Dia mempunyai banyak panggilan nama. Maksudnya, Dia dipanggil dalam berbagai nama. Bukan nama samaran untuk menyembunyikan identiti diri atau mahu glamour atau mengikut trend tapi nama yang diberikan oleh orang lain mengikut sedap mulut mereka. Dia pula tidak memberi apa-apa reaksi tidak setuju atau membantah. Terima saja apa yang mereka panggil.
Pada waktu itu Dia masih lagi bersekolah rendah, berusia diantara 7 ke 12 tahun. Selain dari pergi sekolah, Dia juga menjadi penjaja berbagai jenis kuih dan makanan. Waktu hari bersekolah, penuh kuih muih dan nasi lemak dimasukkan ke dalam bekas rotan untuk dibawa kesekolah untuk dijual. Bekas yang berisi makanan itu (tertutup) akan Dia letakkan dibawah tangga sekolah kerana pihak sekolah tidak membenarkan makanan itu dibawa kedalam bilik darjah. Sekolah itu tiada kantin.
Biasanya emak Dia akan membuat kuih karipap, ondeh-ondeh (buah melaka), kuih bingka ubi/pulut dan abok-abok. Tapi pada satu hari jualan , emaknya buat dua jenis kuih saja. Nasi lemak tetap ada.
Selain dari Dia ada murid-murid lain yang tahu Dia menyimpan kuih dibawah tangga. Pada suatu hari waktu rihat pukul 10 pagi seperti biasa Dia menuju ke tangga untuk mengambil kuih-kuih itu untuk dijaja. Alangkah terperanjatnya Dia, sebahagian kuih itu telah hilang. Dia agak mungkin telah dicuri orang. Mungkin telah dirembat oleh kucing. Tapi melihatkan bekas itu masih lagi ditempat asalnya Dia rasa bukan dirembat oleh kucing. Besar kemungkinan oleh orang kecil seperti Dia.
Dia menangis tapi hanya keluar air mata, tidak melaung. Balik rumah nanti sudah tentu kena marah dik emak yang berpenat lelah bangun pagi menyediakan kuih-kuih itu. Dia tidak melaporkan kepada guru sebab adalah menjadi satu kesalahan menjual kuih di sekolah. Tapi tidak pula Dia dimarahi oleh guru. Mungkin mereka tutup mata saja, nak tolong Dia agaknya untuk dapat sedikit wang bagi membantu pendapatan keluarga.
Dalam keadaan bersedih itu ada seorang murid memanggil Dia, "Karipap pasal apa menangis?'' Dia tidak menjawab. Seorang lagi murid bertanya soalan yang sama dengan memanggilnya ondeh-ondeh. Dia pun tidak menjawab.
Dia sudah biasa dengan panggilan berasaskan nama kuih atau makanan yang dijual. Bukan saja murid sekolah, siapa saja termasuk yang muda, dewasa, tua bangka dan tua ganyut memanggilnya dengan nama-nama kuih yang dijualnya.
Dia menjaja kuihnya bukan saja pada waktu sekolah bahkan waktu cuti sekolah. Dia akan berjalan menyusuri rumah dan sepanjang jalan dikampongnya dengan membuat laungan, "Nasi lemak, ondeh-ondeh, kuih karipap, bingka ubi, abok-abok". Maka jika ada pembeli yang mahu membeli, pembeli akan memanggil dengan menyebut salah satu dari nama kuih-kuih itu. Kalau sedap mulut nak panggil abok-abok, dipanggillah abok-abok. Maka dengan taat dan suka hati pergilah Dia menuju kepada orang yang memanggil kerana ada orang mahu beri rezeki. Dia tidak pernah terfikir panggilan seperti itu tidak wajar. Yang penting ada rezeki masuk.
Tidak semua panggilan dari pembeli itu berakhir dengan mendapat rezeki. Kadang-kadang Dia kena marah dan cemuhan. "Semalam kuih koci kau mentah. Ada yang basi". Dia merasa malu tapi tidak marah. Tidak juga menjawab, hanya tunduk dengan muka sedih dan malu. Kemudian Dia terus meninggalkan orang itu, untuk terus membuat laungan menjaja kuihnya.
Sama ada habis jualan atau masih berbaki, Dia akan balik segera ke rumah setelah habis kawasan jajaannya diliputi iaitu dari hilir ke ujung kampong. Ada tugas lain yang Dia perlu lakukan iaitu menjaga lembu untuk dibawa makan diladang-ladang getah orang putih, selepas makan tengah hari.
Semasa menjaga lembu, Dia mencari kayu-kayu mati dari dahan-dahan pokok getah untuk dibawa balik ke rumah sebagai bahan api untuk memasak makanan. Dia tidak boleh gagal berbuat demikian. Kalau gagal, emak Dia akah berleter panjang, "Cari kayu api pun tak boleh harap". Leteran emak Dia itu tidak jadi hal. Tidak sakit dan biasa saja.
Yang menjadi hal dan yang Dia paling takut ialah cematan (hayunan) rotan dan tarik telinga dari bapanya. "Lembu dua tiga ekor pun tak boleh jaga. Hilang. Apa kau buat di estet tadi?" Kalau lembu jagaannya hilang. Dia tidak boleh menjawab mengatakan lembu hilang kerana Dia sibuk mencari kayu api. Jawapan itu mencari malang dari mendapat simpati. Dia hanya mampu menangis dan minta tolong dan berjanji tidak akan buat lagi.
Jual kuih, jaga lembu belum lagi lengkap, Dia kena mengisi penuh tempayan-tempayan dalam rumahnya dengan air. Dia lakukan bersama dengan abangnya. Perigi agak jauh dari rumahnya terletak disebelah bawah (baruh) merentasi jalan. Dia dan abangnya mengandar air yang diisi dalam dua bekas tin minyak gas. Maka terdengeh-dengehlah Dia dan abangnya mengandar air itu menaikki bukit. Biasanya berlaku pergaduhan. Masing-masing mengatakan letak tin itu lebih mendekati pada bahagian masing-masing. Maka bertumbuklah Dia dengan abangnya.
Disebelah malam Dia mengaji al-quran di rumah seorang bilal di kampong tengah. Tapi banyak kali Dia tidak hadir kerana Dia malu. Wang pengajian satu ringgit sebulan tidak dibayar. Kadang-kadang bayar juga tapi agak lambat. Jadi Dia dan abangnya tidak khatam al-quran walupun Dia seorang yang mudah lancar dalam bacaan al-quran. Hati Dia terang.
Sekarang Dia mempunyai enam orang anak, tiga lelaki dan tiga perempuan. dua anak lelakinya telah meninggal dunia. Dua anak perempunnya sudah berumahtangga dan mempunyai kerjaya yang baik. Seorang anak lelakinya masih bujang tapi sudah bekerja. Yang bongsu perempuan masih belajar. Dia telah ada dua orang cucu lelaki.
Dia terkenang kisah menjual kuih. Kisah jaga lembu dan cari kayu api dan mengaji al-quran. Dia juga cuba mengingati cara Dia mendidik anak-anak dan bagaimana kehidupan anak-anak berbanding dengan apa yang Dia lalui. Sungguh jauh bezanya. Anak-anak Dia tidak mengenal erti penat mencari kayu api, menjaga lembu dan mengangkat air. Tidak pernah kena rotan melolong minta tolong. Tidak pernah hampa apabila meminta wang sama ada untuk belanja sekolah atau mengaji al-quran.
Tapi Dia bangga dengan kedua emak dan abahnya. Dia menyayangi abahnya walaupun Dia dirotan. Jika dulu Dia tidak diajr cara begitu sudah tentu Dia tidak dapat memberikan segala kesenangan kepada anak-anaknya.
Dia yang mempunyai berbagai nama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan