Saya teruskan berbicara tentang pilihanraya umum Malaysia yang ke13 khususnya siapa dan parti mana yang perlu kita beri undi. Tapi kali ini saya mengemukakan dalam bentuk soalan agar masing-masing yang layak mengundi boleh memberi atau mencari jawapan bagi meyakinkan diri bahawa keputusan untuk memberi undi kepada seseorang calun dan sesuatu parti itu telah dibuat sebaik mungkin.
Ingat, kita mesti sentiasa berpandukan kepada falsafah: menyokong dan mempertahankan mereka yang mahu atau suka melakukan kebaikan dan menolak yang melakukan kemungkaran. Dengan itu berdoalah kepada Ilahi untuk mendapat petunjuk yang benar- siapakah yang patut kita beri undi.
Disamping soalan-soalan, saya juga memberi jawapan mengikut apa yang saya yakin sebagai yang sepatutnya. Sudah tentu saya menyerah kepada Allah dalam memberikan petunjukNya. Dan jika jawapan itu tidak sama dengan jawapan anda atau anda tidak bersetuju dengan jawapan saya dan cara pemikiran saya, anda bebas melakukannya. Itu adalah hak anda.
SOALAN DAN JAWAPAN
1. Diantara anda sebagai pengundi dan kerajaan sebagai yang telah diberi amanah melalui undi oleh rakyat majoriti siapakah yang sepatutnya berbudi dan wajar diberi ucapan terima kasih.
Jawapan: Sudah tentu yang berbudi sepatutnya diberi penghargaan dan diucapkan terima kasih. Dalam hal kerajaan dan pengundi, parti yang telah diundi secara majoriti untuk membentuk kerajaan adalah wajar mengucapkan terima kasih kepada rakyat dan bukan sebaliknya. Tanpa rakyat yang mengundi parti berkenaan tidak mampu menubuhkan kerajaan.
2. Bukankah kerajaan telah banyak membawa pembangunan dan memberi khidmat demi kebaikan Rakyat, mengapa budinya tidak dikenang ?
Jawapan: Budi tetap dikenang. Tetapi menagih ucapan terima kasih dan meminta orang mengenang budi adalah tanda perkhidmatan dan kerja-kerja yang dilakukan adalah tidak ikhlas. Tambah-tambah lagi apabila kerajaan mencemuh dan mengungkit-ungkitkan apa-apa kebaikan yang telah dibuat.
3. Apakah anda faham perbezaan diantara kerajaan dan parti yang menang membentuk kerajaan?
Jawapan: Jawapannya agak panjang. Tapi secara rengkasnya Sebuah Kerajaan memberi khidmat secara adil dan saksama kepada semua rakyat sama ada ahli parti atau selain dari ahli parti kerajaan itu.
Manakala parti yang menang hasil dari undi majoriti dari rakyat, masih lagi sebuah parti politik dan bukan kerajaan. Ianya bekerja dan berkhidmat untuk kepentingan parti politik itu termasuklah ahlinya.
4. Adakah ini bermakna Kerajaan dari sesuatu parti itu, menguruskan perkara yang berbeza dengan apa yang diuruskan oleh parti tersebut misalnya dari segi kewangan?
Jawapan: Benar dua entiti (kerajaan dan parti yang membentuk kerajaan) ini menguruskan perkara yang berlainan walaupun sebahagian dari mereka terdiri dari orang yang sama. Kerajaan menguruskan khazanah negara termasuk kewangan yang diperolehi dari Kumpulan Wang Yang Disatukan (Persekutuan atau Negeri).
5. Jika demikian bagaimana dengan pernyataan yang berbunyi: 'Satu Lagi Projek Kerajaan Nasional' yang menggunakan peruntukan dari Kumpulan Wang DiSatukan itu?
Jawapan: Mana-mana projek atau pun perbelanjaan kerajaan mesti dikenakan keatas Kumpulan Wang DiSatukan itu. Bermakna tiada mana-mana pihak waimah parti politik yang menjadi kerajaan boleh mengatakan projek itu adalah projek Barisan Nasional kerana peruntukannya diperolehi dari Kumpulan Wang Yang DiSatukan.
6. Adakah cara yang mengatakan : Satu lagi projek Barisan Nasional itu boleh mengelirukan rakyat?
Jawapan: Sudah tentu, terutama kepada rakyat yang tidak memahami perbezaan diantara politik dan kerajaan.
7. Rakyat diminta menyokong dan mengundi parti yang baik, adil saksama dan memberi perkhidmatan terbaik demi rakyat dan negara dalam pilihanraya ke13 yang akan datang ini. Bagaimana cara untuk mengenal sesuatu parti itu lebih baik dari pesaingnya untuk diberi undi?
Jawapan: Mana-mana parti yang bersaing untuk mendapat undi untuk menang dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan akan mengatakan dialah yang terbaik. Misalnya BN mengeluarkan Akujanji dan PR dengan manifesto , masing-masing mahu meyakinkan dialah yang terbaik demi rakyat dan negara. Untuk membuat pertimbangan dalam memilih diantara BN dan PR , antara faktor penting yang perlu diambil kira ialah faktor calun itu sendiri dari segi i) Perwatakan , ii) Pengalaman iii) Moral dan iv) Iltizam
8. Apakah kaitan Perwatakan dengan sebuah kerajaan yang baik?
Jawapan: Dalam meneraju sebuah kerajaan perwatakan kepimpinan disemua peringkat adalah amat penting dalam menentukan sebuah kerajaan yang boleh rakyat menggantungkan harapan.
Seorang pemimpin, terutamanya pemimpin tertinggi dalam kepimpinan kerajaan mestilah berwatak seorang yang berani, tegas dan konsisten. Sekiranya pemimpin itu sentiasa dibayangi oleh orang lain misalnya DS Najib yang dibayangi oleh Dr Mahathir, maka apa saja tindakan atau keputusan yang dibuatnya yang tidak selari dan tidak berkenan dihati Mahathir, ianya tidak dapat dijalankan dengan berkesan.
DS Najib seorang pemimpin yang tidak berani. Selalu berlaku 'flip flop', hari ini kata lain, esok lain pula. Misalnya apabila PR mencadangkan untuk hapus tol dan turun harga kereta, Najib dan BN kata negara boleh jadi bengkerap. Tapi dalam Akujanji BN perkara yang membengkerapkan negara itu merupakan salah satu dari Akujanji BN.
Beliau juga tidak berani berhujah dengan pihak pesaing khususnya dengan Anwar Ibrahim dalam hal-hal kepentingan negara.
9. Apa pula kaitan pengalaman dengan sebuah kerajaan yang baik?
Jawapan: Pengalaman juga penting dalam menguruskan sebuah negara supaya dapat diurustadbir dengan lancar. Dalam hal ini sebahagian besar kepimpinan BN mempunyai pengalaman yang melebihi pengalaman kepimpinan PR dalam mentadbir negara. Namun pengalaman itu mesti bertunggakkan amalan urustadbir yang baik misalnya tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengamalkan perlakuan rasuah, dan tidak mencampuri dan mempengaruhi konsep pengasingan kuasa.
Rekod pengalaman BN banyak yang tercemar dengan penyalahgunaan kuasa misalnya dalam urusan perolehan dan pemberian konsessi. Hanya beberapa orang yang dekat dengan kepimpinan dan mempunyai kepentingan politik kepartian yang memonopoli perolehan pada nilai yang tinggi (inflated) dan menghadiahkan konsessi pada syarat dan terma-terma yang merugikan kerajaan. Cara ini boleh memberi kesan kepada kewangan negara (merugikan) yang sepatutnya boleh digunakan untuk memberikan perkhidmatan dan membangunkan tahap ekonomi dan sosial rakyat. Contohnya projek IPP dan konsessi lebuhraya.
Rasuah? BN juga mempunyai rekod yang amat memalukan. Terlalu panjang dan banyaknya hal-hal berkaitan dengan rasuah jika mahu disenaraikan. Cukup 3 contoh saja untuk membangkitkan keinsafan dan kesedaran kepada pengundi iaitu i) Projek scorpene, ii) projek Pusat Pertahanan Negara yang melibatkan tanah Kementerian Pertahanan seluas lebih 220 ekar dan penggunaan wang LTAT sebanyak RM160 juta. iii) Kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor (BN) yang telah disabitkan kesalahan.
BN juga tidak mempunyai rekod yang baik dari segi pengaliran wang haram.
BN juga tidak mempunyai rekod yang baik dari segi hutang negara yang mencecah lebih dari RM500 bilion menghampiri had yang dibenarkan oleh undang-undang.
Sebaliknya PR khususnya negeri-negeri dibawah tadbir urus PR menunjukkan satu prestasi yang baik seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit negara. Dua MB iaitu Selangor dan Kelantan yang telah dituduh dan disiasat atas perlakuan rasuah telah didapati bebas dari pertuduhan itu.
10. Perlukah kepimpinan disetiap peringkat kerajaan mempunyai moral yang tinggi?
Jawapan: Moral yang baik dan berwibawa adalah terlalu amat penting bagi setiap peringkat kepimpinan kerajaan terutama kepimpinan tertinggi. Setiap dakwaan salah laku dan rendah moral mesti disiasat dan jika ada bukti perlu didakwa dimahkamah dan diberi peluang untuk membela diri. Anwar telah dituduh dan didakwa tentang perlakuan seks haram (liwat dan zina). Mahkamah akhirnya membebaskan beliau.
Najib pula telah dituduh terlibat dengan berbagai kes termasuklah seperti yang didakwa oleh Deepak dan mendiang Penyiasat Persendirian Bala. Tapi malangnya Najib belum lagi bertindak untuk membersihkan dirinya dari pertuduhan itu. Dengan sikap seperti ini boleh menimbulkan perasaan sangsi dikalangan rakyat akan tahap moral Najib.
Perlakuan-perlakuan penyokong BN yang kurang tertib dan membahayakan misalnya membaling pelbagai objek dan membuat kacau ganggu dalam bentuk mengeluarkan suara yang bising dan kata-kata yang lucah dalam majlis anjuran PR, setakat ini tidak mendapat teguran atau tindakan yang sepatutnya dari BN dan kepimpinan kerajaan. Ini boleh dipersoalkan kerana hanya orang yang bermoral rendah saja yang sanggup melakukan perbuatan-perbuatan seperti itu.
Memburuk-burukkan moral kepimpinan PR melalui tayangan video seks yang kononnya melibatkan kepimpinan PR adalah satu kaedah yang tidak bermoral dan beradab. Malah salah dari segi undang-undang negara dan amat salah sekali dari segi hukum Islam.
11. Apa kah kerajaan yang baik itu mempunyai iltizam yang tinggi?
Jawapan: Sudah tentu. Iltizam adalah satu kesungguhan yang dibena diatas satu keyakinan dan kepercayaan dalam falsafah parti politik berkenaan. Ianya adalah satu rukun parti tersebut. Misalnya untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui usaha/dasar/program bagi mengurangkan beban jangka pendek dan jangka panjang rakyat bagi memperolehi sesuatu yang asas seperti pelajaran. PR mempunyai iltizam yang tinggi dan tegas dalam hal ini dengan mencadangkan Dasar Pendikan Percuma, jika PR menang dalam pilihanraya.
Sebaliknya BN memperkenalkan BR1M dan berbagai kemudahan lain yang satu jenama dengan 1M sebagai satu cara mengambil hati rakyat semasa pilihanraya. Ianya sebagai tindak balas bagi menyaingi apa yang ditawarkan oleh PR dan bukannya sesuatu yang dirancangkan dalam rangka dasar jangka panjang BN. Bermakna ianya tiada iltizam dan azam yang tinggi bagi membantu rakyat yang memerlukan.
Saya rasa memadai dengan 11 soalan beserta dengan jawapan saya sendiri untuk direnungi. Anda juga harus mencari dan memberikan jawapan anda sendiri. Kemudian fikir-fikirkan dengan penuh ketenangan sebelum anda mengundi.
Yang penting ialah bahawa anda percaya, jika anda seorang Islam, bahawa memilih kerajaan yang melakukan amalan yang baik dan menolak kemungkaran adalah merupakan apa yang diperintah oleh Allah. Dan jika anda bukan seorang Islam saya percaya agama anda juga mahukan hal yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan