Theflowersellingboy

Selasa, 2 April 2013

Mengundi Mesti Ada Ilmu Pilihanraya , Jika Tidak Rosak Binasa Jadinya.

Masanya sudah semakin dekat. Kedua-dua belah pihak, BN dan PR, telah bertebaran berjumpa rakyat. Jentera mendekati rakyat semakin pantas menghebahkan bahawa dialah yang terbaik dan wajar dipilih. Pilihlah aku dan bukan dia kerana aku lebih baik dari dia. 

Pengundi pun sama dengan pemain dalam pasaran saham. Buat pilihan yang boleh menguntungkan. Macam pasaran saham, pemain pasaran yang mahu buat duit dan untung akan mengintai-intai kaunter yang pada pendapatnya boleh berbuat demikian. Ikut hukum bermain saham ' beli masa harga murah dan jual bila harga tinggi'. Mudahkan?

Nanti dulu. Ianya tidak semudah seperti yang diperkatakan. Silap-silap terbakar tangan. Paling teruk terbakar seluruh badan.

Untuk bermain saham, kita mesti ada ilmu pasaran saham. Tak boleh ikut-ikut saja. Ya, kadang-kadang, ada nasib kita untung. Tapi risiko menghadapi kerugian adalah besar. Tambah-tambah lagi dalam pasaran saham yang tidak sempurna misalnya capaian maklumat yang terhad, manipulasi pasaran sentiasa berlaku. Pernah dengar 'insider trading? Pernah dengar pembelian besar-besaran oleh pihak institusi bagi menyokong harga saham?

Begitu jugalah dalam soal memilih parti dan calun dalam pilihanraya untuk diberi kemenangan, sekali gus menerajui negara selama tempoh yang dibenarkan. Ianya juga perlu kepada ilmu mengundi. Dalam pilihanraya pun ada manipulasi. Jadi kita mesti pandai dan berhati-hati. Cuma yang ada ilmu pilihanraya saja yang mampu berbuat demikian.

Memilih parti dan calun tidak semudah hanya memangkah dikertas undi diruang bersebelahan dengan simbol sesuatu parti dan gambar calun. 

Apa pun parti yang telah sedia ada dalam otak kepala kita yang dulunya telah kita sokong dan sekarang kita juga akan menyokongnya, kita hendaklah berfikiran terbuka. Maksudnya kita juga mesti menilai tawaran pihak/parti yang bersaing bagi mendapat kuasa iaitu parti yang kita sokong dan parti lawan yang kita tidak sokong. 

Dengan ilmu yang ada, kita boleh membuat penilaian secara yang rasional melainkan kita tidak memperdulikan asas dan prinsip keilmuan. Kita utamakan hawa nafsu dan sifat kebencian. 'Apa jadi, jadilah. Aku tetap undi yang lama. Budi mesti dikenang. Kita mesti bersyukur dan berterima kasih'.

Kalau begitulah pegangan kita, kita adalah pengikut yang totok dan mudah dimanupulasi. Dalam bahasa Melayu, kita mudah dipermain-mainkan, diperbodoh-bodohkan, boleh dicucuk hidung seperti kerbau dan diperkotak-katikkan. Sebab, apa saja yang diperkatakan oleh pihak yang telah terpikat dihati begitu lama, adalah benar belaka dan semuanya benar, tiada cacat celanya.

Kita terpikat kerana pihak itu telah berbudi kepada kita. Mereka pernah  memberikan bantuan walaupun bantuan itu datang sekali dalam tempoh empat atau lima tahun. 

Sepatutnya yang termakan budi dan yang perlu memberikan ucapan terima kasih dan bersyukur ialah parti dan pimpinan yang kita telah pilih menerajui negara. Tanpa undi kita, mereka tidak ada disana sebagai pemimpin menerajui negara mendapat kedudukan dan kemewahan melebihi dari kita yang meletakkan mereka disana.       

Jadi mengapa kita senyap dan takut untuk memberitahu mereka bahawa merekalah yang patut mengenang budi dan berterima kasih kepada kita. Tapi hari-hari mereka minta kita mengenang budi dan berterima kasih. Kalau tidak mereka akan mengungkit-ungkit apa yang telah mereka buat dan berikan kepada kita dengan nada marah dan muka mencemek sedangkan dalam masa yang sama mereka merayu pada kita undi mengundi mereka lagi, untuk berkuasa.

Bukankah sikap dan perangai ungkit-mengungkit 'bantuan' adalah satu sikap dan perangai orang yang tidak ikhlas. Mereka tidak layak berbuat begitu kerana itu adalah tanggungjawab bahkan janji yang mereka buat semasa merayu undi dulu. Sesunggunya mereka dan parti mereka  adalah berlagak terlalu sombong dan angkuh. Sebab, masa nak merayu undi pun mereka sanggup buat ungkitan, bernada marah dan bermuka cemek memperkecilkan kita seolah-olah kita ini seperti kerbau ditarik hidung.

Mengapa mereka tiada segan silu dan rasa hormat kepada kita sebagai pengundi? Sebab kita tiada ilmu mengundi. Maknanya kita tidak faham maksud mengundi dan apakah tanggungjawab parti dan mereka yang menang dalam pilihanraya. Dan apakah hak kita sebagai orang yang telah menjalankan tanggungjawab keluar mengundi.

Apa yang kita faham tentang mengundi? Kita faham bahawa kita perlu membuat tanda pangkah pada parti dan orang yang kita berkenan dengan harapan sekali dua kali  kita akan berpeluang berjabat salam dengannya. Salam pula adalah salam berisi. Maka tersengih sukalah kita sambil mencium tangannya dan berkata, "Terima kasih YB".

Rakyat mesti tahu tentang parti itu sendiri. Tentang pimpinan parti itu. Dan kalau parti itu bertanding bagi mengekalkan kuasanya, rakyat mesti tahu rekod parti dan calun, apa yang telah dibuat oleh parti dan jika calun itu calun lanjutan (bertanding semula), lihat apa yang telah dilakukan; dan kalau calun baru dapatkan butiran mengenai calun itu. 

Kalau parti itu berhajat untuk mendapatkan kuasa pada kali pertama, dapatkan maklumat tentang apa yang hendak dilakukan, manifestonya dan berbagai maklumat bagi meyakinkan kita untuk memberi undi kepada parti dan calun itu.

Maknanya maklumat dan fakta yang betul, jelas dan terbuka perlu diperolehi. Rujuklah dari berbagai sumber. Sebaik-baiknya dari sumber-sumber yang bertentangan supaya kita dapat berbagai gambaran dan pandangan yang berbeza. Bukan dari sumber satu pihak saja. Sebab  gambaran yang diberikan ialah 'dialah yang terbaik dan pihak lawannya langsung tiada guna satu sen pun'.
 
Sekarang adalah masa untuk parti-parti yang akan bertanding itu untuk memuji diri. Mesti tonjolkan diri bahawa dialah yang terbaik. Tidak boleh mengatakan misalnya 'apalah yang diharapkan kepada kami ' tapi sebaliknya bahawa ' kami mampu memberikan khidmat yang terbaik seperti yang telah kami buktikan selama ini' atau 'kami membawa harapan baru, kami adalah harapan rakyat'.

Jadi asas perjuangan mereka untuk mendapat kuasa adalah atas keyakinan dan kepercayaan bahawa mereka adalah yang terbaik dan lawan mereka adalah yang paling buruk. Oleh itu pilihlah mereka.

Sebahagian dari kita rakyat telah membuat keputusan pihak mana yang hendak diplih. Walau apa pun yang diperkatakan oleh mana-mana pihak dari segi kemampuan mereka memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan negara, pilihan tidak berganjak, tetap yang ada dihati, tak boleh diubah-ubah. Mereka ini juga tidak akan menerima akan kata-kata yang memburuk-burukkan parti yang telah dipilih dihati sebagai benar. Mereka tetap setia dengan parti itu juga.

Golongan rakyat seperti ini sebahagian besarnya adalah rakyat yang dikampong-kampong yang tidak mempunyai capaian yang meluas dari segi maklumat. Mereka juga terdiri dari angkatan lama yang kurang pendidikan atau tiada pendidikan. Ada juga sebahagian kecil anak-anak muda yang berfahaman sama kerana kurang terdedah dengan maklumat dari berbagai sumber. Mereka sentiasa dihidangkan dengan sumber maklumat yang sama. Dengan demikian pemikiran mereka tidak terbuka dan taksub dengan apa yang ada.  Secara kebetulan majoritinya orang Melayu. 

Pada mereka mudah saja. Pihak mana yang telah pernah 'berbudi' walau sekecil mana pun , budinya mesti dikenang dan dibalas. Walaupun budi itu datang empat atau lima tahun sekali. Walaupun apa yang diterimanya itu adalah haknya sebagai rakyat yang telah memilih pihak berkenaan untuk menerajui negara. 

Mereka tidak ambil kisah tentang apa yang telah dilakukan oleh pemimpin mereka itu dari segi membolot kekayaan dan harta secara yang salah atau tipu helah asalkan pemimpin itu tidak lupa sekali sekala bersalaman mesra diberbagai majlis , apatah lagi salam pemimpin itu salam berisi. Ditambah lagi dengan pesanan dari pemimpin bahawa kita mesti sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah. 

Diperkuatkan lagi dengan firma Allah dalam al-quran yang bermaksud "Allah tidak suka kepada orang yang tidak bersyukur",

Jadi tidak hairan rakyat seperti ini tidak akan mudah untuk menerima dan percaya maklumat-maklumat yang negatif tentang parti dan pimpinan parti. Semuanya bohong, tidak benar. Orang jahat tidak akan beri wang. Orang baik dan pemurah saja yang ikhlas memberi wang dan menolong apabila diperlukan.

Oleh itu saya lihat bahawa tidak semudah itu PR boleh menang dalam pilihanraya kali ini sekiranya PR tidak dapat menembusi pemikiran kenang budi dan terima kasih ini. Pemikiran kenang budi dan terima kasih ini memanjang pula kepada rasa cuak dan bimbang bahawa jika parti lain yang menang maka mereka tidak lagi mendapat bantuan/pertolongan. Apatah lagi pemikiran mereka telah ditanam dengan kepercayaan bahawa BN atau UMNO saja yang boleh melindungi mereka dan menjamin masa depan mereka.

Jangan  terperanjat bahawa kepercayaan seperti diatas iaitu berterima kasih dan kenang budi serta merasa selamat juga dianuti oleh golongan anak muda dan mereka yang berpendidikan tinggi. Cuma bilangannya tidak berapa besar.

Satu hari saya bertanya seorang mekanik muda, belum memasuki 40 tahun, tentang bila parlimen hendak dibubarkan. Beliau menyatakan bahawa oleh kerana LIMA sedang berjalan di Langkawi maka parlimen tidak dapat dibubarkan. Dan menyambung dengan berkata bahawa pilihan beliau masih lagi yang sama iaitu BN.

Lihat, alasan parlimen tidak dibubarkan ialah kerana LIMA dan bukan kerana BN tidak yakin boleh menang. Dan beliau pula tetap memilih BN. 

Saya yakin mekanik muda ini hanya terdedah atau mempunyai capaian maklumat yang terhad dari satu sumber saja iaitu dari jentera BN.     
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan