Theflowersellingboy

Khamis, 5 September 2013

Mengapa Harga Minyak Ron 95 Wajar Dinaikkan.

 
 
 
 
Ron 95 naik  20 sen dua hari yang lepas. Ramai orang marah. 
 
Tapi ada menteri dan yang bersekutu dengannya percaya kenaikan itu tidak menyusahkan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana. Naik 20 sen saja, mengapa perlu diheboh-hebohkan. Kenaikan harga ini demi menyelamatkan negara dari beban memberi subsidi kepada harga minyak, hujah pak menteri dan yang sejenis dengannya. Katanya lagi kerajaan boleh menjimatkan wang sebanyak 1.1 bilion tahun ini.
 
Pandai sungguh kerajaan berjimat cermat dalam hal menguruskan wang negara. Kerajaan sedar bahawa defisit belanjawan negara perlu dikurangkan, lantas langkah menjimatkan perbelanjaan perlu diambil.  Jadi cara yang terbaik menurut kepala otak kerajaan ialah melalui pengurangan subsidi. 
 
Dan yang terbaik sekali ialah dengan memilih subsidi minyak Ron 95. Majoriti yang menggunakan Ron 95 ini adalah  rakyat berpendapatan rendah dan sederhana atau mereka yang pakai motorsikal dan kereta tidak mewah seperti kancil dan yang sejenis dengannya. Mereka ini orang susah-susah.

Kepala otak kerajaan mengenakan orang berpendapatan rendah dan sederhana itu memang tepat sekali. Pertama, mereka ini adalah rakyat majoriti. Maka banyak yang boleh dijimatkan. 
 
Kedua, mereka ini adalah penyokong tegar UMNO/BN yang telah memberi kemenangan kepada BN dalam pilihanraya 2013 yang baru berlalu. Mereka adalah penyokong yang taat setia kepada BN sejak dari asal mula, sekarang dan sampai bila-bila. Jadi apa saja tindakan kerajaan BN akan sentiasa mendapat dokongan dan sokongan mereka tanpa berbelah bagi walaupun ada pihak lain misalnya PR menawarkan penurunan harga minyak, jika menang dalam pilihanraya. 
 
Mereka ini mentah-mentah, tolak PR. Ertinya tolak tawaran turun harga minyak. Mereka menangkan BN. Ertinya mereka menerima kenaikan harga minyak. 
 
Jadi kerajaan akan sentiasa menjadikan mereka sebagai tempat menggantungkan harapan: i) dapatkan undi dan ii) sokongan kenaikan harga termasuk harga minyak.

Mereka tahu dan sedar, mereka terlalu terbeban dengan kenaikan sara hidup. Tapi taat dan setia kepada UMNO/BN mengatasi kesakitan menanggung kenaikan sara hidup. Apatah lagi sumber maklumat yang bersifat propaganda hanya diperolehi dari kerajaan, beban kenaikan kos itu semacam menjadi rengan dan boleh diterima. Kemudian, dimaniskan pula dengan pemberian BR1M , yang walau pun sekali dan terlalu kecil, tetapi menawan hati dan minda rakyat yang susah itu.

Sekarang ini mereka (rakyat yang susah ini) marah-marah pula dengan kenaikan Ron 95. 
 
Saya percaya pak menteri dan kerajaan tersenyum saja dalam hati. Mereka tahu apa yang perlu dibuat bagi memujuk dan meredakan kemarahan rakyatnya itu. Caranya pun telah diumumkan oleh PM semasa mengumumkan kenaikan Ron 95 iaitu akan menaikkan kadar pemberian BR1M dalam bajet 2014. Nampak tak, tersenyum lebar semula rakyat yang marah-marah itu. 
 
Tapi mereka lupa bahawa kesan kenaikan harga minyak adalah serta merta. Hari ini naik harga minyak, hari ini juga naik harga-harga yang berkaitan dengan kos pengangkutan, misalnya barang-barang keperluan makanan dan tambang bas dan teksi. Kalau tidak hari ini, dalam beberapa hari akan riuh rendahlah orang ini mengeluh akan kenaikan harga selain dari harga minyak. Tapi mereka masih lagi sayang BN. Sayang BN bermaksud sayang Barisan Nasional bukan sayang atau suka kepada Barang Naik.
 
Lihat, bagaimana rakyat yang hidup susah ini dimainkan oleh kerajaan. 
 
Anda rasa hairan dan pelik?
 
Saya tidak langsung rasa hairan dengan mainan kerajaan BN itu. Saya juga tidak rasa hairan dan pelik akan sikap dan perangai orang yang susah-susah ini menerima baik mainan BN ini. Mereka tetap berterusan menyokong BN walaupun dibeban dan ditekan dengan kenaikan harga minyak. Sebab , BR1M punya pasal, sampai mereka lupa akan kesusahan hidup dik tekanan kenaikan harga minyak. Jadi mengapa BN perlu risau. Buat saja. Bukti telah ada. 13 kali pilihanraya, BN menang juga.
 
 Satu perkara lagi. Rakyat yang susah-susah itu sentiasa dibuai mimpi akan pemberian BR1M yang hanya akan tiba pada tahun 2014 sedangkan harga minyak dan barang-barang lain telah lama naik. Mereka ini memang suka bermimpi yang indah-indah, berada diawang-awang sebab untuk melupakan realiti tekanan dan beban sara hidup yang menghimpit kehidupan mereka.

Walau apa pun diperkatakan, rakyat yang susah-susah ini  tetap akan menerima kenaikan harga Ron 95 ini. Mereka marah sekejap saja. Kemarahan mereka mudah saja dilenturkan dengan janji yang mereka fikir sebagai yang enak-anak seperti BR1M.
 
Dengan sikap rakyat seperti itu maka adalah wajar tindakan kerajaan menaikkan harga minyak Ron sebanyak 20 sen seliter. Cuma 20sen saja, kata seorang menteri. Itulah sebenarnya justifikasi kepada kenaikan harga minyak atau pengurangan subsidi minyak.
 
Bermakna kenaikan harga minyak bukanlah atas dasar untuk memperkukuhkan ekonomi negara. 
 
Ada banyak cara atau pilihan yang boleh dan perlu diambil bagi memperkukuhkan ekonomi negara melalui dasar fiskal. Antaranya, mengurangkan pembaziran perbelanjaan, ketirisan dan kebocoran kantung negara secara rasuah dan manupulasi harga konsessi dan perolehan kerajaan. 
 
Jangan pula bercadang melaksanakan GST. Tapi dengan sikap rakyat itu, saya mempunyai kecenderungan yang besar untuk mempercayai bahawa GST akan sampai tidak lama lagi. Dan rakyat akan marah. Tapi sekejap saja.
 
Hari ini minyak Ron 97 pula naik 15 sen. Ada yang berpendapat kenaikan ini melibatkan orang kaya-kaya saja. Bagi saya sebarang kenaikan harga, ianya memberi kesan kepada semua golongan rakyat. Harga yang naik itu akhirnya akan ditanggung oleh rakyat sama ada yang susah atau yang senang. Bezanya, yang susah akan lebih menderita dan yang senang agak sedikit kurang selesa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan