Theflowersellingboy

Selasa, 24 September 2013

SENYUM MALU: Malu Pada Diri Sendiri




Hari ini, bersama isteri, bersarapan pagi di kantin pejabat tempat kerja lama sebelum ke poliklinik berdekatan bagi isteri berjumpa doktor kerana idapan selesema dan batuk.
 
Waktu itu menghampiri pukul 11 pagi. Beberapa meja telah sedia ada penghuni. Setelah membuat pesanan kami menuju ke sebuah meja yang masih belum berpenghuni. 
 
Mata saya mencari-cari kalau-kalau ada orang yang saya kenal. Puas mencari , tiada juga ketemu. Mungkin ramai yang telah bertukar tempat kerja atau yang telah bersara. Agak kecewa juga dihati.
 
Harapan saya jika ketemu yang dikenali, bolelah kami bertegur sapa, bertanya khabar dan minum bersama. Berborak-borak menanyakan perkembangan di tempat kerja.
 
Tapi bukankah dulu saya memantangkan warga kerja menghabiskan masa di kantin bahkan tidak membenarkan mereka makan minum di kantin pada jam 10 pagi keatas sebelum memasuki waktu makan tengah hari?  Bukankah saya dulu yang memberitahu bahawa tidak ada istilah minum waktu rihat, sama ada pagi atau petang dalam syarat-syarat perkhidmatan?
 
"Minum saja dalam pejabat, disudut yang telah disediakan. Jangan buang masa di kantin". Arahan yang saya keluarkan dalam satu dari perjumpaan dengan warga kerja yang mendapat cemekan dibelakang. Dihadapan saya, semua diam dan ada yang bangun menyokong.
 
"Kaunter perkhidmatan mesti sentiasa ada orang", satu lagi arahan yang tidak digemari sehingga ada seorang warga kerja bangun bertanya, "Kalau kita cuti, macam mana?"
 
"Penyelia mesti tentukan sebelum menyokong cuti, aturkan seseorang supaya mengambil tugas kaunter itu". 
 
Sekarang saya mengharapkan untuk ketemu dengan pekerja-pekerja pejabat lama itu di kantin. Nak ajak berborak pula. Bukankah itu membuang masa. 

Saya tersenyum malu. Malu pada diri sendiri. Isteri nampak kehairanan. Pesanan telah sampai. Kami mula makan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan