Theflowersellingboy

Isnin, 15 April 2013

Hadiah-hadiah Perkahwinan

Menghadiri majlis perkahwinan mesti bawa hadiah. Itu adalah syarat yang semua orang faham walaupun tidak bertulis. Tanpa buah tangan atau hadiah, semasa menghadiri majlis tersebut, rasanya agak kekok untuk bersalaman dengan tuan rumah atau menjamah hidangan pada majlis itu. Oleh itu hadiah dalam apa bentuk sekali pun sama ada secara berkongsi dengan kawan-kawan atau bersendirian tetap mengiringi kehadiran seseorang dalam majils kahwin itu.

Secara amnya hadiah boleh dibahagikan kepada dua iaitu berbentuk wang dan barangan. Nilainya bergantung kepada kesanggupan dan kemampuan yang memberi hadiah serta nilai persahatan atau kenalan diantara tuan rumah dan tetamu. Tetamu yang hadir adalah bebas untuk memberi apa bentuk hadiah sama ada wang atau barangan. Hadiah barangan ini juga mengikut apa yang dipilih oleh oleh tetamu dan bukan yang apa yang dikehendaki atau yang diperlukan oleh pasangan pengantin atau tuan rumah.

Hadiah wang tunai tidak memberi masalah kepada tuan rumah atau pasangan yang baru memulakan kehidupan sebagai suami isteri. Maksudnya berapa saja jumlah wang diberikan akan dapat dimenfaat sepenuhnya.

Tapi hadiah berbentuk barangan selain boleh dimenfaatkan ianya juga boleh menimbulkan masalah kepada penerima. Pertama, barang-barang yang diterima dari tetamu-tetamu mungkin barang yang sama atau untuk kegunaan yang sama misalnya periuk untuk mask nasi, set gelas dan barang elektrik yang lain. Jadi kalau banyak barang yang sama sudah tentu ianya tidak memberi faedah kepada penerima, boleh menyemakkan ruang rumah. 

Kedua, barang-barang itu mungkin tidak diperlukan oleh penerima disebabkan dia juga telah sedia ada barang-barang itu. Jadi keadaannya sama seperti yang pertama menyemakkan ruang saja.

Perlu ingat bahawa secara amnya pasangan ini belum lagi mempunyai rumah yang boleh menampong banyak barang. Sebahagian besar menyewa rumah yang kecil, kondo dan rumah pangsa. Jadi ruang rumah adalah terhad.

Jika hadiah itu sebahagian besar terdiri dari barangan dan bukan wang maka ianya akan mengambil ruang. Kalau barang yang diterima yang serupa dan banyak pula misalnya frame yang tertulis dengan ayat-ayat al-quran dan frame-frame yang lain, ianya perlu digantung diruang rumah. Sudah tentu ruangnya tidak mencukupi. Begitu juga barang-barang elektrik yang sama dan set barang-barang dapur-jika bilangannya banyak ianya juga menimbulkn masalah.

Biasanya pasangan suami isteri yang baru itu, akan meninggalkan saja barang-barang yang mereka tidak perlukan itu dirumah ibubapa. Kalau hendak dibawa, ruang rumah tidak cukup disamping barang-barang itu tidak diperlukan kerana mereka telah sedia ada barang-barang tersebut. Maka barang-barang itu disimpan dalam stor rumah ibubapa, jika ada stor atau dimana-mana ruang. Kadang-kadang bersepah dan tersusun kerana ruang rumah yang kecil.

Dengan hal yang demikian, satu perubahan perlu dibuat tentang pemberian hadiah majlis kahwin ini.

Adalah lebih baik hadiah diberikan dalam bentuk wang. Walaupun nilainya kecil tapi dapat dimenfaat sepenuhnya disamping membolehkan pasangan yang baru memulakan hidup berumah tangga itu menggunakan wang itu bagi keperluan yang mereka tentukan sendiri. Jadi ianya tidak akan membazir.

Boleh juga dibuat satu kaedah baru yang mungkin dianggap kurang sesuai  dari segi nilai budaya masyarakat ketika ini. Tapi bukankah niali budaya sesuatu masyarakat itu bersifat dinamik menurut keadaan dan keperluan semasa. Oleh itu saya percaya jika ianya dilakukan ianya dapat diterima oleh masyarakat.

Kaedah yang saya maksudkan ialah pasangan pengantin itu dengan berbincang bersama kedua ibubapa menentukan mana-mana tetamu yang akan hadir memberikan hadiah dalam bentuk wang. Jika tetamu hendak juga menghadiahkan barang-barang maka tentukan barang-barang yang wajar diberikan. Sediakan senarai barang-barang yang diperlukan dan pemberi hadiah supaya tidak berlaku pertindihan hadiah.

Dengan cara begini, hadiah itu benar-benar akan digunakan. Tidak membazir dan menyemakkan ruang.

Tapi jika kita masih lagi mahu mempertahankan cara sedia ada iaitu terima saja apa yang diberi maka selama-lamanya hadiah majlis perkahwinan itu tidak dapat berfungsi seperti yang dihajatkan iaitu bagi membantu pasangan yang baru memulakan kehidupan berumah tangga. Malah ianya menyusahkan pasangan itu termasuk kedua ibubapa.

Ada juga pasangan yang kreatif dengan menjadikan hadiah-hadiah yang tidak digunakan itu sebagai barang-barang kitar semula. Maksud saya barang itu akan dijadikan sebagai hadiah untuk majlis perkahwinan orang lain pula. Itulah sedikit faedah yang dari barang yang tidak diperlukan.

Saya masih mengatakan hadiah yang paling baik dan boleh dimenfaat sepenuhnya oleh tuan rumah dan pasangan pengantin baru itu adalah hadiah berbentuk wang. Oleh itu berikan hadiah ini saja.      
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan