Theflowersellingboy

Isnin, 8 April 2013

MANIFESTO PAKATAN RAKYAT vs AKU JANJI BARISAN NASIONAL

1. Manifesto Pakatan Rakyat telah dilancarkan pada 25 Februari 2013 sebelum pembubaran Parlimen, tanpa siaran secara langsung dari  media arus perdana.

2. Aku Janji Barisan Nasional  baru saja dilancarkan semalam 6 April 2013 setelah tiga hari Parlimen dibubarkan dengan liputan secara langsung oleh tv 1, tv3 dan astro awani.

3. Tema manifesto PR ialah Pakatan Harapan Rakyat. Tema aku janji BN Menepati Janji Membawa Harapan, Rakyat Didahulukan

4. Kedua-dua parti yang bersaing memberikan harapan kepada rakyat, satu masa depan yang baik kepada rakyat, jika rakyat memilih mereka. 

5. PR  menawarkan pakej-pakej tertentu yang mereka percaya dan yakin boleh memberikan faedah dan kebaikan kepada rakyat dan negara.  Dengan memberi fokus kepada Tata Kelola Kerajaan Yang Baik berteraskan kepada prinsip moral dan nilai sejagat yang memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat, PR menawarkan sebuah Kerajaan yang berpaksikan i) Rakyat Bersaudara, ii) Ekonomi Rakyat, iii) Kesejahteraan Rakyat dan iv) Kerajaan Rakyat. Berbagai program telah dicadangkan antara lain mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

6. Manakala BN pula membuat aku janji untuk melaksanakan 17 pakej atau program iaitu i) Menangani kos sara hidup, ii) Meningkatkan kehidupan warga bandar, iii) Menyediakan rumah mampu milik, iv) Peluang mendapat perkhidmatan berkualiti, v) Kearah kecekapan terhebat pengangkutan awam, vi) Pembangunan infrastruktur bertaraf dunia dan transformasi luar bandar, vii) Membina ekonomi mapan, dinamik dan inovatif,viii) Membina kecemerlangan pendidikan negara, ix) Meningkatkan keselamaatan dan ketenteraman awam, x) Memperkasa penyertaan wanita, xi) Memenuhi aspirasi belia, xii) Merancang jaringan keselamatan sosial, xiii) Mempromosi agama Islam, kebebasan dan keharmonian agama, xiv) Memerangi gejala rasuah, xv) Memperkukuh perkhidmatan awam, menambah baik tadbir urus, xvi) Gerakan kesederhanaan global, dan xvii) Memulihara sumber semula jadi.

7. Apapun nama yang diberi sama ada Manifesto atau Aku Janji, atau apa saja tema yang dibawa, atau program-program yang ditawar atau dijanjikan, ianya mempunyai matlamat yang sama - cuba mempengaruhi pemikiran rakyat khususnya rakyat yang boleh mengundi untuk memberi undi kepada salah satu dari parti itu agar boleh mengatasi diantara satu dengan lain dari segi jumlah pengundi yang mengundi mereka- bagi membentuk dan menerajui kerajaan selepas PRU 13 nanti.

8. Dalam bahasa yang mudah, tawaran dari PR dan aku janji dari BN adalah merupakan umpan yang dihidangkan kepada pengundi bagi memenangi hati mereka untuk  mengundi BN atau PR. Terserahlah kepada rakyat Umpan yang mana lebih menarik, PR atau BN.

9. Ada beberapa cara bagi rakyat untuk menilai umpan yang mana satu yang lebih baik dan menarik yang wajar dipilih atau diterima demi faedah rakyat dan kebaikan kepada negara.

10. PM sementara (dalam tempoh parlimen terbubar) DS Najib telah menggunakan perkataan yang amat tepat sekali sebagai panduan kepada rakyat yang mengundi untuk memilih umpan yang mana satu yang boleh dipercayai demi faedah rakyat dan kebaikan negara iaitu 'kebolehpercayaan' (trustworthy).

11. Najib secara khusus dan lantang bertanyakan para hadirin siapakah yang boleh dipercayai untuk menerajui negara, sama ada Anwar Ibrahim, Hadi atau dengan 'rasa rendah diri' Najib sendiri. Soalan ini ada maksud politik yang tersirat kerana sebenarnya pilihan yang perlu dibuat ialah antara Najib/BN dan Anwar/PR. Hadi? Ini soalan adu domba untuk memecahbelahkan diantara parti-parti dalam PR khususnya diantara PKR/DAP dan PAS. Strategi pecah dan perintah adalah satu kemahiran dan kepakaran monopoli BN. Kejayaan BN memerintah lebih dari 55 tahun adalah atas kemahiran dan kepakaran ini.

12. Jawapan dari para hadirin jelas dan tegas bahawa Najiblah yang boleh 'dipercayai'. Maka kali ini keadaannya amat berbeza sekali berbanding semasa majlis merayakan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang yang disaksikan juga oleh penghibur pop Korea yang terkenal dengan Gangnam Style. Najib telah diberi jawapan 'no' setiap kali beliau bertanya kepada para hadirin dengan soalan "Are you ready for BN?"

13. Adakah ini bermakna telah berlaku perubahan dari tidak menyokong BN/Najib kepada menyokong BN/Najib? Jawabnya tidak. Ianya juga tidak boleh digunakan sebagai penanda aras ukuran sokongan terhadap Najib/BN kerana di Pulau Pinang sebahagian besar rakyat menyokong PR dan di Stadium tertutup Bukit Jalil semasa pembentangan Aku Janji BN, mereka yang hadir adalah penyokong BN.  

14Saya amat setuju dengan perkataan kebolehpercayaan atau boleh percaya dalam membuat sesuatu pilihan. Apa saja pilihan, tidak terhad kepada pilihanraya. Tapi soalnya apakah caranya bagi rakyat yang mengundi untuk percaya atau memberi kepercayaan kepada Anwar/PR atau Najib/BN untuk menerajui negara selepas PRU 13?

15. Saya ada beberapa tips dalam soal kebolehpercayaan ini. Antaranya seperti berikut:

15.1 Persaingan yang adil. Ertinya kita hanya boleh memberi kepercayaan kepada orang atau pihak yang memegang dan mengamalkan sikap dan cara yang adil. Kita tanya antara lain:

i) Adakah liputan pembentangan manifesto dan aku janji itu dibuat secara adil? BN memdapat liputan dari mereka yang hadir dan liputan secara langsung dari Tv 1,Tv3 dan Astro Awani. Ertinya liputannya meluas sekali. PR tidak mendapat liputan seperti itu. Bolehkah kita beri kepercayaan kepada pihak yang tidak berlaku adil untuk menerajui negara? Sudah tentu ianya amat bahaya sekali kerana mereka cenderung kepada perlakuan zalim.

ii) Iltizam yang tinggi membuat tawaran dan aku janji. PR dengan segala kekurangan-wangnya, jentera penggerak dan tenaga manusia,  peralatan dan kelengkapan telah menunjukkan kesungguhan untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat. Buktinya PR telah terlebih dahulu (sebelum parlimen dibubarkan lagi) menyedia dan membentangkan manifesto untuk rakyat mempunyai masa yang mencukupi untuk mengkaji dan menilai tawaran yang dikemukakan. Sudah tentu untuk menentukan sesuatu pilihan, rakyat wajar diberi masa untuk mengkaji dan menilai apa yang ditawarkan. Manakala BN yang segalanya beres diatur-wangnya yang banyak, jentera penggerak dan tenaga manusia , kelengkapan dan peralatan serta khidmat dari penjawat awam hanya baru membentangkan semalam setelah 3 hari parlimen dibubarkan. Maknanya BN tidak ada iltizam atau tidak serious dalam aku janjinya walaupun najib mengatakan sebagai serious. Serious Najib adalah berdasarkan liputan yang meluas. Bukan saja meluas bahkan tempoh masa siaran pun begitu lama. PR ditawarkan 10 minit dan dirakam terlebih dulu. Sekali lagi adil ke?    

iii) Meludah kelangit. Semasa PR menawarkan kepada rakyat penghapusan tol dan penurunan harga kereta BN menuduh PR membengkrapkan negara. Sekarang BN akujanji untuk menghapuskan tol dan menurunkan harga kereta sama seperti yang ditawar oleh PR. Tak bengkerap ke? Boleh percaya ke pihak yang menciplak idea orang lain yang dulunya ditentang?  Sudah tentu kerja menciplak ini sama juga kerja merompak. Mahukah kita memilih perompak dan orang yang bercakap berputar belit untuk menerajui negara? Boleh percaya? 

iv) Bukti-bukti perlakuan salah tadbir. Ambil satu saja contoh iaitu perlakuan rasuah. Bekas MB Selangor (PR) dan bekas MB Kelantan (PR) telah disiasat oleh SPRM atas dakwaan melakukan rasuah. Siasatan telah dibuat oleh SPRM dan mendapati tiada bukti mereka melakukan rasuah. Malah ketua SPRM (bekas) telah mohon maaf atas dakwaan tersebut. Bekas MB Selangor dari BN telah pun didapati bersalah oleh mahkamah atas dakwaan melakukan rasuah. KM Serawak juga telah dikatakan terlibat dengan perlakuan yang sama dan telah menyatakan tidak akan memberi kerjasama kepada SPRM. Angkuh bukan? Boleh kita beri kepercayaan manusia seperti itu dan parti yang diwakili BN untuk menerajui negara. Lihat juga kes NFC- pinjaman mudah 250 juta. Apa telah terjadi kepada projek lembu itu dan kepada siapa pinjaman mudah itu diberikan; dan apa tindakan kerajaan untuk mendapatkan wang pinjaman itu? Salahguna kuasa bukan? Boleh percaya orang/parti seperti itu.

v) Peningkatan hutang negara menghampiri had yang dibenarkan oleh undang-undang. BN melakukan hutang negara keparas yang amat bahaya. Dalam masa yang sama mengatakan PR akan melakukan hutang yang boleh membebankan rakyat. Mana satu yang kita boleh percaya. Satu pihak telah melakukannya iaitu BN satu pihak pula belum lagi diberi tanggungjawab untuk menguruskan kewangan Persekutuan. Maknanya BN hanya membuat tuduhan. Maknanya juga BN ialah pihak yang meletakkan negara dalam keadaan bahaya. Mana satu kita nak pilih? Sudah tentu PR lebih berwibawa.

vi) Cara berkempen. BN berkempen dengan menggunakan segala kekuatan yang ada termasuk menggunakan kemudahan milik rakyat- agensi dan jabatan kerajaan serta alat kelengkapan dan peralatan. Ingat apabila parlimen dibubarkan taraf BN sama saja dengan PR iaitu sebuah parti politik yang bersaing untuk mendapatkan kuasa rakyat melalui pilihanraya. Maknanya BN tidak boleh menggunakan kemudahan-kemudahan seperti yang dinyatakan itu. 

vii) Bersaing dengan cara mengaibkan peribadi lawan. Islam tidak membenarkan cara seperti itu. Tuduhan dan dakwaan rendah moral dengan mengaitkan Anwar Ibrahim dan kepimpinan PR yang lain adalah cara yang dilakukan oleh pimpinan/ahli BN. Penayangan perlakuan seks dengan lelaki atau perempuan yang  kononnya melibatkan Anwar sudah menjadi satu pendekatan yang diterima oleh BN. Malah Anwar masuk penjara juga atas tuduhan melakukan perlakuan seks. Kemudian didapati tidak bersalah. Dibuat lagi tuduhan seks yang sama. Tapi tidak juga didapati bersalah. Dikeluarkan video, ada yang bersiri, tentang pertuduhan seks itu, ditayang secara bebas dan meluas tanpa diambil tindakan walaupun undang-undang negara memperuntukkan bahawa ianya satu kesalahan. Kita tanya bolehkah kita beri kepercayaan kepada orang/parti yang mengamalkan cara seperti ini?

viii) Antara Anwar dan Najib moral siapa yang lebih baik? Sebenarnya soalan ini amat berat untuk saya tanya. Tapi tuan-tuan fikir-fikirkan. Jika moral Najib lebih baik dari Anwar terimalah Najib sebagai PM. Sebaliknya jika Anwar lebih baik, pilihlah Anwar. Namun parti yang boleh memberi perkhidmatan yang terbaik wajar kita pilih. Ianya sudah tentu mempunyai hubung kait yang rapat dengan moral kepimpinan parti itu.

16. Banyak lagi perkara yang kita boleh gunakan sebagai asas bagi meyakinkan kepada kita pihak mana sama ada BN atau PR yang mempunyai tahap kebolehpercayaan  yang tinggi. 

17. Satu lagi proses yang perlu dilalui oleh parti politik yang bersaing untuk mendapat kepercayaan rakyat ialah berhujah diatas pentas yang sama, mempromosi dan mempertahankan apa yang mereka tawar atau akujanji untuk didengar dan dilihat oleh rakyat. Biarlah bilangan rakyat yang sama dapat mendengar dan melihat hujah-hujah BN dan PR untuk mereka fikir dan nilai sebelum membuat pilihan dipeti undi. Berdebat, jika kita percaya dan yakin bahwa tawaran atau akujanji kita adalah yang terbaik untuk rakyat. Anwar/PR telah menyuarakan keperluan berdebat ini. Najib/BN perlu menerima dengan tangan dan dada terbuka. Maka soal berdebat dikatakan bukan budaya kita adalah alasan yang amat memalukan dan tidak boleh dipercayai.

18. Oleh itu para pengundi sekalian berlapang dada dan berfikirlah secara tenang dengan menggunakan asas kebolehpercayaan seperti yang dikehendaki oleh Najib/BN dalam memberi undi kita kepada salah satu dari mereka- BN atau PR. 

19. Selamat mengundi dan mengundilah dengan menggunakan akal yang siuman , fikiran yang tenang tanpa emosi yang taksub dan pengikut yang totok. Ingat siapa yang boleh kita percaya. Kepada orang Islam sudah tentu kita percaya kepada dosa dan pahala, melakukan yang makruf dan meninggalkan perkara yang mungkar. Kepada penganut agama lain sudah tentu mereka juga mengutamakan moral dan integriti yang baik dan tinggi dari mana-mana calun yang bertanding.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan