Theflowersellingboy

Ahad, 22 Julai 2012

Nota Dalam Bulan Ramadhan (1)

Lan tanalul birra- sekali-kali tidaklah kamu akan mencapai kebaikan

Hatta tunfiqu mimma  tuhibbun- sebelum kamu mendermakan sebahagian dari harta yang kamu sayangi 

Wama tunfiqu min syaien -dan apa juapun dari sesuatu yang kamu dermakan itu

Fainnallaha bihi 'alim- sesungguhnya  Allah mengetahui.

(Ayat 92 Juzu' 4 Surah Ali Imran)


1. Untuk menjadi insan yang baik, insan yang diredhai Allah caranya mudah saja iaitu dengan mendermakan sebahagian dari harta yang kita sayangi. Mudah saja bunyinya.

Tapi hakikatnya  bukan semudah seperti yang kita cakap. Namun ianya boleh dilakukan dengan syarat kita memupuk, meningkat dan memperkukuhkan iman. Maknanya perlu ada kesungguhan dalam melaksanakan perintah Allah. Perlu yakin akan janji-janji Allah.  Sentiasa taqwa dan berpegang teguh kepada tali Allah.

Maka dengan itu kita mulakan, kalau masih belum kita lakukan; dan jika telah menjadi amalan, kita tambahkan lagi keyakinan kita, berpegang teguh kepada tali Allah dan ketaqwaan kepadaNya dipertingkatkan semoga memudahkan kita untuk melakukan antara lain:

a) Menafkahkan harta yang disayangi. Kita tidak akan merasa ragu-ragu kerana ianya tidak akan merugikan.
b) Berdakwah menyeru kepada kebaikan dan mencegah hal-hal yang mungkar.
c) Bersatu padu membina kekuatan Islam atas dasar taqwa dan elakkan perpecahan sesama Islam.
Paling mudah dalam bulan puasa ini kita banyak menghulurkan derma.

2. Harta yang hendak dinafkahkan itu adalah yang menjadi kesayangan kita. 

Apakah harta yang kita paling sayang? 

Rumah besar, kereta cantik, baju baru atau wang ringgit? Ya semuanya itu kita perlu dalam kehidupan ini sekurang-kurangnya dalam bentuk asas. 

Ada kenderaan boleh memudahkan pergerakan kita. Nak berdakwah pun senang walaupun di wilayah yang jauh. Rumah pula untuk kita berlindung dari panas dan sejuk, mengelak dari kemudaratan.  Wang ringgit sudah tentu memberi peluang kepada kita untuk mendapat sesuatu bagi keselesaan hidup. Bagaimana hendak menderma kalau kita tiada wang ringgit. Maka benda-benda itu terlalu perlu. 

Soalnya berkongsi sebahagian dari harta-harta itu dengan orang atau pihak lain yang juga memerlukannya. Sanggupkah kita melakukannya?  

Bagi saya harta yang paling disayangi ialah nyawa kita. Nyawa adalah segala-galanya dalam kehidupan ini. Tiada nyawa tidak dinamakan seseorang itu hidup. Jadi wajar dan wajib kita tidak memudaratkan diri kita sehingga nyawa boleh terbang misalnya dengan memandu kenderaan pada had laju yang tidak mudah dikawal. Hari raya akan menjelang, peristiwa nyawa terbang ini sudah menjadi satu berita yang biasa saja semacam nyawa itu tidak berharga. 

Jika ada yang berfikiran bahawa itulah caranya mereka melepaskan harta yang disayangi maka orang itu telah menemui jalan yang tidak betul. Kehilangan nyawa itu bukan  hasil dari ketaqwaan kepada Allah. Malah ianya dilarang oleh Allah. Memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Jadi kalau nyawa merupakan harta yang amat disayangi bagaimana caranya untuk kita menfaatkan bagi mendapat keredaan Allah. Senang saja. Berjuanglah demi menegakkan agama walaupun ianya mengorbankan nyawa misalnya mempertahankan agama kita dari kacau ganggu musuh. 

Tapi jangan silap pula. Musuh ini bukan saja yang jelas terdiri dari bukan Islam yang membenci Islam tapi juga termasuk yang Islam yang tidak percaya dan mahu melaksanakan syariat Islam. Tentanglah mereka habis-habisan walaupun nyawa kita terancam.

Namun apa saja pun harta yang kita sayangi yang hendak kita menfaatkan , Allah saja yang maha mengetahui tujuan yang ada dalam hati kita. Yang nampak jelas ialah perlakuan. Manusia boleh lihat dan kita boleh lakukan berbeza dari hasrat yang tersimpan diadalam hati. Allah maha mengetahui dari semua dimensi, sudut, arah, lubuk, yang terzahir dan yang tersembunyi.

Kita sama-sama berdoa agar dalam bulan Ramadhan yang mubarak ini kita dapat melakukan yang terbaik untuk mendapat kebaikan dari Allah SWT. Sudah tentu asas kita dalam menafkahkan harta kesayangan itu  adalah ketaqwaan kepada Allah SWT. 

Bahan Rujukan: Tafsir Al-Azhar Juzu' 4 Karya Almarhum Prof. Hamka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan