Theflowersellingboy

Rabu, 17 April 2013

HANTU ADA DIMANA_MANA SEKARANG INI. ANDA PERCAYA?

Betulkah ada hantu? Soalan yang mudah. Tapi rumit juga untuk menjawab.

Mudah, kerana semua orang telah biasa dengan sebutan hantu ini. Ianya bukan perkataan atau sebutan baru malah ada setengah orang telah sedia membayangkan sifat dan perangai yang bernama hantu itu---buruk, menakutkan dan menyusahkan. 

Tapi rumit pula untuk membuktikan kewujudannya walaupun sentiasa disebut , dibuat berbagai cerita bahkan diberi tahu bahawa hantu itu juga ada berbagai nama--hantu jembalang, hantu kubur dan macam-macam nama lagi.

Cuma yang saya pasti ialah otak kepala kita boleh membayangkan rupa dan perangai hantu itu. Rupanya hodoh, bengis dan suka melakukan perkara-perkara jahat.

Jadi soalan betulkah ada hantu?  

Saya jawab memang betul ada hantu walaupun saya tidak pernah tengok. Otak dan fikiran saya mengatakan adanya hantu. Tapi tidak usah membawa saya ke mana-mana makmal sains untuk membuktikannya.

Secara amnya sebahagian besar orang takut pada hantu. Atau sekurang-kurangnya benci dan tidak mahu melihat, berkawan dan berjumpa dengan hantu. Hantu adalah jahat dan membinasakan.

Apabila bercerita saja fasal hantu, terutama pada waktu malam khususnya jika diceritakan kepada anak-anak, timbul rasa seram dan membuatkan bulu roma berdiri tegak. Kemudian jika ada mana-mana orang yang telah mendengar cerita hantu itu, disuruh pergi ke suatu tempat yang gelap atau ke kubur waktu malam, tiada yang sanggup termasuk orang dewasa seperti saya. Takut dan seram.

Itulah bukti yang saya dapat berikan bahawa hantu itu wujud.

Dan sekarang ini, waktu menghampiri pilihanraya, hantu sedang berkeliaran dimana-mana. Kali ini saya hendak bercakap fasal 2 jenis hantu saja iaitu Pengundi Hantu dan Kacang Hantu.

Bila tiba saja musim pilihanraya terutama pilihanraya umum, seperti PRU 13 yang akan datang ini, cerita mengenai pengundi hantu tidak pernah gagal diperkatakan orang. Pengundi hantu ini didakwa ada bertuan. Banyak pihak mengatakan bahawa SPR ada kait mengait dengan pengundi hantu ini walaupun telah banyak kali SPR menafikannya- tidak wujud pengundi hantu.

Namun dakwaan wujudnya pengundi hantu itu masih lagi kedengaran. Bahkan menimbulkan kebimbangan setengah parti yang akan bertanding. Dakwanya bahawa pengundi hantu itu boleh menjejaskan peluang pihaknya untuk menang.

Ertinya mereka percaya wujudnya pengundi hantu. Apa bukti?

Bagi saya memang susah untuk dibuktikan kalau sifat pengundi itu sama dengan hantu. Hantu tidak dapat dilihat. Tapi jika hantu itu jadi pengundi, sudah tentu dianya kena menunjukkan diri dengan membawa dokumen-dokumen pengesahan mengenai diri seperti kad pengenalan. Mustahil hantu itu datang mengundi secara tidak boleh dilihat. Hanya yang kelihatan kertas undi itu bergerak ke tempat memangkah dan dimasukkan kedalam peti undi. Jika berlaku seperti itu, saya ingat petugas tempat mengundi akan lari bertempiaran.

Maknanya dakwaan adanya pengundi hantu itu tidak benarlah?

Benar, ada pengundi hantu, tegas pihak yang bimbang itu.

Bukti?

Banyak juga bukti yang dikemukakan. Tapi memadai dengan mengemukakan beberapa kes. Antaranya:

i) Pengundi mendaftar pada tarikh ianya dilahirkan atau berdaftar sebelum cukup usia 21 tahun.

ii) Apabila disiasat, tidak terdapat pun rumah atau binaan kediaman/tempat tinggal dialamat yang terdaftar dalam senarai SPR.

iii) Berlaku perpindahan tempat mengundi tanpa dilakukan oleh pengundi sendiri.

Ohh begitu rupanya. 

Pihak yang membuat dakwaan itu menggunakan senarai SPR.

Kalau begitu berbincanglah dengan SPR dan buat 'verification'.

Sudah bincang? 

Tapi dengar cerita SPR masih lagi mempertahankan bahawa senarainya tidak ada pengundi hantu.

Saya bersetuju dengan SPR bahawa memang tidak ada pengundi hantu. Sebab jika mana-mana orang yang datang mengundi dan boleh dilihat orang itu bukanlah pengundi hantu. Bukankah hantu itu tidak boleh dilihat?

ooop, tunggu dulu, kenyataan saya itu masih lagi ada sambungannya.   

Sama seperti kaedah cerita hantu yang diperkatakan pada awal tadi bahawa memang hantu itu tidak boleh dilihat. Tapi otak kepala saya masih mengatakan hantu itu tetap ada sehingga boleh menimbulkan rasa seram dan membuatkan bulu roma tegak berdiri.

Jadi dalam hal pengundi hantu ini pula ianya boleh menimbulkan kebimbangan dan rasa takut setengah pihak bahawa ianya kalah dalam pilihanrya disebabkan pengundi hantu.

Bagi mereka (yang mendakwa wujudnya pengundi hantu), pengundi hantu itu boleh dilihat.  

Kita lihat kes tentang manusia Malaysia yang baru lahir didaftarkan sebagai pengundi?

Ertinya ada pihak atau orang yang sifatnya seperti hantu (tidak dapat dilihat kerana bersembunyi atau mempunyai kuasa) yang melakukan kerja-kerja kehantuan. Kerja-kerja kehantuan adalah kerja-kerja yang tidak mengikut prosedur, peraturan dan undang-undang. 

Selain dari 3 kes diatas, kes yang diuruskan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pemberian kad pengenalan  kepada warga asing di Sabah adalah contoh yang terbaik dan amat jelas sekali tentang kerja-kerja kehantuan ini.

Jadi sahlah bahawa ada pihak yang mewujudkan 'pengundi hantu'. Pengundi hantu yang boleh dilihat. Dulu kita tidak tahu orang yang mewujudkannya. Tapi RCI telah memberi maklum orang-orang tersebut dan semua dari kita telah mengenalinya.

Jadi saya rasa tidak hairanlah setengah pihak itu bimbang akan peluang untuk menang dalam pilihanraya PRU 13 ini kerana unsur-unsur kehantuan memainkan peranan.

Itu pengundi hantu. Cuba dengar cerita Kacang Hantu pula.

Kedua-dua jenis hantu ini sifatnya sama saja. Buat onar, buat jahat, bengis, kacau ganggu dan macam-macam hal yang tidak sama seperti perangai manusia yang beradab, bersopan dan berperaturan.

Hantu dari jenis ini senang saja dibuktikan kerana hantu ini jenis yang boleh nampak. Bukan saja boleh dilihat bahkan dengan muka tidak tahu malu menonjolkan diri, dialah yang hebat dan berani ke depan.
        
Kacang hantu itu adalah dari kelas rempit-rempitan. Jangan silap, bukan mat rempit. Mat rempit tahu malu dan segan silu. Dan ada yang berhati mulia.           

Disamping itu ada juga kacang hantu kelas siber. Macam-macam pakar kehantuan yang dimiliki. Antaranya buat fitnah, menipu, putarbelit buat, tayang dan sebar video seks, dan macam-macam kebencian yang direka cipta bagi menghancurkan keperibadian seseorang yang tidak sama politiknya.

Kacang-kacang hantu ini, siber dan bukan siber sekarang ini bekerja lebih dari 24 jam satu hari, diluar kemampuan seorang manusia. Maklumlah hantu! Ada dan berkeliaran dimana-mana. Tambah-tambah lagi tidak lama lagi akan diadakan hari penamaan calun. Maka berteberanlah mereka ini memenuhi ruang maya dan bukan maya.

Sebenarnya kedua-dua belah pihak yang akan bertanding dalam pilihanraya telah melakukan kerja-kerja untuk mendapatkan keyakinan rakyat untuk memberi undi. Ianya berterusan sehingga ke hari pilihanraya. 

Maka bersama dengan mereka yang berkempen itu ialah kacang hantu. Menjerit sana, melaung sini dengan mengeluarkan kata-kata seperti yang dilakukan oleh hantu. Pasang lagu dengan tahap bunyi yang tinggi, membuat bising menggunakan enjin motorsikal  mundar mandir seperti orang mabuk todi. Dan diperingkat paling gila ialah mencederakan pihak yang sedang berhimpun atau mahu pergi berhimpun untuk tujuan kempen. Yang paling sedihnya, ianya bebas dilakukan tanpa tindakan yang bersungguh-sungguh dari pihak yang berwajib.

Kacang hantu ini saya boleh buktikan, senang saja walaupun saya tidak hadir dalam mana-mana ceramah. Boleh saja melihat dalam rakaman video seperti semasa kempen PR di Melaka dan di Lembah Pantai. 

Ada yang sudah tengok? Sebenarnya tidak perlu tengok, buang masa saja. Tapi sebab nak menyatakan cerita yang benar dalam blog saya tengoklah. Maka kelihatanlah 2 wajah kacang hantu satu lelaki yang gelap dan satu perempuan. Dahsyat sungguh. Hanya hantu saja yang sanggup mengeluarkan kata-kata 2 manusia yang disebutkan itu.

Kerja kacang hantu ini ialah menakut-nakutkan rakyat sesuai dengan sifat hantu dengan melakukan serangan mulut dan fizikal. Setakat serangan mulut dan fizikal ianya masih lagi belum mencukupi. Hantu masih lagi belum puas. Dan tidak pernah rasa puas pun. 

Dilakukan kerja-kerja mempengaruhi pemikiran rakyat dengan mereka cipta kemungkinan berlakunya pergaduhan dan huru hara, terhapusnya hak orang Melayu dinegara sendiri, Islam akan terancam dan negara akan dikuasai oleh kuasa asing. Dan macam-macam lagi perkara-perkara yang boleh menakut-nakutkan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

Kerja menakutkan-nakut demi bangsa, agama dan negara ini dilakukan oleh kacang hantu yang bukan rempit-rempitan. Ini keja kacang hantu peringkat atas yang ada kuasa dan pernah berkuasa.

Oleh itu saya percaya bahawa sekarang ini hantu ada dimana-mana. Hantu yang paling aktif dan menonjol ialah hantu yang bernama Pengundi Hantu dan Kacang Hantu. 

Benar, hantu tidak dapat dilihat dan memang tidak ada hantu yang jadi pengundi. Mereka yang didakwa sebagai pengundi hantu itu sebenarnya manusia. Cuma berbeza dengan pengundi lain kerana mereka boleh mengundi hasil dari kerja-kerja kehantuan. Sebab itu tidak salah mereka ini juga di panggil sebagai pengundi hantu.

Kacang Hantu? Tidak ada bezanya dengan pengundi hantu. Hidup mati kedua-duanya mempunyai tujuan yang sama. Buat porak peranda, kacau ganggu dan menimbulkan rasa takut dan seram akan kehilangan satu bangsa, satu agama dan satu tanahair. 

Bukan saja bulu roma saya tegak berdiri bahkan rambut yang sedikit dan beruban ini pun tegak berdiri seperti dipakai gel minyak rambut, takut dan seram.

Hantu ada dimana-mana sekarang ini. Saya percaya. Anda?
             



 

     
 
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan