Theflowersellingboy

Jumaat, 12 April 2013

CERITA-CERITA HARI INI.

Hari ini Jumaat 1 Jamadil Akhir 1434 bersamaan 12 April 2013 adalah masuk minggu yang ketiga kami berada di rumah sendiri. Kerja-kerja membersih dan mengemas rumah hanya baru dapat disiapkan dalam ruangan dalaman saja. Itupun bahagian dapur belum sempat di'mop'.  
 
Dibahagian luar rumah dapat disentuh sedikit iaitu di dataran kecil interlocking yang ketika ini ditumbuhi rumput-rumput liar.Sebahagian besarnya masih lagi tidak dapat dibersihkan. Dengar khabar cucu dari Ampang nak balik hujung minggu ini. Kalau begitu tidak dapatlah bermain bola dengan Yousef di dataran yang penuh dengan rumput itu. "Kita mainlah dalam rumah, aserf".
 
Hari ini juga hari pertama kami pergi ke pasar basah membeli bahan untuk dimasak di rumah. Sebelumnya kami makan diluar. Dan dalam perjalanan ke pasar singgah sebentar ditanah perkuburan untuk menziarahi dan membersihkan kubur arwah anak bujang kami yang telah lama meninggal iaitu pada 21 Januari 1998 ketika berusia memasuki 21 tahun.
 
Sebenarnya sememang sudah kami rancang untuk menziarahi kuburnya itu kerana sudah lama kami tidak ke situ. Raya yang lepaspun kami tidak ke situ.  
 
Ada baiknya kami mengemas rumah. Terlihatlah kami akan gambar arwah yang tersimpan dalam stor. Tujuan disimpan dulu ialah kami tidak mahu mengenang peristiwa duka. nanti sentiasa bersedih dan menangis terutama isteri yang langsung tidak boleh melihat gambar itu. Saya dapat juga menahan perasaan tapi kalau sorang-sorang saya menangis juga.
  
Sebab itulah kami merancang untuk menziarahi dan membersihkan kubur arwah. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya. Amin.
 
Saya sebenarnya paling tidak suka pergi ke pasar sebab baunya busuk dan hanyir terutama di bahagian ikan dan daging. Kereta pun akan berbau busuk dan hanyir melekat pada bahagian boot dan tempat duduk. Juga pada pakaian kita.   

Saya juga tidak pernah memilih dan membeli sendiri ikan atau daging. Itu kerja isteri. Cuma kalau ianya terlalu berat, terpaksa saya tolong menjinjingnya dengan berjalan cepat untuk sampai ke kereta. Sebab tidak tahan baunya. Tapi kalau sudah di masak, saya tidak pernah tolak. 
 
Maknanya pergi ke pasar basah adalah pilihan isteri. Bagi saya ianya merupakan pilihan terakhir. Namun begitu ada juga hal-hal yang menarik dihati saya di pasar itu. Penjual ubat jalanan dan peminta sedekah.
 
Sementara isteri melakukan pembelian, saya mencari dua hal ini iaitu penjual ubat jalanan dan peminta sedekah. Saya menuju ke pintu masuk besar pasar dan berdiri di tepi tangga. Mata saya mula mencari.
 
Pada hari ini, agak malang sedikit kerana tidak ada penjual ubat jalanan. Kalau ada, saya seronok mendengar loyar buruknya. Petah dan lancar sungguh berbicara sehingga berjaya mengumpulkan ramai orang mengelilingi kawasan jualannya. Sebahagian besar tidak pun membeli ubat yang dijual. Tapi merasa terpukau dengan cara bicaranya. Boleh jadi orang politik. Kuat kelentong.
 
Saya? Jauh sekali untuk membeli ubat yang dijajanya. Saya bukan tertarik pada ubatnya tapi pada kepetahan dan cara bicara. Penjual ubat ini adalah pelakun drama yang berbakat. Tapi banyak butir ceritanya saya tidak percaya. 
 
Maknanya penjual ubat jalanan ini sama tarafnya dengan orang politik kaki kelentong yang berkempen memuji kebaikan diri dan partinya. Saya dengar tapi banyak yang disimpan untuk dicerna. Dan biasanya banyak cerita tidak boleh pakai, dibuang saja diangin lalu.
 
Hari ini harapan saya berkecai. Tidak ada penjual ubat jalanan di pasar basah itu.

Allah maha kaya, saya masih lagi bernasib baik kerana terdapat juga seorang peminta sedekah.    
 
Saya tidak pasti bangsa si peminta sedekah itu. Mungkin Melayu, Cina, Myanmar, India, Indonesia, Kemboja atau Filipina. Negara kita kaya dengan pelbagai bangsa. Inilah cantik dan indahnya negara kita. Yang saya terlalu pasti ialah dia seorang manusia yang cacat, berusia dalam lingkongan 40an dan seorang lelaki yang berpakaian tidak secantik dan sebersih pakaian saya. Duduk diatas lantai semen dibawah mata anak tangga di pintu laluan masuk ke dalam pasar.
 
Seorang demi seorang yang melalui tempat orang itu duduk, akan memerhati orang itu, sekurang-kurangnya menjeling, mungkin melihat keadaan anggota orang itu yang berbeza dengan orang normal seperti kita, seperti saya. Dan boleh dikatakan sebahagian besar mereka itu tanpa batasan agama dan bangsa menghulurkan wang kepada orang itu. 
 
Orang itu menundukkan kepala seperti tanda hormat orang Jepun, setiap kali menerima ikhsan dari insan yang pemurah itu. Dia tidak mengeluarkan sebarang ucapan. Hanya tunduk saja tanpa ucapan terima kasih akan ikhsan yang diterimanya.
 
Saya mengambil telepon tangan untuk merakamkan gambar orang itu. Tapi sayang kamera talipon tangan saya itu telah kehabisan memory, perlukan 164 kB memory. Saya pula sayang untuk menghapuskan gambar-gambar yang ada kerana semuanya gambar cucu saya. Jadi tidaklah dapat saya rakamkan gambar orang itu. Hanya saya mampu menghulurkan sesuatu. Dia tunduk tanda berterima kasih.
 
Begitulah, dalam hati seorang insan, Allah telah wujudkan perasaan kasih sayang sesama insan. Walaupun mereka tidak kenal siapa orang itu, tidak tahu apa bangsa dan agamanya, jika insan itu perlukan pertolongan atau bantuan mereka tanpa dipaksa-paksa, akan dengan sendirinya menghulurkan bantuan. 
 
Mereka tidak perlu dirayu, dipujuk dan diugut seperti yang dilakukan oleh setengah peminta derma atau peminta sedekah khususnya peminta derma yang bersindikit yang menggunakan anak-anak muda Melayu lelaki dan perempuan yang bersongkok dan bertudung.
 
Sesungguhnya ada bahagian dari kekayaan kita atau rezeki kita adalah hak orang lain.  Maknanya kita tidak boleh menggunakan hak itu. Berilah sedikit kekayaan atau rezeki kita itu kepada mereka yang memerlukan seperti peminta sedekah dan peminta derma. Cuma dalam dunia ini ada juga orang yang jahat mengambil kesempatan keatas sebahagian insan yang mempunyai hati yang baik dan pemurah.
 
Jadi hari ini berbaloi juga pergi ke pasar, tempat yang saya tidak berapa minat untuk pergi melainkan untuk melihat penjual ubat jalanan dan peminta derma atau sedekah. Saya ketemu dengan peminta sedekah.
 
Sepatutnya negara kita yang kaya ini memberikan perhatian kepada golongan yang malang ini. Orang politik yang banyak cakap untuk mendapat kuasa dan yang telah diberi kuasa ambillah sesuatu usaha untuk membantu golongan ini. Ya, masyarakat boleh hulurkan bantuan, tapi ianya tidak mampu untuk memberikan kehidupan yang selesa seperti yang saya, dan orang politik rasa.
 
Bagi saya peminta sedekah dan penjual ubat jalanan adalah antara golongan atau masyarakat yang malang yang perlu diberi pertolongan dan bantuan. 
 
Ingat, Negara tidak akan jadi begkerap jika kita tolong orang yang susah. Negara akan hanya boleh jadi bengkerap jika wang itu masuk ke dalam poket kita secara tidak amanah dan rasuah semasa kita diberi kuasa untuk mengurus tadbir khazanah negara.  
 
Sesiapa pun yang menang dalam pilihanraya ke 13 nanti mesti ingat akan ungkapan diatas. Bukan saja ingat tapi mesti lakukan usaha kearah membantu dan menolong orang yang memerlukan. 
 
 
 
 
   
 
 
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan