Theflowersellingboy

Selasa, 24 September 2013

Cerita Orang Tua: Boleh didengar tapi jangan mudah buat kesimpulan




Sambil duduk bersama isteri di ruang menunggu di sebuah poliklinik, sebelum angka giliran isteri terpapar di skrin untuk masuk berjumpa doktor, saya ternampak seorang perempuan tua keluar dari satu daripada bilik rawatan, berjalan dengan bantuan tongkat berkaki empat. Dia melangkah terlalu perlahan sambil merungut. 
 
"Orang tadi kata bilik ini. Orang ini kata bilik lain. Aku dah tua tak larat jalan", beliau merungut seolah-olah mengadukan nasibnya kepada seseorang. Tapi dia tetap melangkah juga walaupun perlahan menuju ke bilik yang diarahkan.

Kesian, bisik hati kecil saya. 

Saya percaya keadaan seperti ini tidak akan berlaku jika orang tua itu dibawa terus ketempat yang sepatutnya dia pergi. Ianya satu perkhidmatan yang perlu bagi seorang tua seperti itu.

Saya masih di tempat menunggu bersama isteri. Orang tua tadi masih lagi belum keluar dari bilik yang dimasukki sebentar tadi. Alat hawa dingin di ruang menunggu rasanya tidak berfungsi dengan baik, panas.

Setelah menunggu agak lama, angka giliran isteri terpapar d skrin di pintu masuk bilik rawatan. Isteri menuju ke bilik itu. Orang tua tadi keluar dari bilik yang dimasukkinya tadi dan terus melangkah perlahan. Saya jangka , dia ke farmasi mengambil ubat.

Setelah isteri masuk berjumpa doktor, saya bangun untukmencari ruang yang lebih dingin kerana di tempat menunggu agak panas. Saya menuju ke ruang menunggu di farmasi dengan membawa dua harapan. Harapan pertama, hawa yang dingin. Harapan kedua, untuk  berjumpa dengan perempuan tua itu untuk berborak-borak.

Harapan saya diperkenankan Allah. Ruang tempat menunggu di farmasi, nyaman sekali. Perempuan tua itu ada disitu sedang bercakap-cakap dengan pembekal ubat. Perbualan mereka mesra sekali. Saya dapat dengar perbualan tetapi tidaklah begitu jelas. Mungkin fasal siapa yang menghantar orang tua itu ke klinik atau mengenai bilangan anak-anak orang tua itu.

Sesungguhnya saya ingin tahu tentang orang tua itu. Mahu berborak dengannya. 

Isteripun sampai dan menyerahkan slip preskripsi doktor kepada pembekal ubat dan duduk disamping saya. Jadi tidak sempat untuk saya berborakdengan perempuan tua itu kerana dia terus melangkah keluar.

Setelah ubat dibekalkan, kami menuju ke kantin untuk memberi lauk makan tengah hari. Kami nampak perempuan tua itu berjalan ditengah panas terik. Seorang pekerja klinik memberitahu kami orang tua itu memberitahunya bahawa anaknya memarahinya kerana selalu sakit dan melarang emaknya ke klinik. Pagi tadi dia dihantar ke klinik oleh orang lain. Sekarang kena balik sendiri berjalan kaki. Rumahnya di seberang jalan klinik.

Mendengarkan cerita itu dan melihatkan orang tua itu berjalan ditengah panas terik, saya meminta isteri untuk mengajak orang tua itu balik bersama kami. Kamipun dalam arah jalan yang sama. Dia bersetuju dan mendahulukan ucapan terima kasih sebelum kami dapat menyempurnakan perkhidmatan hantar balik ke rumahnya.

"Terima kasih Ji", begitulah ucapannya kepada saya semasa ia masuk dalam kereta. Saya di panggil haji. Nasib baik dah pergi haji, kalau tidak malu saya dibuatnya dengan panggilan haji itu. 

Dia bercerita tanpa ditanya. Dia membahasakan dirinya sebagai makcik. Dia sudah berumur 82 tahun. Ada 8 anak. Masih hidup 6 orang. Ada yang dah bersara dan ada yang masih kerja. Dia tinggal bersama dengan anak perempuannya. Dia ke klinik kerana asma dan darah tinggi. Tapi anaknya tidak membenarkannya. Sebab itu anaknya tidak tahu dia ke klinik/

Saya begitu minat mendengar cerita orang tua ini. Macam ada sedikit persamaan dengan keluarga saya. Emak saya berusia 84 tahun, dua tahun lebih tua darinya. Tinggal bersama adik perempuan saya. Emak melahirkan 14 orang anak. Yang masih hidup 11 orang. Emak pun ada darah tinggi dan asma.  
 
Tapi emak tidak boleh melihat dengan jelas. Jalan tidak semampu orang tua itu. Ingatan emak merosot sekali. Saya dan anak-anaknya yang lain pun ada masa dia tidak kenal.

Tapi perasaan kasih dan sayang kepada orang tua ini semakin bercambah.

Orang tua itu memanduarah saya menuju ke rumahnya. 'Masuk ke simpang kiri, sebelum sekolah Cina tu'. Dia seterusnya mengarah masuk sebelah kanan. Tapi sebelah kanan tiada jalan. Jika saya ikut kami semua akan masuk lurah. 

Dari titik mula arahan yang salah itu, saya mula merasakan bahawa orangb tua ini tidak tahu jalan balik. Kami berpusing banyak kali di tempat yang sama tapi tidak juga dia dapat menemui rumahnya yang katanya terletak di tepi jalan dan ada pokok rambutan. Katanya lagi rumah itu dibina oleh ketua menteri. Ketua menteri ada bagi dia wang lima ringgit untuk membolehkannya mengupah orang mengurut kakinya.

Mendengar cerita itu, saya sudah tahu bahawa rumah orang tua itu adalah rumah dibawah rancangan Program Perumahan Rakyat Miskin (PPRT) yang pernah menjadi satu dari tanggungjawab saya untuk melaksanakannya, Rumah kayu atau sekerat batu dan bukan rumah batu. Rumahnya kecil.

Tapi sepanjang pencarian, yang kelihatan adalah rumah batu banglow dan rumah teres sederhana. Semua rumah orang China.  Tiada rumah Melayu. Orang tua itupun tidak tahu nama kampongnya.

Namun kami ternampak seorang perempuan Melayu. Peluang kami untuk bertanya. 

Lega. Perempuan itu kenal perempuan tua ini. Katanya anak kepada  perempuan tua itu sedang mencari emaknya. Dia berterima kasih kepada kami kerana menghantar balik orang tua itu dan meminta orang tua itu duduk di rumahnya. Dia akan menalipon anak oran tua itu.

Kami berasa terlalu amat lega.  Tapi timbul pula dalam fikiran saya pertanyaan: Benarkah anak perempuan kepada orang tua itu tidak mahu hantar anaknya ke klinik? Saya rasa tidak begitu. Saya lebih yakin bahawa orang tua ini sudah masuk ke peringkat ingat-ingat lupa seperti emak saya. Cuma emak saya lebik merosot lagi.

Jika saya tanya emak saya soalan: Adakah ada sesiapa diantara kami yang balik menjenguknya.

Jawapan standard dari emak ialah: Tak ada seorang pun balik.

Mendengar jawapan emak saya itu kami semua ketawa. Sebab dihadapannya ada beberapa orang dari kami bersama anak-anak. Dia tetap mengatakan tiada siapa yang balik.

Ertinya, cerita atau kata-kata yang disampaikan oleh orang tua yang dalam usia seperti itu hendaklah jangan diambil sebagai semuanya tepat. Sebab, jika kita percaya semuanya benar, ada kemungkinan kita akan mengatakan bahawa anak-anak orang tua itu tidak bertanggungjawab.
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan