Theflowersellingboy

Sabtu, 14 Julai 2012

Dua Cerita Dari Mansoura University: i) Qatar Airline Tiket Murah-tapi terkena ii) Dari Stsyen Mahatta Ittor ke Stesyen Ramsis


Semalam aku cuma dapat paparkan cerita yang pertama saja tentang pembatalan tiket Qatar Airline kawan-kawan ku. Aku tidak tahu kedudukan sekarang, sama ada masalah mereka telah atau dapat diselesaikan dengan baik atau bagaimana. Aku telah berada di Malaysia, secara spesifiknya dirumah kakak aku di Putra Jaya. Aku harap kawan-kawanku yang berada di Mansoura tu dapat satu penyelesaian yang terbaik dan seterusnya dapat kembali bercuti di Malaysia dengan selamat. Amin.

Sebenarnya ada lagi beberapa soalan yang aku hendak bangkitkan. Semalam aku terlalu letih. Jadi pada hari ini aku sambung untuk beberapa soalan tentang hal semalam walaupun keletihan belum sepenuhnya pulih kerana malam tadi ada family dinner sempena meraikan hari lahirku yang 22 tahun. Majlis berakhir sehingga hampir jam 12 malam.

Soalan aku yang keempat: Mengapa tawar penerbangan di Luxor yang mengambil masa 12 jam untuk ke sana? 

Soalan aku yang kelima: Katakan tawaran ke Luxor itu diterima, adakah ini bermakna tiket yang dibeli boleh digunakan?

Aku cuba menjawab sendiri soalan-soalan itu dengan menyatakan bahawa airline atau agen itu tidak jujur. Tawaran itu jangan tidak di buat kerana agen percaya bahawa kawan-kawan aku itu tidak akan terima. Pembohong , kaki putar belit.

Sekarang aku nak masuk cerita yang kedua. Ini cerita aku sendiri bersama dengan seorang kawan. Cerita dengan tema yang sama seperti kawan-kawan yang dibatalkan tiket itu. Sedih. Tapi menyeronokkan apabila dijadikan sebagai asam garam hidup menjalani satu pengalaman, terutama di tempat orang.

Penerbanganku balik ke Malaysia dijadualkan pada 11 Julai 2012 jam 11 malam. Aku dan kawanku telah berpakat untuk ke Cairo sehari lebih awal iaitu pada 10 Julai untuk lebih selesa dan mengelakkan masalah kelewatan dik kesesakan lalulintas jika aku memilih menaikki bas. Lima jam belum tentu sampai. Lagipun menaikki kereta api adalah pengalaman yang pertama semenjak aku berada di Mansoura. Ada kawan beritahu bahawa kereta api disini tidaklah teruk sangat. Ada koc kelas pertama.

Kami ke stesyen kereta api yang bernama Mahatta Ittor  untuk membeli tiket. Panjang q nya dikaunter beli tiket tempat kami berbaris. Tiba giliran kami , lalu aku bertanya pakcik dikaunter berapa yang perlu dibayar bagi dua orang ke stesyen Ramsis di Cairo. Hanya 14g? Murah sangat. Aku macam tak percaya sebab tiket bas , seorang 12g. Aku tanya lagi sama ada ada air-cond atau tidak. Pakcik tu jawab, ada air-cond semula jadi ('adi, dalam bahasa Arab tempatan). Maksudnya angin dari luar lah. Aku anggap pakcik ini tidak faham. Jadi aku tanya ada jual tiket yang paling mahal. Maksudnya kelas pertama yang ada air-cond. Pakcik tu tak faham. Tapi ada orang  Arab disebelah beritahu , tak ada air-cond. 

Kereta api tak ada air-cond. Sudah tentu panas, tidak selesa. Tapi, tak mengapa. Ini satu pengalaman. Kami memutuskan membeli tiket. Lepas tu kami menuju ke landasan menuju ke Cairo. Tak berapa lama kereta api sampai . Kami naik gerabak yang berhampiran. Kebetulan berjumpa orang Malaysia. Aku  tanya tiketnya ada number tempat duduk ke, sebab tiket kami tiada number. Kakak itu mengesahkan tiketnya ada number, lalu beritahu, kami telah masuk gerabak yang salah. Gerabak kami dihujung sana. Kami pantas berlari ke gerabak yang dihujung dengan mendapat pesan dari kakak itu supaya berhati-hati.


Termengah-mengah kami sampai digerabak dan terus naik. Aduh.... aku lihat lantainya kekuningan dan meleket semacam ada najis tahi ayam diatasnya. Aku rasa berat untuk melangkah kerana semacam ada sesuatu yang melekat pada kasut. Ya...najis tahi ayam. Ohh.... no no no kami telah masuk dalam gerabak kelas paling murah, paling murah. Macam macam ada. Orang ada, ayam ada, sayur ada, orang jual makanan pun ada. Aku panggil gerabak ini sebagai gerabak ayam. Sebahagian besar penumpang adalah orang perempuan. Nampaknya mereka dari golongan berpendapatan rendah. 

Ada tempat duduk yang kosong. Tapi aku tidak rasa selesa untuk duduk kerana  kelihatan kotor dan tercemar dengan najis tahi ayam. Kami bergerak ke tempat lain. Ada seorang lelaki tua mengosongkan tempat duduk. Kami terus ke tempat yang dikosongkan itu dan duduk. Rupa-rupanya kami duduk berdepan dengan tandas. Bau nya, tahulah sendiri. Tapi apa boleh buat. Kan ke ini satu pengalaman yang mahal. Hidu sajalah bau yang menusuk hidung itu.


Kereta api itu singgah beberapa stesyen. Maka semakin ramailah orang dalam gerabak. Semakin banyaklah ayam, sayur dan lain-lainnya dibawa sama. Semakin bertambah sesaklah nafas menahan bau yang bermacam-macam. Pintu gerabak sentiasa terbuka. Sebab itu pakcik di kaunter jual tiket tadi kata air-cond semula jadi. Kalau nak turun dari keeta api boleh saja dengan secara melompat keluar dan melintas lantasan walaupun ianya sesuatu yang amat bahaya sekali.


Kereta api ini boleh tahan lajunya. Seorang makcik termuntah. Mungkin tak tahan dengan keadaan dalam gerabak termasuk dari asap rokok perokok dalam gerabak. Ini membuatkan kami merasa lagi 'terseksa'. 'Tak mengapa, pengalaman', aku memujuk hati sendiri.


Selama tiga jam perjalanan dalam suasana yang 'menyeksa' penuh dengan 'pengalaman' itu akhirnya kami sampai di stesyen Ramsis , Cairo. Wah.. lega dihati kerana selamat sampai. Cuma kami bawa bersama bau-bauan dari gerabak ayam itu ke hotel yang berdekatan dengan Dataran Tahrir tempat dimana berkumpulnya anak-anak muda Mesir bangkit menentang regim Husni Mubarak sehingga berjaya menumbangkan regim itu.


Di hotel kami pun turut tumbang kerana keletihan . Kami bawa bersama bau-bauan gerabak ayam dalam tidur kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan