Theflowersellingboy

Isnin, 9 September 2013

Wajib Llulus bahasa Inggeris: Saya Setuju

Bahasa Inggeris akan menjadi satu subjek wajib lulus. Itu diantara perkara yang diperkenalkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). 

Sudah tentu ada reaksi. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju. Masing-masing ada alasan. Alasan kedua-dua pihak itu juga tidak mudah diketepikan. 

Bagi saya secara dasarnya, bersetuju subjek bahasa Inggeris itu menjadi satu daripada subjek wajib lulus. Ertinya semua pihak mesti bergerak dan bertindak kearah itu iaitu kearah terlaksananya dasar wajib lulus bahasa Inggeris itu. 

Ibubapa mesti yakin bahawa dasar wajib lulus ini lebih banyak menguntungkan dari merugikan. Benar, ianya bukan mudah. Tapi berjaya dalam hal yang tidak mudah adalah merupakan satu kepuasan. Kita mesti meyakinkan kepada anak-anak bahawa ianya demi kebaikan masa depan mereka yang serba mencabar. Penguasaan bahasa Inggeris dapat memudahkan anak-anak dalam menghadapi cabaran itu.

Para pelajar pula mesti mengambil sikap bahawa tiada apa yang rugi dalam menguasai lebih dari satu bahasa. Apatah lagi bahasa Inggeris, bahasa perhubungan antarabangsa. Penguasaan sesuatu subjek termasuklah bahasa Inggeris  memerlukan kerja kuat. Belajar bersungguh-sungguh dengan penuh minat. 

Satu dari tenaga penggerak bagi kita belajar bersungguh-sungguh ialah syarat yang ketat yang dikenakan untuk mendapat sijil dan melanjutkan ke peringkat lebih tinggi iaitu syarat wajib lulus. Tanpa syarat itu sebahagian besar pelajar tidak akan memberi tumpuan dan kerja kuat . Ada yang ambil mudah dan sambil lewa saja kerana kalau tidak lulus pun tidak jadi hal, masih lagi boleh dapat sijil.

Pihak kerajaan pula mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjayakan syarat wajib lulus ini. Pertama dari segi akses pendidikan. Semua yang perlukan pendidikan mesti mendapat akses pendidikan yang sama dari semua segi misalnya kemudahan, kualiti guru, dan sebagainya.

Persoalannya adakah ianya mampu dilakukan? Dan adakah kerajaan bergerak ke arah itu.

Dari segi dasar, kerajaan tidak bergerak kearah itu. Akses pendidikan menjadi terhalang kepada sebahagian besar rakyat terutama rakyat diluar bandar dan rakyat berpendapatan rendah diluar bandar dan dibandar.

Sekolah diluar bandar amat daif sekali. Sekolah dan peralatan serta kemudahan sekolah yang terlalu daif. Guru yang tidak cukup. Guru yang tidak layak mengajar bahasa Inggeris, terpaksa mengajar subjek bahasa Inggeris. Diluar bandar banyak yang kurang sehingga boleh menurun minat anak-anak untuk belajar atau pergi ke sekolah. Lihat saja kemudahan yang ada untuk sampai ke sekolah. Lihat jalan raya, jambatannya. Lihat bilangan sungai yang perlu diharungi.

Rakyat berpendapatan rendah dibandar juga tidak mendapat akses pelajaran sama baik dengan yang berpendapatan tinggi. Kos hidup terlalu mahal. Oleh itu anak-anak sentiasa tertinggal untuk mendapat akses pelajaran yang terbaik.

Jadi rakyat diluar bandar dan yang berpendapatan rendah sama ada dibandar atau diluar bandar perlu dibantu.  Kerajaan mesti mulakan dengan Dasar Pelajaran Percuma. Sediakan guru dan infrastruktur diluar bandar yang sama kualiti dengan di bandar. Jika ini dapat dilakukan, maka barulah ada kesaksamaan dalam akses pendidikan kepada semua rakyat. Maka syarat wajib lulus bahasa Inggeris tidak akan menjadi masalah, boleh dilakukan.

Dengan demikian Kerajaan mestilah segera  melaksanakan dasar pelajaran percuma dan menyediakan segala kemudahan infrastruktur dan guru-guru yang mencukupi dan berkualiti diseluruh negara, dibandar dan luar bandar.

Jika itu dapat dilakukan dan selepas semua murid berada dalam keadaan yang sama maka wajarlah mereka diuji dan disyaratkan dengan syarat yang sama iaitu wajib lulus dalam subjek bahasa Inggeris. 



 
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan