1. Sebagai seorang Islam kita sentiasa berharap dan berdoa supaya sehingga ke penghujung hayat kita , kita adalah seorang muslim. Sudah tentu mahu menjadi seorang muslim yang baik. Dan kita mati sebagai seorang Islam.
2. Doa dan harapan adalah diantara ciri-ciri seorang muslim.
3. Kita berdoa untuk mendapatkan pertolongan dan bantuan dari pihak yang mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk membantu dan memperkenankan doa itu. Siapa yang mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk memperkenankan doa kita selain dari Allah SWT. Maka kita sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT.
4. Kita hidup mesti sentiasa mempunyai harapan walau dalam apa keadaan sekalipun. Kekuatan harapan ini membolehkan kita meneruskan kehidupan sehinggalah kita menemui ajal yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Harapan adalah musuh kepada kekecewaan dan putus asa. Mereka yang sentiasa ada harapan tidak akan kalah dengan ancaman kekecewaan atau kegagalan yang ditempuhi dan dialami. Mereka terus berusaha selagi hayat dikandung badan.
5. Itulah kekuatan seorang Islam.
6. Seorang muslim yang bergelumang dengan dosa-dosa jangan kecewa untuk mendapat belas ikhsan dari Allah. Jangan berputus harap untuk menjalani kehidupan sebagai muslim yang baik selagi kita masih bernafas. Hidup masa lalu yang penuh dosa tidak wajar menafikan kita untuk terus hidup selagi ajal belum menjemput kita. Cuma hidup yang berbaki itu kita menfaat sepenuhnya dengan meninggalkan segala kekejian lalu dengan satu keyakinan untuk melakukan apa yang diperintah Allah.
7. Bahawa kita mesti yakin pintu taubat terbuka luas untuk kita. Memohon belas ikhsan dari Allah yang maha pengampun dan yang maha mengasihani, dan kita yakin akan sifat Allah itu dalam setiap saat permohonan keampunan kita itu. Menyesal akan kekejian yang telah dilakukan dan kita berjanji dengan memohon kekuatan Allah bahawa kita tidak akan melakukan lagi perbuatan yang keji yang dilarang oleh Allah SWT.
8. Maka doa kita adalah untuk memenuhi harapan supaya hidup yang berbaki itu mendapat keredhaan dan barakah dari Allah. Tinggalkan kisah lama. Kisah lama hanya untuk kita ingat sebagai kekuatan untuk kita memohon keampunan dan taubat dari Allah. InsyaAllah, doa kita akan diperkenankan. Kita mesti yakin.
9 Sentiasalah ingatkan Allah dan menghubungkan Allah dalam setiap apa yang hendak dilakukan, yang terzahir dan tersembunyi. Dengan yang demikian kita sentiasa akan terpimpin dan terhindar dari melakukan perkara yang dilarang.
10. Dan jangan lupa hubungan kita sesama manusia kerana masing-masing kita ada hak dan tanggungjawab terhadap satu dengan yang lain. Sentiasalah berdoa untuk kesejahteraan hidup bersama di bumi Allah ini kerana itulah yang menjadi harapan hidup seorang manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan