menteri akan meminta sipemandu ini untuk berjimat cermat dalam perbelanjaan termasuklah dalam perbelanjaan bagi membiayai kos menu minum petang, makan malam dan makan larut malam bagi tempoh satu bulan.

Sewa rumah? Atau bayaran balik pinjaman rumah? Tambang bas, LRT atau kos minyak motorsikal? 

Itu pemandu bujang atau solo. Pemandu yang dah kahwin dan ada anak 5. Mereka juga dinasihatkan untuk lebih berjimat cermat dalam menggunakan wang baki itu untuk keperluan tanggungan yang lain. 

Macam mana? Pening kepala tak sipemandu itu?
 
Ikan kembong sekilo pun sudah 20 ringgit. Daging ayam naik harga. Macam mana?

Ada pula anak-anak yang telah bersekolah. Tambang bas? Belanja makan di sekolah?

Ditambah lagi anak kecil yang terpaksa dihantar ke rumah orang untuk dijaga kerana isteri terpaksa bekerja untuk menambah pendapatan keluarga. Upah jagaan  RM 200 hingga RM 300 sebulan. Susu, lampin pakai buang dan pakaian lain perlu disediakan. Macam mana?

Macam mana? Si pemandu itu menggaru kepala mencari jawapan.

Jangan gusar dan gundah gulana wahai sipemandu kerana kerajaan sudah ada jalan penyelesaian. 

Pertama dengarlah nasihat dan hujah kerajaan ini.

Hendaklah berjimat dalam perbelanjaan. 

Harga gula naik, kurangkan makan gula. Lagi pun gula itu tidak baik dari segi kesihatan kerana boleh menyebabkan kencing manis. 

Harga ayam naik, jangan makan ayam . Tukar makan ikan. 

Tapi kata sipemandu pula harga ikan kembong pun mahal, 20 ringgit sekilo. Macam mana?

Harga rumah naik, jangan beli rumah. 

Sipemandu tanya lagi adakah dia perlu panjat pokok dan tinggal atas pokok? 

Harga sayur naik, tanam sayur di rumah. 

Rumah dan kawasan rumah pun tak ada. Nak tanam sayur atas pokok? Tanya pemandu.

Harga minyak naik jangan marah dan susah hati kerana matlamat kerajaan adalah semata-mata untuk menolong orang berpendapatan rendah.

"Biar betul", kata pemandu yang akalnya tidak boleh terima rasional kerajaan itu.

Kedua melalui agenda yang telah dibentangkan oleh PM baru-baru ini: 5 Agenda Memperkasakan Ekonomi Orang Melayu dan Bumiputera. Apabila menyinsingnya fajar 1 Januari 2020 pendapatan purata isirumah orang Melayu melebihi 4000 ringgit sebulan dan hidup dalam sebuah negara Malaysia yang maju.

Tapi harga barang dan perkhidmatan telah dan boleh naik tanpa menunggu fajar menyinsing pada tahun 2020. Hujah pemandu sambil terus menggaru kepala.

Pendapatan naik melebihi 4000. Bagaimana kenaikan kos sara hidup? Naik ke turun? Berapa banyak naik? Pemandu semakin pening kepala.

Adakah pendapatan 4000 lebih itu pendapatan purata dan bukan pendapatan setiap isi rumah? Kepala sipemandu itu semakin berdenyut kesakitan. "Matilah aku!"

Akhirnya sipemandu akan mengambil jalan penyelesaian sendiri sementara menunggu hasil tahun 2020. Itupun jika Pemerkasaan Ekonomi Orang Melayu itu benar-benar berhasil dan mengena pada sasaran. Kalau salah sasar dan tersasar seperti apa yang telah terjadi dalam banyak agenda mempertingkatkan ekonomi Melayu pada masa yang lepas, sipemandu itu mesti bersedia dari sekarang untuk mencari jalan penyelesaian.

Apa jalan penyelesaian pemandu? Berubah perangai dari mengada-ada  kepada bersyukur apa yang ada. Tak perlu ada makan pagi, minum waktu rehat, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan makan larut malam. Kalau ada baki 400 belanjalah sebanyak itu. 

Jangan cakap fasal tidak cukup sebab bukankah pepatah Melayu telah membuktikan bahawa ada orang Melayu yang hidupnya 'Kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang'. Jadi apa salah dan tidak kenanya jika sipemandu itu mengambil tindakan seperti itu. Dan jika sipemandu itu mahu buat transformasi hidup dia boleh melakukan lebih lagi iaitu 'kais pagi ini makan pagi esok'. Itukan cara berjimat cermat yang selalu diberi nasihat oleh para pembesar dan menteri.  

Cuma sipemandu itu tidak bersetuju apabila ada menteri yang mempertahankan kenaikan harga minyak kerana harga minyak negara jiran misalnya di Singapura adalah lebih mahal dari di Malaysia. Sipemandu itu mahu tanya menteri itu berapakah gaji pemandu Singapura. Apakah jenis dan keadaan rumah. Mereka ada kereta? Bagaimana anak-anak mereka mendapatkan pelajaran? Tahap perkhidmatan kesihatan? Dan segala yang berkaitan dengan kehidupan pemandu Singapura itu. Ertinya berbanding dengan kehidupan pemandu di Malaysia, adakah kehidupan pemandu di Singapura itu lebih baik atau teruk?

Sipemandu itu telah ada jawapan dan tahu bahawa kehidupan pemandu di Singapura itu adalah jauh lebih selesa dan senang berbanding dengan pemandu di Malaysia. Sebab sepupunya di Singapura adalah seorang pemandu yang selalu berulang alik melawatnya. Dan sipemandu itu pun selalu mengikuti sepupunya itu dan bermalam dirumahnya di Singapura.

Jangan pula ada menteri yang meminta sipemandu agar berhijrah ke Singapura. Pemandu tidak bersalah kerana dia hanya pemandu yang selalu mendapat nasihat menteri. Menteri cakap fasal Singapura, pemandu pun cakap fasal Singapura atas tajuk yang sama iaitu kehidupan seorang pemandu dalam menyara kehidupan. Dan pemandu itu juga mengambil inisiatif bagi mencari jalan penyelesaian. Jalan penyelesaian pemandu adalah lebih bermakna dari jalan penyelesaian menteri dan kerajaan.
"Bujang sampai ke tualah", kata sipemandu yang masih bujang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan