Theflowersellingboy

Sabtu, 21 September 2013

Chin Peng dan Abunya: Membuka Kisah Benar.


Secara peribadi saya tidak bersetuju mayat atau abu dari pembakaran mayat Chin Peng, Setiausaha Agung PKM yang telah menyebabkan banyak anggota keselamatan negara dan rakyat Malaysia terbunuh dan cedera semasa darurat dulu dibawa dan ditanam dimana-mana bumi di Malaysia. 

Saya percaya sebahagian besar waris pasukan keselamatan, termasuk saya, yang walaupun tidak menerima nasib malang seperti anggota yang lain yang terbunuh dan cedera, masih terasa akan suasana ketakutan berhadapan dengan ancaman serangan hendap pasukan PKM pada zaman darurat dulu.   

Walaupun usia saya waktu itu baru 10 tahun  tapi saya masih ingat akan ketakutan perjalanan dari Keroh ke Klian Intan dan seterusnya ke Kg. Lalang.  Kami (emak dan abah serta saya 4 beradik) menaikki lori polis yang didahului oleh sebuah kereta kebal bagi melindungi kami dari serang hendap komunis. Tidak ada seorang pun dari kami yang bersuara. Semuanya diam seolah-olah jika bersuara, komunis akan dapat mendengari suara kami lalu membuat serang hendap.

Nasib kami baik. Tiada serang hendap kominis. Kami semua selamat. 

Maknanya tanpa diserang hendap pun, komunis tetap memberi tekanan perasaan kepada saya pada masa itu. Saya sentiasa takut.

Sebab itulah saya tidak bersetuju mayat Chin Peng atau abu mayatnya ditanam di Malaysia.

Tapi pada hari ini saya mendapat maklumat bahawa dalam perjanjian damai diantara kerajaan Malaysia dan PKM ada peruntukan (syarat) yang membenarkan Chin Peng dan anggota PKM yang lain untuk balik ke Malaysia atau sekurang-kurangnya melawat Malaysia atas sifat lawatan sosial. Perkara ini ditimbulkan oleh bekas KPN yang juga terlibat semasa menyediakan draf perjanjian damai itu. Dan bekas KPN itu menyatakan bahawa kerajaan sepatutnya membenarkan abu mayat Chin Peng itu ditanam di Malaysia sebagai menghormati perjanjian damai yang telah ditandatangani itu. Jika tidak, katanya lagi, dunia akan mentertawakan Malaysia kerana mungkir janji.

Maka saya berpendapat jika benarlah apa yang dikatakan oleh bekas KPN itu, (saya tidak berpeluang membaca perjanjian damai itu) kerajaan sewajarnya melaksanakan apa yang telah dipersetujui. Janji mesti ditepati. Bukan saja janji perjanjian perdamaian ini bahkan semua janji.
 
Ini bermakna bahawa selepas mengetahui duduk perkara yang sebenar (saya harap apa yang dinyatakan oleh bekas KPN itu adalah benar), saya bersetuju untuk berubah pendirian iaitu dari tidak bersetuju kepada bersetuju abu mayat Chin Peng itu dibawa masuk dan ditanam di Malaysia. Tapi ianya tidak bermakna saya bersetuju dengan perbuatan PKM membunuh dan mencedera anggota pasukan keselamatan serta menimbulkan rasa takut dikalangan ahli keluarga anggota keselamatan. 

Bolehkah kita lupa dan maafkan saja apa yang telah mereka lakukan seperti dicadangkan oleh setengah pihak. Bagi saya dan keluarga yang terselamat dari ancaman bunuh PKM, pemberian maaf tidak jadi masalah walaupun pada asalnya saya tidak bersetuju. Bagaimana dengan waris keluarga yang bapa atau anaknya dibunuh oleh kominis? Saya faham, Islam lebih suka kita memberi kemaafan. Jadi diharapkan waris-waris keluarga tersebut mempunyai kekuatan untuk memaafkan apa yang telah berlaku.

Namun saya masih tidak boleh lupa akan ketakutan yang ditimbulkan oleh PKM.

Dalam masa yang sama saya juga tidak lupa akan mata pelajaran sejarah khususnya tentang perjuangan mendapatkan kemerdekaan daripada British. Buku sejarah dan guru yang mengajar sejarah lebih menekankan bahawa kita mencapai kemerdekaan adalah melalui kesepakatan diantara orang Melayu (yang ditunjangi parti UMNO), China (MCA) dan India (MIC) untuk berunding dengan penjajah British bagi sebuah negara Malaya yang merdeka. Masih teringat lagi saya akan kata-kata penuh kebanggan banyak orang termasuk cikgu sejarah bahawa kita merdeka tanpa mengeluarkan setitik darah pun. 

Perjuangan pihak-pihak lain seperti PKM dan persatuan-persatuan Melayu seperti Angkatan Pemuda Insaf (API) dan yang lain-lain langsung tidak dianggap sebagai perjuangan untuk mencapai kemerdekaan dari penjajah. Kesemua pertubuhan-pertubuhan yang menentang British itu dianggap sebagai pengganas dan dituduh sebagai kominis walaupun ianya terdiri dari orang Melayu Islam. Cuba ingat cerita Mat Indera yang pada setahun dua lepas menjadi isu yang hangat.

Itulah yang telah diajar dan yang terdapat dalam penulisan buku sejarah sehingga ianya sudah menjadi satu keyakinan yang tidak  mudah dipadamkan dan dikikiskan dalam kepercayaan sebahagian besar kita terutama orang Melayu termasuk saya.

Tapi apa yang benar tetap kekal benar akhirnya.

Maknanya selain UMNO, MCA dan MIC ada juga pihak atau kumpulan-kumpulan lain yang juga memperjuangkan kemerdekaan. Caranya saja berbeza. 

Maka peranan pihak yang telah dipinggir dan diasingkan dengan label pengganas itu wajar kita lihat, kaji dan nilai semula. Kita tidak mahu sejarah negara kita hanya dipercayai kisahnya sebagai benar dan sahih dari perspektif yang ditulis oleh satu pihak saja, dari pihak yang percaya perjuangan kemerdekaan hanya melalui perundingan. Selain dari cara itu dianggap tidak sah dan haram. Dan mereka itu adalah pengganas. Mereka itu adalah kominis.

Sesungguhnya kisah Chin Peng dan abunya telah mengetuk otak  fikiran saya untuk melihat semula sejarah yang saya telah pelajari dulu. Sebelum kisah Chin Peng dan abunya, saya juga telah mula mahu melihat sejarah berbeza dari apa yang tertulis dan yang saya pelajari apabila saja kisah Mat Indera dibangkitkan.

Walaupun saya benci dengan pembunuhan yang dilakukan oleh PKM tapi saya juga tidak bersetuju untuk mengatakan bahawa melawan penjajah British itu adalah satu keganasan. 

Sebagai anak anggota keselamatan, saya juga masih ingat bagaimana bapa saya dan kawan-kawannya bertugas di estet-estet getah kepunyaan British bagi melindungi estet-estet itu dari serangan 'pengganas kominis'. Sebenarnya bapa saya dan kawan-kawannya melindungi kepentingan penjajah. Itulah agaknya yang tidak disukai oleh 'pengganas' itu sehingga menyebabkan mereka membunuh anggota keselamatan.

Pendedahan bekas KPN tentang perjanjian damai antara kerajaan dengan PKM  telah menambahkan kepercayaan saya bahawa sejarah negara kita khususnya tentang perjuangan kemerdekaan wajar dilihat, dikaji dan dinilai semula.
  




  
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan