PR dalam pakej tawaran manifesto pilihanraya 2013 menjanjikan antara lain jika menang pada pilihanraya ke 13 ini PTPTN yang menjadi sumber pembiyaan secara pinjaman bagi pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi dalam negeri akan dihapuskan. Sekaligus hutang pelajar keatas pinjaman itu akan dihapuskan. Ini adalah selaras dengan Dasar Pendidikan Percuma yang akan dilaksanakan oleh PR.
Baik. Saya menyokong dasar yang baik itu.
Saya juga tidak percaya negara akan menjadi bengkerap jika dasar ini dilaksanakan kerana apa yang berlaku sekarang adalah pembaziran wang negara dalam berbagai bentuk-boros berbelanja, rasuah, manipulasi harga kontrak kerja, perkhidmatan dan perolehan kearah kos yang lebih tinggi dari yang sepatutnya melalui berbagai kaedah, harga tawaran konsessi yang terlalu rendah dari nilai sepatutnya dan banyak lagi termasuk pengaliran wang haram.
Maknanya Malaysia ada kemampuan untuk melaksanakan Dasar Pendidikan Percuma.
Namun begitu saya berpendapat Dasar yang bakal dilaksanakan itu masih lagi kurang atau tidak difahami oleh sebahagian rakyat terutama rakyat miskin yang tidak terdedah dengan maklumat yang betul. Apatah lagi mereka dihujani dengan maklumat yang mengatakan bahawa jika PTPTN dihapuskan maka peluang orang-orang yang berpendapatan rendah ini untuk menghantar anak-anak ke pusat pengajian tinggi akan terhapus sama.
PR jangan pandang remeh hal seperti ini. Dan jangan berfikir bahawa apabila dikatakan pelajaran percuma sehingga ke universiti maka semua rakyat faham bahawa anak-anak mereka akan dapat belajar diuniversiti dengan pelajaran percuma. Tidak semua orang berfahaman begitu.
Kalau dibaca dari pendapat dan ulasan-ulasan dalam media sosial, perasaan risau dan kurang percaya akan menfaat dasar pendidikan percuma kepada rakyat terutama dikalangan orang berpendapatan rendah masih lagi menguasai fikiran mereka. Maka PR semestinya mengambil perhatian berat untuk memberi maklumat untuk menjelaskan kepada semua secara terperinci bukan saja dasar itu bahkan perlaksanaan dasar sebagai menggantikan dasar yang ada.
Saya percaya mereka yang masih ragu-ragu akan faedah dasar pelajaran percuma itu mempunyai sebab untuk berkeadaan begitu.
Pertama, mereka menerima maklumat dari pihak yang menentang dasar ini dengan menyatakan bahawa peluang mereka untuk menghantar anak ke universiti tidak akan ada lagi atau menjadi beban kerana tiada sumber pembiayaan apabila terhapusnya PTPTN.
Kedua, liputan dasar pelajaran percuma ini. Adakah terhad kepada pelajar-pelajar yang belajar i) di universiti-universiti awam saja (termasuk universiti pembiayaan kerajaan negeri). Dan adakah ianya juga termasuk ii) universiti-universiti korporat seperti Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Multimedia. Dan adakah ianya juga termasuk pelajar-pelajar iiii) di kolej/universiti swasta.
Jika liputan itu hanya bagi pelajar di i) maka jumlahnya terlalu kecil berbanding dengan pelajar yang layak. Dan jika ianya juga termasuk di ii) jumlahnya juga masih kecil berbanding mereka yang layak.
Persoalannya adakah kerajaan PR nanti akan menambahkan tempat agar mereka yang layak pada satu-satu tahun dapat meneruskan pelajaran?
Bagaimana pula mereka yang belajar di iii) universiti/kolej swasta. Adakah mereka juga mendapat pendidikan percuma?
Pada masa ini ada sebahagian rakyat yang suka memilih untuk menghantar anak-anak mereka belajar di universiti/kolej swasta. Dan ada yang menghantar ke institusi pendidikan swasta itu adalah disebabkan permohonan mereka tidak diterima oleh universiti awam/korporat diatas tadi.
Persoalannya adakah anak-anak mereka ini juga akan mendapat faedah pendidikan percuma?
Bagi saya mereka yang suka memilih untuk belajar di universiti/kolej swasta tidak wajar mendapat pendidikan percuma.
Tetapi mereka yang ditolak oleh universiti awam/korporat, dan kemudian diterima masuk ke universiti/kolej swasta perlu disediakan satu sumber pembiayaan dalam bentuk pinjaman mudah tanpa faedah dan diberikan kadar kurangan bayaran pada peratusan tertentu jika mendapat keputusan yang terbaik. Biasanya mereka ini mempunyai kelayakan masuk yang minima.
Berkaitan dengan menghapuskan hutang PTPTN. Ini adalah satu dasar yang baik dan perlu disokong.
Cuma saya dapati liputan sumber pembiayan pendidikan tinggi itu hanya kepada PTPTN. Kalau berhutang dengan PTPTN maka tidak perlu bayar hutang kerana akan dihapuskan.
Bagaimana pula pelajar yang mendapat sumber pembiayaan dari selain PTPTN misalnya pinjaman dari Petronas, MARA dan kerajaan negeri serta agensi-agensinya seperti Baitul mal dan Majlis agama Islam negeri? Adakah hutang pinjaman mereka tidak dihapuskan?
Sewajarnya hutang pinjaman mereka juga dihapuskan kerana mereka juga belajar di universiti i) diatas. Malah ada yang mempunyai keputusan masuk universiti yang lebih baik dari yang mendapat sumber pembiayan dari PTPTN.
Bagaimana pula pelajar yang belajar diluar negara dalam bidang perubatan secara pembiayaan pinjaman misalnya dari MARA dan kerajaan-kerajaan negeri. Mereka juga wajar diberi layanan yang sama.
Oleh itu Dasar Pendidikan Percuma PR ini akan lebih bermakna dan mendapat sokongan rakyat jika ianya dapat dijelaskan dengan terperinci. Dan ianya juga akan memberi makna yang sebenarnya kepada pencapaian matlamat memberikan pendidikan percuma jika meliputi dan merangkumi pelajar-pelajar seperti yang dinyatakan diatas.
Secara ringkas, Dasar Pendidikan Percuma hendaklah meliputi dan merangkumi pelajar-pelajar dan hal-hal berikut, jika faedah dari perlaksaan dasar itu hendak dicapai:
i) Pelajar-pelajar yang belajar di universiti awam/korporat (termasuk milikan kerajaan negeri).
ii) Pelajar-pelajar yang belajar diluar negeri dalam bidang perubatan disebabkan tempat didalam negeri tidak mencukupi.
iii) Menghapuskan hutang atas pinjaman bagi pelajar-pelajar di i) dan ii).
iv) Satu sumber pembiayaan secara pinjaman dengan syarat yang mudah serta tawaran insentif bagi mengurangkan bayaran balik berdasarkan prestasi yang baik hendaklah diwujudkan.
Sekiranya dilaksanakan meliputi perkara-perkara i) hingga iv) diatas, saya masih percaya negara mampu melakukannya, negara tidak akan bengkerap.
Oleh itu PR mesti memberi perhatian yang berat kepada perkara ini supaya rakyat akan memberi sokongan yang padu pada pilihanraya yang akan datang ini kerana ianya dapat merungkaikan beberapa hal termasuk mereka yang keliru atau dikelirukan tentang faedah dan baiknya Dasar Pelajaran Percuma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan