Theflowersellingboy

Sabtu, 28 September 2013

Orang Bodoh dan Pindaan undang-undang; Orang bodoh dan pelan pendidikan negara




Menurut sebuah berita, melaporkan Tun Dr Mahathir antara lain memberi komen bahawa i) Pindaan keatas Akta  Pencegahan Jenayah, seperti yang sedang dibincangkan dalam sessi parlimen sekarang bagi membolehkan tahanan tanpa bicara adalah perlu kerana rakyat Malaysia masih lagi tidak berpendidikan dan membangun. Beliau berharap pihak berkuasa tidak menyalahgunakan undang-undang itu untuk kepentingan diri.

Perkara ii) ialah berkaitan dengan perbelanjanjaan dan penggunaan khidmat perunding luar dalam menyediakan Pelan Pendidikan Malaysia (Malaysia Education Blueprint). Katanya beliau sendiri boleh melakukannya tapi tidak diberikan tugas untuk membolehkannya mendapat RM 20 juta (hanya 20 juta- TPM) seperti yang dibayar kepada perunding luar itu.

Kelihatan, PM yang telah diberi amanah mengurus dan mentadbir Malaysia lebih dari 22 tahun itu yang bersamaan 39 % dari keseluruhan usia kemerdekaan ( 56 tahun ), mempunyai istilah dan tafsiran sendiri bagi sesuatu hal dan keadaan yang sama iaitu berbeza dari orang lain atau pimpinan lain, jika ianya bukan yang beliau kehendaki atau tidak memihak kepadanya. Ertinya beliau tidak memakai kamus universal dan satandard yang diterima pakai oleh majoriti manusia.

Pindaan undang-undang bertujuan bagi membolehkan pihak berkuasa menahan tanpa bicara adalah perlu, katanya. Maknanya kepada Dr. Mahathir ianya satu langkah yang bijak walaupun yang membentangkan rang undang-undang itu terdiri dari pimpinan kerajaan dan ahli parti yang dikatakan bodoh itu.

Orang bodoh boleh jadi bijak, jika Dr. mahathir mahu katakan begitu.

Cuba kita semak siapakah orang, pimpinan dan ahli parti yang dikatakan Dr. Mahathir itu sebagai bodoh. Sudah jelas bahawa orang itu, pimpinan itu dan ahli parti itu adalah dalam kumpulan yang sama dengan Dr. Mahathir juga. Orang itu  dan sebahagian besar pemimpin kerajaan yang ada, adalah orang atau pemimpin yang menjadi ahli jemaah menteri yang dilantik oleh Mahathir ketika beliau menjadi PM dulu.

Soalannya adakah semasa dulu orang-orang itu semuanya bijak pandai? Kalau ikut logik pemikiran Mahathir, orang-orang itu adalah yang bijak dan yang pandai. Sebab, mustahil, PM yang terlalu berkuasa pada masa itu memilih ahli jemaah menterinya dari orang-orang bodoh. Hanya 'mutu mengenal manikam', kata orang tua-tua. Hanya orang yang pandai saja kenal dan bijak menilai yang mana pandai dan yang mana tidak pandai; yang mana ada nilai tinggi dan yang mana tiada nilai.

Jika logik ini dipakai maka Dr. Mahathir yang pandai itu telah memilih orang yang pandai juga. 

Tiba-tiba sekarang ini, beliau kata orang itu, pemimpin-pemimpin itu dan ahli parti itu terdiri dari orang bodoh. Alasan nyata yang diberikan ialah kerana orang muda  dan berkelayakan tidak diberi peluang atau disekat untuk mengambilalih barisan kepimpinan. Ertinya orang tua menghalang orang muda.

Kalau itulah alasannya maka bererti pada pandangan Dr. Mahathir, 'bodoh'nya orang itu adalah disebabkan orang itu telah tua. Bodohnya orang itu adalah kerana orang itu menyekat atau tidak memberi peluang kepada orang muda.

Memanglah benar bahawa sebahagian besar orang yang dilantik Mahathir menjadi menteri atau yang dipilih dalam barisan kepimpinan parti dulu, sekarang ini telah bertambah usia. Pada tafsiran beliau sudah tua. 

Tapi bukankah semakin berusia, semakin tua, seseorang itu semakin matang dan semakin banyak mengumpul pengalaman khususnya pengalaman dalam pentadbiran negara. Mereka itu adalah aset yang berguna kepada negara. Mereka itu berguna kepada negara.

Apabila mereka itu menjadi aset kepada negara, berguna kepada negara maka mereka itu tidaklah boleh dikatakan bodoh. Tidak mungkin orang bodoh boleh mencapai ketahap menjadi aset yang berguna kepada negara. Ertinya mereka itu pandai. Bermakna kata-kata Dr. mahathir itu salah.

Tapi jika beliau masih juga mempertahankan pandangannya itu iaitu orang itu bodoh, maka kita boleh juga tanya adakah pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah itu tidak cacat kerana yang membentangkannya adalah dari orang dan kepimpinan parti yang bodoh. Tidak mungkin orang bodoh boleh membentangkan satu pindaan undang-undang.

Dan kita tanya lagi kenapa pula beliau menyokong pindaan yang dicadangkan oleh orang dan kepimpinan yang bodoh sedangkan beliau seorang yang pandai.

Adakah kerana pindaan yang membolehkan tahan tanpa bicara itu sesuai dengan selera beliau, maka sebab itu beliau menyokong tanpa mengambilkira tahap kemampuan berfikir sipembentang dan kepimpinan yang ada yang dikatakan sebagai bodoh.

Beliau juga mengingatkan agar pihak berkuasa jangan pula menyalahgunakan kuasa jika pindaan ini diluluskan nanti. Menyalahgunakan kuasa? Macam mana ops lalang?

Perkara kedua ialah tentang pelan pendidikan malaysia dan perbelanjaan 20 juta ringgit bagi membayar perunding luar. Dr. Mahathir mengatakan beliau sendiri boleh menyediakan pelan itu dan bersetuju menerima bayaran 20 juta ringgit. Tapi tawaran tidak diberikan kepadanya.

Saya rasa apa yang tersurat dan tersirat yang mahu diketengahkan ialah mengapa kerajaan perlu guna perunding luar. Mengapa perlu bayar 20 juta ringgit. Jumlah ini bukan sedikit. Membebankan kewangan negara.

Bukanlah beliau hendakkan sangat ditawarkan kepadanya.

Tapi bukankah hal-hal yang berkaitan dengan 'out sourcing' atau penswastaan atau penggunaan khidmat perunding ini, menjadi satu daripada polisi penting semasa beliau menjadi PM dulu. Habis ditibainya pegawai kerajaan kerana katanya kurang kemampuan dan kurang cekap mengurus, lalu jalan penyelesaian ialah gunakan khidmat perunding; jalan penyelesaiannya ialah penswastaan.

Berderet panjang perunding-perunding yang digunakan. Ada perunding dalam negeri dan ada perunding luar negeri. Bayaran 20 juta ke?  

Cuba semak berapa banyak projek-projek dan konsessi seperti lebuhraya tol dan IPP yang nilainya berbillion yang tumbuh bercambah seperti cendawan selepas hujan semasa beliau menjadi PM. Contoh yang saya ingat ialah projek jambatan bengkok ke Singapura yang perancangannya bermula pada zamannya tetapi tidak sempat dilaksanakan semasa beliau berkuasa. Berapa billion? Ada guna perunding?

Cuma jambatan itu tidak menjadi kenyataan apabila PM yang mengambilalih darinya membatalkannya kerana ianya satu daripada projek yang memberi tekanan kepada kewangan negara. Tapi ganti rugi kepada pihak yang telah terlibat dengan kerja-kerja awal projek itu kena juga dibayar. Berapa juta, saya tidak ingat.

Jadi sama ada orang itu bodoh dan membazir dari segi penggunaan sumber negara dan orang itu menyalahgunakan kuasa atau sebaliknya, Dr. Mahathir mempunyai istilah dan tafsirannya sendiri. Dia ada kamusnya sendiri yang tidak sama dengan kamus yang universal dan standard yang diguna pakai oleh majoriti. Oleh itu jangan diambil pusing sangat dengan apa yang diperkatakan oleh beliau, kalau kita tidak mahu pusing kepala atau kepala pusing.


 
 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan