Theflowersellingboy

Ahad, 29 September 2013

Tidak beri menyesal, beripun lagi menyesal. Lebih baik tidak beri.

 
 
 
Kurang lebih pukul 11.15 pagi hari ini, Ahad 29 September 2013, saya dalam bilik air. Pintu bilik air diketuk dan dibuka oleh isteri. Wajahnya agak sedikit pucat, suaranya perlahan sedikit terketar-tekar memberitahu, 
 
"Bang ada seorang perempuan,  ibu tunggal dengan seorang anak minta duit 30 ringgit. Dia nak pindah rumah di Padang Jambu yang diberi oleh MAIM (Majlis Agama Islam Melaka). Tapi tak cukup wang nak bayar sewa lori. Dia ada di luar dekat pintu pagar".
 
Tidak jadi saya nak melepaskan hajat semula jadi. Terbantut apabila mendengar cerita isteri itu. Saya beritahu isteri agar jangan layan. Ini satu penipuan.  Sebab:
 
i) Kalau MAIM boleh sediakan rumah, takkan mungkin MAIM  tidak mampu membayar sewa lori untuk berpindah.

ii) Jika dia kekurangan 30 ringgit sudah tentu tempat pertama dia mengadu untuk mendapat bantuan ialah MAIM yang telah sanggup memberikan rumah kepadanya atau pun pada saudara mara atau orang sekampongnya. (isteri saya tidak pula bertanya berpindah dari mana ke Padang Jambu).

iii) Padang Jambu adalah jauh dari tempat tinggal kami, jika berjalan kaki. Tidak mungkin dia berjalan kaki bersama anaknya ke rumah kami. Ada kemungkinan di  hantar oleh seseorang. Tidak mungkin juga dia menaikki teksi kerana tambang teksi adalah tidak kurang 10 ringgit , mungkin lebih. Mungkin juga dia naik bas yang tambangnya murah. 

Tapi kenapa ke rumah kami. Rumah kami tidak akan kelihatan dari tepi jalan. Kenapa perlu menaikki bukit yang memenatkan sedangkan dia boleh saja pergi ke rumah di taman perumahan itu tempat dia berhenti bas.  Adakah beliau juga telah mencuba meminta bantuan dari orang di taman itu? Tak berjaya lalu ke rumah saya. Atau berjaya, tapi minta lagi? Allah saja yang tahu.


iv) Setahu saya MAIM tidak ada projek perumahan untuk ibu tunggal. Namun saya kena semak dengan MAIM.

v) Finomina meminta bantuan ini bukan kali pertama yang telah saya hadapi. Pada tahun 1997 saya telah didatangi di rumah oleh seorang lelaki berusia dalam 30an meminta bantuan tambang bas untuk balik ke Alor Star Kedah. Saya tidak percaya. Tambah-tambah lagi dia seperti memaksa saya untuk memberikan wang. Lalu saya berikan wang, tidak banyak hanya 10 ringgit saja dengan tujuan saya mahu dia segera pergi dari rumah saya.

Disebelah petang, saya terserempak dengan orang itu yang sedang menunggang motorsikal. Saya tidak marah kerana dari awalnya saya sudah tahu dia ini penipu. Tapi saya telah menggalakkan  perlakuan menipu seperti ini berterusan.

Dengan itu saya tidak mahu mengulangi kesilapan seperti itu. Saya beritahu isteri jangan layan. Maka lamalah perempuan yang mengaku ibu tunggal bersama dengan anaknya itu berdiri ditepi pagar rumah saya. Kesian? Entahlah. 

Kalau benar dia perlu bantuan, menyesal juga kerana saya tidak bantu. Rasanya 30 ringgit, terdaya juga untuk membantu. Tapi kalau saya membantu sipenipu, saya lagi menyesal kerana saya menggalakkan perlakuan menipu. Jadi saya memilih untuk tidak melayan permintaan orang itu.

Satu hal yang nyata ialah bahawa perbuatan seperti ini nampaknya berterusan, dan  bertambah. Adakah disebabkan tekanan hidup, sara hidup yang meningkat? 

Orang ini meminta bantuan dengan cara baik. Saya pula ada sejarah tentang kena tipu atas nama perlukan bantuan. Saya yakin orang ini juga melakukan tektik yang sama, menipu.
 
Tapi adakah tindakan saya tidak membantu orang tadi akan melahirkan perbuatan mencuri, meragut dan merompak? Harap-harap tidaklah begitu.

Serba salah. Tapi saya cukup yakin bahawa orang itu tidak bercakap benar.

Keluar saja dari bilik air, isteri memberitahu orang itu bersama dengan anaknya telah pergi. Pergi dengan tangan kosong?

Saya bertanya, "Muda ke tua?"

"Agak-agaknya dalam usia 40 tahun", jawab isteri, membandingkan dirinya dengan perempuan tadi. Isteri lebih tua dari orang itu, menurut raut wajah.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan