Theflowersellingboy

Selasa, 9 April 2013

Membuat Keputusan Ke Atas Barang-barang Lama: Dibuang atau disimpan.

Sudah dua minggu mengemas rumah. Tapi sehingga hari ini belum habis lagi. Tinggal sedikit lagi, ruang stor.

Semasa mengemas stor macam-macam jumpa. Benda-benda lama yang dah lupa, yang memang tiada lagi dalam ingatan. Ada yang tersimpan dalam bekas asal yang yang sekali dua diguna pada tahun awal pembelian. Lepas itu disimpan, langsung terlupa. Satu darinya ialah barang-barang DIY (buat sendiri) misalnya Black and Decker yang dibeli pada tahun 1989 dulu.  Dalam ingatan saya, hanya sekali dua digunakan. Lepas itu disimpan dalam stor.

Yang paling banyak ialah barang dan perkakas dapur seperti alat-alat bbq, periuk nasi, kuali dari  berbagai saiz dan jenis, dapur memasak, alat mengisar dan membancuh bahan-bahan untuk buat cake, kipas satay, alat membakar ikan, senduk dan sudu berbagai saiz, pisau ; terdapat juga perkakas untuk berpiknik termasuklah cawan, pinggan, sudu dan alat-alat bermain dilaut seperti pelampong, penyodok pasir dan sebagainya, khemah berkemping dan alat sukan seperti kayu hoki, golf set, reket tenis, badminton, pimpong, papan kerem dan kasut-kasut sukan dan beratus-ratus topi; dan  gambar-gambar lama yang berfrem; beg yang berisi dengan pakaian lama dan macam-macam lagi. 

Semuanya tersimpan begitu lama tidak digunakan. Yang pasti semuanya telah menjadi tempat berakan cicak. Busuk.

Tujuan dikemaskan stor selain dari membersihkannya ianya juga bertujuan untuk memilih yang mana satu perlu disimpan lagi dan yang mana satu perlu dibuang. Dan ini bukan kali pertama kerja membersih dan memilih barang dibuat. Kami telah melakukan banyak kali. Tapi setiap kali kami meneliti barang-barang itu, timbul perasaan sayang dan ghalat jika barang-barang itu dibuang-mungkin ada nilai sentimental untuk dikenang. Maka tidaklah terjadi dibuang tapi dibersih dan disusun dan disimpan semula tanpa ada niat untuk menggunakannya.

Sekarang apabila melihat stor yang semakin sesak dengan barang-barang itu maka kami mengambil keputusan yang berani iaitu buang saja mana yang tidak mahu digunakan. Lupakan nilai sayang dan kenangan lama. Tiada memberi apa faedah lagi. Malah ianya menimbulkan pening kepala terutama bahu najis cicak yang begitu banyak menyesakkan nafas dan menjijikkan mata memandang.

Sebelum berkemas saya telah memberi ingatan kepada isteri iaitu jangan lama-lama tengok barang itu dan jika ianya dokumen atau buku-buku lama, jangan dibaca, masukkan saja dalam bekas sampah. Kalau dibaca, menimbulkan perasaan sayang. Itulah yang telah berlaku dulu.    

Operasi bermula.

Sebahagian besar barang-barang itu dikumpul untuk dibuang. Dan sebahagian besarnya masih boleh digunakan.

Kalau di UK barang-barang itu ada nilai gunanya kepada orang lain dan boleh dijual. Dijual di pasar yang terkenal dengan 'car boot sale'. Saya adalah diantara pembeli barang-barang seperti itu semasa belajar dulu. Maka selalulah kami pergi ke Warwick, Leicester dan bandar-bandar lain yang berdekatan dengan tempat tinggal kami. Barang-barang yang dibeli antaranya overcoat dan pakaian tebal dan kasut untuk menahan sejuk waktu winter dan stroller. Bukan saja pelajar Malaysia , orang-orang tempatan pun suka membeli barang-barang 'boot sale' ini. Saya dan juga pembeli-pembeli yang lain langsung tiada perasaan malu membeli barang-barang itu.

Tapi di Malaysia orang agak keberatan untuk membeli mahu pun menerima barang-barang bekas orang lain terutama pakaian. Tidak semuanya begitu, tetapi sebahaigian besar begitulah. Mungkin ada rasa terhina? Saya tidak pasti. 

Yang saya pasti ialah barang-barang seperti itu hanya diperlukan oleh mangsa banjir atau kebakaran.
    
Semasa memilih barang-barang dalam stor tadi kami menghadapi masalah yang amat besar. Tentang tiga buah frem yang bergambar. Apabila terlihat saja gambar-gambar itu , isteri mula menangis tersesak-esak. Saya turut sama menangis apabila melihat gambar anak lelaki kami yang bergambar bersama dengan adik-adiknya dan seorang emak saudara sepupu. Pilu dan sedih melihat anak kesayangan kami itu yang telah lama mendahului kami bertemu Allah SWT. Menangislah kami berdua.

Walaupun peristiwa ini telah lama berlalu ketika usianya 21 tahun, seorang pelajar tahun akhir peringkat diploma di UiTM, kami masih merasakan ianya baru saja berlaku. Masih terbayang akan wajahnya balik dari asrama U untuk berbuka puasa bersama. Teringat lagi lagu hari raya yang dimainkan kerapkali pada bulan puasa itu. Teringat juga bagaimana dia suka mengusik adik-adiknya yang jarak usianya 6, 7, 10 dan  13 tahun dimeja makan sewaktu berbuka puasa. Sekarang yang dapat diihat hanya gambar dia berdiri seorang dibelakang menemani 4 orang adik beradiknya  (3 perempuan dan satu lelaki) yang duduk diatas setti. 

Sekarang adiknya yang paling kecil  sudah berusia 23 tahun. Ya, ianya sudah lama berlalu. Tapi perasaan kami masih lagi sama, masih sayang. Menangislah kami berdua.

Itulah masalah besar yang kami hadapi. Tapi kami masih lagi memutuskan supaya gambar itu dibungkus semula dan disimpan baik-baik dan tidak digantung dimana-mana ruang rumah untuk dapat dilihat oleh kami dan sesiapa saja yang mengunjungi rumah kami. Kami tidak mahu bersedih. Kami tidak mahu ditanya anataranya , " Tu yang berdiri dibelakang tu siapa. Tak pernah tengok?" Nanti kami akan terus bersedih dan menangis tanpa mampu memberi jawapan.
   

Sebab itulah tiga buah frem bergambar itu kami putuskan untuk dibungkus dan disimpan baik-baik. Kami tidak mempunyai kekuatan perasaan. Kami tidak sanggup menggantungkannya dimana-mana ruang rumah untuk ditonton. 

Begitulah antara kisah berkaitan dengan barang-barang lama. Barang  yang tidak boleh digunakan, tidak akan memberi masalah, boleh saja dibuang. Barang yang masih boleh digunakan, pun tidak ada masalah, boleh juga dibuang asalkan ianya tidak menyemakkan ruang. 

Tapi barang seperti frem gambar seseorang yang kita sayang, walaupun telah tiada, ianya masih perlu disimpan. Pertimbangan penjimatan ruang stor bukan satu faktor yang kritikal. Yang menjadi kritikal ialah menggantungkan gambar itu di ruang untuk tontonan orang. Kami putuskan ianya disimpan didalam stor dan bukan untuk digantung diruang yang lain untuk tontonan.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan