Theflowersellingboy

Isnin, 2 September 2013

BERATUR PANJANG Di STESYEN KEDAI MINYAK




Harga minyak naik 20 sen. Suasana meriah dikedai stesyen minyak. Banyak kereta beratur panjang macam berpesta gayanya.

Begitulah caranya rakyat menyambut kenaikan harga minyak. Meriah sungguh seperti mendapat sesuatu tawaran saham percuma. Seronok saya memerhatikan dari dalam kereta akan gelagat rakyat Malaysia. Rakyat yang paling sabar dalam dunia yang sanggup beratur berjam-jam lama semata-mata untuk membeli minyak pada harga sebelum harga itu dinaikkan sebanyak hanya 20 sen saja.

Apalah ada pada kenaikan 20 sen itu berbanding dengan lama menunggu dan membuang masa.  Tidak akan jatuh miskin kalau kita beli minyak pada harga yang dinaikkan itu. Kita cuma bayar 2.10 se liter, bukannya mahal. Tidak akan jadi kaya kalau kita beli minyak pada harga yang belum dinaikkan (1.90). Tak banyak beza harganya. Kenapalah logik ini tidak mampu difikirkan oleh rakyat Malaysia. Terima saja. Kerajaan mahu membantu kita rakyat semua.

Jangan dengar cakap  pembangkang. Pembangkang tu tidak tahu mengurus ekonomi negara. Kerja mereka hanya nak beri semua percuma. nak beri subsidi itu dan subsidi ini. Negara boleh jadi bengkerap kalau kita teruskan beri subsidi minyak. Sebenarnya kita kurangkan saja subsidi bukan hapus subsidi minyak.

Yang perlu kita lihat ialah pelabur. Galakkan orang melabur termasuk pelabur luar. Kita tingkatkan tahap galakan itu dengan mengurangkan cukai koperat dan berbagai bantuan lain. Benar itu pun subsidi juga tapi untuk pelabur kita beri nama insentif. Ianya lebih  sesuai.

Jadi bagi saya kita tidak perlu beratur panjang membuang masa distesyen minyak hanya bagi menjimatkan wang beberapa sen saja. Susah sangat ke ? Tak mampu nak bayar ?

Jangan kaitkan dengan harga sewa lori bawa barang-barang. Harga pengangkutan itu sudah tentu naik sesuai dengan kenaikan harga minyak. Ini ada logiknya. Harga barang dan perkhidmatan yang lain pun perlulah dinaikkan. Sama dengan harga sewa lori. Tak perlu dibantah. Kena terima. Takkan tauke beras yang membayar harga pengangkutan yang bertambah itu tidak dibenarkan menaikkan harga beras. Jika disekat, ini tidak adil.

Oleh itu untuk berlaku adil, kita kena terima kenaikan harga minyak itu. Lagipun bukankah dulu kita sanggup menolak pelajaran percuma, penghapusan/pengurangan tol dan penghapusan PTPTN. Banyak pengorbanan yang kita telah buat.

Takkan naik harga minyak 20 sen pun kita tak sanggup berkorban.

TERIMA SAJALAH KENAIKAN HARGA MINYAK 20 sen SAJA ITU.

Mari kita keluar dari barisan beratur  di stesyen kedai minyak itu kerana ianya tidak berbaloi dan membazir masa. Naik 20 sen saja bukannya banyak.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan