Theflowersellingboy

Isnin, 23 September 2013

MISKIN dan GANAS

Orang miskin memang ganas. Orang mengganas kerana miskin. Miskin dan ganas adalah pasangan yang serasi. Sama juga dengan irama dan lagu, subsidi dan harga, politik dan penipuan tidak boleh dipisahkan. Ianya kesan mengesan, pengaruh mempengaruhi, perlu memerlukan dan lengkap melengkapi. Ianya bersifat inklusif bukan 'mutually exclusive'.

Tiada miskin, tiada ganas. Tiada irama pincanglah lagu. Tiada politik rosaklah penipuan.Tiada subsidi naiklah harga.

Ertinya jika kita mengidamkan kehidupan yang aman, selamat dan tenang tanpa keganasan kita perlu hapuskan kemiskinan. Sama juga jika halwa telinga kita merindui kemerduan sebuah lirik, sediakanlah iramanya. Begitu juga halnya dengan penipuan, hapuskan berpolitik hancur leburlah penipuan. Jika subsidi membebankan kewangan kerajaan dan perlu dikurangkan, terimalah kenaikan harga.

Saya hanya mahu meneruskan bicara tentang miskin dan ganas. 

Siapakah orang atau kalangan manusia yang dikatakan miskin. Dalam kata-kata lain apa ciri-ciri orang miskin ini. Secara amnya orang miskin ini adalah orang atau kalangan orang yang tidak berkecukupan dalam banyak hal dalam meneruskan kehidupan berbanding dengan orang lain atau kalangan yang lain.

Ketidakcukupan inilah yang melahirkan perasaan, fikiran dan cara hidup yang berbeza.

Orang miskin mudah kecewa, terusik hati, gundah gulana, sedih dan berhiba, tidak berpuashati, benci-membenci, merintih nasib, berdendam, cemburu dan irihati, berkeadaan kotor dan selekeh. Mereka jarang sekali berwajah ceria. Mereka berani mati kerana bagi mereka tiada apa-apa yang perlu dikhuatiri dan tiada apa-apa yang rugi. Mereka tidak punya apa-apa.

Namun perasaan itu hanya terhadap orang yang berkecukupan atau orang berada atau orang kaya atau orang yang hidup senang. Sesama sendiri mereka berkongsi perasaan dan fikiran yang sama. Orang kaya adalah musuh mereka. Begitu juga orang miskin adalah musuh orang kaya.

Tapi mereka saling perlu memerlukan. Tiada orang kaya kalau tiada orang miskin. Tiada orang miskin, kalau tiada orang kaya.  

Dalam sebuah kehidupan, orang kaya dan miskin tidak dapat elak dari berhubungan diantara satu sama lain. Kedua-duanya saling perlu memerlukan.

Orang miskin perlukan pekerjaan untuk mendapat upah bagi menyara hidup. Orang kaya pula mempunyai kemampuan bagi mewujudkan pekerjaan. 

Sampah sarap, sisa dan najis buangan mesti diurus dengan baik bagi satu persekitaran yang bersih dan sihat. Siapa yang sanggup melakukan? Sudah tentu orang miskin yang hidupnya susah yang memerlukan upah bagi menyara kehidupan. 

Sekiranya pekerja mengutip sampah atau penjaga tandas tidak bekerja satu hari saja, keadaan persekitaran termasuk tandas  akan terbiar dengan sampah sarap dan najis buangan yang kotor, busuk lagi menjijikkan. 

Bagi orang kaya yang telah biasa hidup selesa dalam persekitaran yang bersih dan aroma wangian, keadaan yang kotor dan jijik itu amat menyusahkan. Tapi bagi orang miskin, mereka masih lagi boleh bertahan.  Kehidupan dalam persekitaran yang kotor dan berbau busuk,  tidak asing bagi orang miskin.

Untuk itu orang kaya atau pihak yang diberi kepercayaan untuk menguruskan kekayaan kenalah menyediakan pekerjaan bagi orang miskin. Ianya menjadi satu tanggungjawab kepada orang kaya dan pengurus kekayaan untuk melakukannya. Jika gagal melakukannya tidak wajar orang itu menjadi orang kaya atau pengurus kekayaan.

Dimana kaitan diantara miskin dan ganas itu? 

Tadi saya nyatakan bahawa orang miskin  ini sentiasa berpendirian bahawa mereka tidak berkecukupan. Dengan itu perasaan mereka, fikiran mereka diselaputi dengan kekecewaan, sedih dan hiba, gundah gulana, tidak berpuashati, cemburu, benci dan yang lainnya disebabkan ketidakcukupan itu. Air muka mereka pun tidak mudah ceria, sebaliknya mendung dan masam macam cuka. 

Orang miskin ini  tidak ambil kisah apa yang akan terjadi walaupun mati. Mereka berani mati, tiada apa-apa yang mereka kesal dan takuti. Jika mati , tiada apa benda dan harta berharga yang  mereka tinggal. Anak dan saudara mara yang mereka tinggalpun tiada apa-apa makna kerana mereka itu hidup miskin juga.

Dengan ketidakcukupan itu serta perasaan yang terlahir darinya telah membentuk satu sikap yang bermusuhan (ertinya tidak suka) dengan orang kaya atau pengurus kekayaan yang diamanahkan, jika mereka itu tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik dan penuh amanah. Dengan lain perkataan tidak mewujudkan peluang pekerjaan atau keadaan yang membolehkan orang miskin itu mencari makan. Mencari makan bermaksud untuk mengisi perut, mempunyai tempat tinggal dan berpakaian.

Jika keadaan orang miskin itu berterusana dan semakin teruk, perasaan bermusuhan itu akan sampai ke puncak perasaan tidak ambil kisah, 'apa nak jadi jadilah'. Ertinya mereka berani mati. Ertinya membunuh dan dibunuh bukan satu hal yang perlu dipertimbangkan baik buruknya. 

Jika ketidakcukupan itu besar dan melebar berbanding dengan apa yang dimilikki oleh orang kaya atau pengurus kekayaan , sehingga mengujudkan satu jurang pemisahan yang begitu jauh memisahkan antara miskin dan kaya, orang miskin ini tidak ada pilihan melainkan terjun dalam jurang itu untuk dapat mencapai anggota badan orang kaya dan pengurus kekayaan. 

Mereka berbuat begitu, bukan untuk memohon pertolongan tapi melepaskan segala sifat-sifat kemiskinannya kepada orang kaya dan pengurus kekayaan itu, mengganas. Mereka akan mengganas. Sama ada kesannya dalam bentuk cedera rengan, parah dan hilang nyawa, pada diri sendiri atau pada orang kaya, ianya tidak perlu diambil peduli.

Apabila berlaku seperti itu maka ramai orang terutama orang kaya yang diganasi itu akan berkata, " Jahat sungguh orang miskin ini".

Tapi layak dan adilkah kata-kata itu dihamburkan kepada simiskin papa kedana itu?

Fikirkan tiga perkara ini saja untuk dijadikan garis panduan bagi menjawab soalan itu. 

i) Kehendak perut simiskin sama juga dengan kehendak perut sikaya, mereka mahu makan. Yang berbeza adalah saiz makanan, jenisnya dan kekerapan perut itu diisi dengan makanan. 

ii) Tempat berteduh dari hujan panas dan untuk berbaring, tidur dan bermesra-mesraan. Bezanya dengan orang kaya ialah suasana, persekitaran dan aroma tempat tinggal itu. Sudah tentu orang kaya mudah saja tersenyum semasa bermesra-mesraan dengan wangian yang meransangkan.. 

iii) Pakaian untuk menyelaputi anggota badan, sekurang-kurangnya boleh menutupi peralatan sulit. Bezanya orang kaya boleh melakukan persalinan pakaian pada kekerapan menurut kemahuan. Menutup anggota badan termasuk alat sulit bukanlah satu pertimbangan apabila melakukan persalinan. Bertukar pakaian adalah atas dasar bila mahu saja.  

Sudah tentu anda mempunyai cara fikiran dan pertimbangan yang lain bagi menjustifikasi atau menyanggah kenyataan: Jahatnya Orang Miskin Ini.

Tidak mengapa. Semua orang ada hak untuk berfikir dan menyatakan pandangan dan pendirian masing-masing.

Saya ada jawapan atau pendirian tentang kata-kata itu.

Bagi saya yang menyebabkan orang miskin jadi ganas adalah orang kaya dan pengurus kekayaan yang diberi amanah tetapi tidak menjalankan tanggungjawab yang baik dan beramanah. Sememangnya miskin dan kaya adalah satu hakikat hidup. Ya orang miskin itu hidup dan orang kaya itu hidup. Tapi apa makna sebuah kehidupan jika tidak cukup makan, tiada tempat tinggal dan bertelanjang tanpa pakaian.

Jiran anda yang anda boleh lihat mempunyai segala-galanya. Tidak terkeliurkah anda apabila melihatnya. Kalau terkeliurpun tidak mengapa kerana ianya hanya mengeluarkan bau busuk yang hanya melilih dibibir anda saja.

Tapi  sudah tentu anda cemburu? Sudah tentu anda marah? Jika anda tidak berperangai begitu, anda adalah malaikat, bukan manusia seperti orang miskin dan orang kaya.

Kemarahan anda ini semakin memuncak dan tidak boleh ditahan lagi untuk diterjemahkan dalam perlakuan keganasan jika pengurus kekakyaan yang diamanahkan telah pecah amanah. Tapi sayang sekali simiskin papa kedana ini tidak memilih mangsa. Siapa saja ditibainya termasuk yang miskin atau senang sedikit darinya.

Jadi kejadian-kejadian ragut, peras ugut, rompak, curi, pecah rumah, pecah kereta, bunuh membunuh adalah sebahagiannya dilakukan oleh simiskin. Tiada hal bagi mereka mengganas. Tapi tidak adil dan tidak wajar melabelkan mereka sebagai suka melakukan perbuatan-perbuatan itu. Ada pihak lain yang menyebabkan mereka jadi begitu. Ertinya pihak itu adalah juga bersubahat melakukan keganasan. 

Siapa mereka?  

Benarkah miskin dan ganas itu tidak dapat dipisahkan. Adakah orang kaya itu tidak ganas. Bolehkah kita katakan keganasan itu berlaku kerana adanya persubahatan antara yang kaya dan miskin. Contohnya bekalan senjata api Amerika kepada mana-mana pihak yang mahu menjatuhkan sesuatu kerajaan yang dibenci oleh Amerika. 

Bukankah Amerika itu kaya. Dan bukankah penerima bekalan senjata itu miskin sebab itu menerima bantuan. 

Bukan kah bantuan itu boleh kita panggil subsidi. Bukankah orang miskin sukakan subsidi.

Siapa pula yang memberi dan menarik subsidi.

Sengaja saya memaparkan soalan-soalan itu. Fikirkanlah akan maksud nya. Jangan risau jika ianya berbeza dengan maksud yang ada dalam kepala saya. Jika ada yang menganggap ianya sebagai mengarut, itupun tidak mengapa. Asalkan jangan menjadi pengganas dan bersubahat dengannya.

Sekarang ini mari kita bersama mencipta sebuah lagu yang lirik dan iramanya boleh mengasyik dan melunakkan pendengaran hawa telinga simiskin dan sikaya agar mereka tidak bersubahat melakukan keganasan khususnya sikaya.

Bukankah irama dan lagu tiada boleh dipisahkan?

 





 






  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan