Theflowersellingboy

Jumaat, 20 September 2013

MEMPERKASAKAN EKONOMI MELAYU/BUMIPUTERA

Perenggan 20 dari teks ucapan PM berkaitan dengan agenda Memperkasakan Ekonomi Orang Melayu dan Bumiputera antara lain beliau menyebut "............menyaksikan masyarkat Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat lain apabila fajar negara maju menyinsing kira-kira tujuh tahun lagi".
Saya fikir ini adalah harapan PM. PM yakin bahawa cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju  akan menjadi kenyataan apabila tibanya tahun 2020 nanti (tujuh tahun dari sekarang). Dan pada sinsingan fajar 2020 itulah orang Melayu dan Bumiputera akan berada pada tahap 'duduk sama rendah,  berdiri sama tinggi' dengan bangsa-bangsa (kaum) lain di Malaysia.

Tujuh tahun lagi adalah satu masa yang terlalu pendek untuk pencapaian satu matlamat yang amat besar ini. Tetapi PM yakin ianya akan berlaku melalui 5 Strategi Utama dalam agenda Memperkasakan Ekonomi Orang Melayu dan Bumiputera, iaitu

i) Mendaya modal insan Bumiputera
ii) Memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat
iii) Memperkukuhkan pemilikan bukan kewangan Bumiputera
iv) Memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera
v) Memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Jika ini benar-benar berlaku, saya dahulukan ucapan syabas dan tahniah kepada PM. Bagi saya PM seolah-olah mempunyai satu kuasa magic yang hebat dan strategi yang diusulkan terlalu amat luar biasa kemujarabannya. 

Renungkan setelah 56 tahun berlalu dengan berbagai dasar kearah membantu orang Melayu di sediakan, kedudukan sebahagian besar orang Melayu pada masa kini, masih lagi 'duduk tidak sama rendah dan berdiri tidak sama tinggi' dengan bukan Melayu. 

Tapi dengan kuasa magic PM, 7 tahun lagi orang Melayu yang susah itu akan jadi senang dalam sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Syabas?

Anda yakin?

Saya terpaksa menarik semula ucapan syabas dan tahniah diatas. Saya tidak yakin ianya akan berlaku. Sebab saya percaya bahawa dasar yang cantik tapi pelaksananya hodoh, hasilnya tetap hodoh. Ertinya saya tidak memberi nilai yang tinggi, tidak juga pada tahap sederhana mahupun pada tahap lulus keatas kepimpinan yang ada dari segi sifat amanah dan kebolehpercayaan serta kebertanggungjawaban.

Maka saya lebih banyak khuatir dari rasa teruja dengan agenda PM bagi 7 tahun yang akan datang ini. Yang saya khuatiri adalah sifat hodoh itu akhirnya akan menjadikan dasar Memperkasakan Ekonomi Orang Melayu dan Bumiputera itu bertukar menjadi MEMPERKOSAKAN  Ekonomi Orang Melayu dan Bumiputera. 

Kalau ini berlaku ianya tidak menghairankan kerana sifat-sifat kehodohan itu masih lagi mewarnai dalam pemerintahan kerajaan yang ada.

Ya, memang ada orang Melayu yang berkeuntungan hasil dari perlaksanaan agenda itu. Mereka ini adalah orang Melayu dari kelompok kecil yang sama yang saling berkepentingan atas kaitan politik, yang mempunyai pertalian dan capaian yang mesra dan dekat dengan orang Melayu yang berkuasa.  Siapakah yang memenangkan kerajaan yang ada sekarang? Maka budi pasti mahu dibalas.

Adalah juga benar bahawa pada tahun 2020 nanti kedudukan sebahagian besar orang Melayu tidak juga banyak berubah seperti yang ada ketika ini, banyak yang masih susah. Mereka ini adalah orang Melayu yang tidak ada kaitan kepentingan dari segi politik, yang capaiannya terlalu jauh dan dianggap tidak mesra dengan orang Melayu yang berkuasa (kepimpinan kerajaan).

Orang bukan Melayu pula tidak perlu cemburu dan takut akan agenda PM ini. Ianya tetap menguntungkan orang-orang bukan Melayu kerana sejarah telah membuktikan bahawa apapun dasar yang dibuat bagi menolong orang Melayu, orang bukan Melayu akan mendapat faedah, malah melebihi faedah yang sepatutnya diperolehi oleh orang Melayu. Sebab, wajah-wajah Melayu yang hodoh masih lagi menerajui kepimpinan negara. Mereka sudah betah melakukan perkara-perkara yang cemar. 

Jadi apa yang kita boleh harapkan? Tiada apa yang boleh kita harapkan selagi orang yang sama memimpin kita.
 
 

 


 

1 ulasan:

  1. Selagi UMNO melakukan rasuah dan jentera kerajaan pun rasuah, selagi itulah orang Melayu tidak akan maju, walau dasar apa sekalupun dilaksanakan.

    BalasPadam