Theflowersellingboy

Ahad, 29 September 2013

Kerana Wang Adalah Segala-galanya.

 
 
 
Wang adalah segala-galanya. 
 
Tapi bagi setengah orang kenyataan diatas adalah tidak betul dan menyesatkan. Saya bersetuju. Tapi realitinya, apa yang berlaku, tidak mudah untuk kita menidakkan kepercayaan bahawa wang adalah segala-galanya.
 
Wang adalah segala-galanya. Kerana wang kita melakukan sesuatu. Kerana wang kita berkedudukan tertentu dalam masyarakat. Kerana wang kita disukai dan dibenci. Kerana wang kita jadi baik dan jahat. Kerana wang kita dihormati dan dihina. Kerana wang kita dapat buat pahala dan melakukan dosa. Kerana wang kita boleh berada disana dan disini. Kerana wang kita boleh jadi kaya dan miskin papakedana. Kerana wang kita boleh jadi pemimpin , presiden , raja dan perdana menteri. Kerana wang kita boleh jadi pembunuh. Kerana wang kita dapat pergi haji. Kerana wang semua boleh jadi dan terjadi.
 
Banyak lagi. Ertinya wang adalah segala-galanya.
 
Saya tidak pula dapat memberi contoh mengatakan bahawa wang bukan segala-galanya walaupun saya percaya hal sedemikian.

Macam mana dengan persahabatan? Adakah wang tidak memainkan peranan dalam menjalainkan persahabatan? Bagi saya wang adalah perlu dalam sebuah persahabatan. Kalau kita ada wang dan sahabat kita perlukan bantuan, sudah tentu kita mampu menolong. Kita telah merengankan tekanan hidup kawan itu. Sebaliknya, jika kita tiada wang, sahabat kita itu akan terus menerima tekanan dalam kehidupannya. Dia terpaksa cari dari sumber lain. Dan ada kemungkinan, jika dia tidak sabar dan mudah kecewa, dia akan mendapatkan wang secara yang tidak betul iaitu merompak, mencuri dan meragut. Kerana wanglah dia melakukannya.

Macam mana dengan kasih sayang? Kasih sayang diantara anak dan emak atau sebaliknya. Bukankah kasih sayang itu adalah kerana wang?

Saya percaya ada yang dengan cepat menjawab , tidak. Kasih sayang tidak boleh dijual beli, hujah mereka. Kasih sayang itu satu fitrah. Wang boleh diketepikan.

Benarkah wang boleh diketepikan apabila melibatkan kasih sayang?

Saya seorang bapa dan ada 6 orang anak. Harapan saya dan apa yang saya mahu ialah agar anak-anak saya berjaya dalam kehidupannya. Dapat pelajaran yang baik dan tinggi. Dapat kerjaya yang memberi pendapatan yang tinggi. Dapat membina keluarga yang bahagia. Dan mendoakan saya, sama ada semasa hidup atau sesudah mati agar dirahmati Allah dan diampunkan dosa.

Untuk melakukannya saya mesti bekerja kuat dan mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membiayai keperluannya seperti makanan, tempat tinggal pakaian dan persekolahan termasuk memasukkannya dalam kelas tambahan.

Saya buat begitu kerana atas dasar kasih sayang. Dan saya mampu melakukan itu kerana saya ada pendapatan yang mencukupi. Apabila harapan saya itu menjadi kenyataanm saya percaya saya akan menerima kasih sayang dari anak saya dalam bentuk doa tadi. Puncanya ialah  dari kemampuan saya memberi kehidupan yang baik kepada anak saya. Bukahkah wang yang membolehkan saya menzahir dan mengeratkan kekuatan kasih sayang diantara anak dan bapa.

Mungkin ada orang berhujah mengatakan anak-anak akan sentiasa mendoakan  kesejahteraan keatas bapanya walaupun kehidupannya miskin atau susah. Kata-kata ini adalah betul.

Tapi, peluang untuk anak itu melakukan sesuatu yang baik untuk bapanya hanya boleh berlaku, dan dilakukan dengan betul,  jika anaknya itu mempunyai ilmu, termasuk agama dan moral. Tanpa ilmu, kesedaran untuk melakukan yang baik, mungkin ada, tapi tidak dapat dilakukan dengan betul, baik dan sempurna.

Untuk mendapat ilmu, wang juga yang kita perlukan.

Seterusnya ada yang berhujah mengatakan bahawa tidak semestinya anak yang berpendidikan tinggi dan berkehidupan baik akan melakukan yang terbaik untuk bapanya. Malah ada yang lupa daratan dan sombong terhadap bapanya. Ada kebenaran hujah ini.

Tapi saya katakan keadaan seperti itu berlaku kerana orang itu walaupun ada ilmu tapi tidak mengamalkan ilmunya. Bila ada ilmu tiada amalan ertinya tidak ada ilmulah. Sama juga dengan jika ada wang tapi tidak digunakan. Orang itu tiada wanglah. Ertinya wang baginya tidak ada makna.  Sedangkan kita bercakap wang adalah segala-galanya.

Apa lagi hujah untuk mengatakan wang bukan segala-galanya.

Mereka yang menjalinkan percintaan kerap menyatakan bahawa mereka tidak memandang wang ringgit termasuklah kedua-dua ibubapa. Bila bertunang maka bercakaplah fasal berapa nilai hantaran, berapa barang yang mengiringi wang hantaran, majlis nikah kawin buat dirumah atau dihotel dan banyak lagi yang ditanya, difikir dan dirisaukan. Bukankah semua itu berkaitan dengan wang.

Untuk membolehkan kita melakukan amal ibadat misalnya bersolat, bayar zakat dan pergi haji, kita perlukan wang. Untuk bersolat kita mesti ada pakaian yang bersih, menutup aurat dan tempat yang bersih. Semuanya perlukan wang.

Saya rasa iman dan kepercayaan kita tidak memerlukan wang. Apabila kita telah percaya dan beriman wang bukanlah segala-galanya. Maksudnya jika ada pihak yang mahu mengajak kita keluar dari iman itu dengan melakukan bayaran besar atau kecil , wang itu tidak bermakna pada kita. Ertinya wang bukan segala-galanya.

Tapi mesti ingat untuk beriman dan mengukuhkan keimanan kita , wang juga yang kita perlukan. Kita perlu menuntut ilmu, dapatkan ilmu dan amalkan ilmu. Semuanya mesti ada wang. Hanya apabila iman kita sudah kuat dan kukuh, wang tidak lagi menjadi segala-galanya.

Adakah kita boleh mencapai ketahap itu dimana kita akan berkata wang bukan segala-galanya? Saya tidak berani mengatakan bahawa saya mampu berkata sedemikian walaupun saya percaya wang bukan segala-galanya.

Cuba kita buat ujian diri. Saya uji diri saya bagi mengatakan wang bukan segala-galanya kerana itu yang saya percaya dan itu yang ramai orang kata, walaupun ada setengahnya tidak percaya.

Katakanlah saya jadi PM. Maksud saya apa saja jawatan dan kedudukan yang ada kuasa. Saya juga beriman dan tahu yang salah dan yang benar. 

Saya ditawarkan dengan hadiah bernilai 100,000 ringgit bagi membolehkan orang yang tidak layak mendapat kontrak kerja. 

Reaksi saya ialah dengan segera menolak tawaran itu kerana salah dan berdosa. Ertinya wang bukanlah segala-galanya. Dosa pahala menjadi pertimbangan saya.

Kalau ditawar 1 juta ringgit . Saya tolak juga. 100 juta, saya tolak juga sebab saya beriman.

Ditawar pula 1 trillion ringgit (1% saja) kerana saya bersetuju dengan projek 100 trillion? Ketika ini saya ingat, pertimbangan saya  ada masalah. Wang sudah bermakna kepada saya walaupun saya sudah ada wang. Wang sudah mengancam pertimbangan saya walaupun saya orang yang ada iman.

Anda bagaimana? Saya ucapkan tahniah dan syabas jika anda tidak semacam saya yang telah mula memberi makna bahawa wang adalah segala-galanya, mengatasi iman saya, bercanggah dengan apa yang saya pegang dan percaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan