Pukul10.30 pagi terima SMS dari anak memaklumkan hari ini 14 Syaaban 1433 adalah ulang tahun genap dua tahun usia anaknya Yousef Imran.
Ah rupanya saya seperti ramai masyarakat Melayu Islam yang lain tidak langsung memberikan kedudukan yang baik kepada tahun Islam berbanding tahun masehi dalam semua hal termasuk berkaitan memperingati ulang tahun kelahiran. Yang menjadi rujukan dan sentiasa diingati oleh saya ialah bulan Ramadhan dan bulan Syawal. Kadang-kadang teringat juga bulan Syaaban kerana ianya sebelum bulan Ranadhan. Teruk sungguh saya ni.
Dalam menjalani kehidupan harian saya tidak pernah merujuk kepada tarikh menurut kalender Islam. Justeru semua aktiviti atau apa saja yang memerlukan ingatan bagi mengukur perjalanan masa rujukan saya hanya kepada tarikh dalam tahun masehi. Amat malang sekali.
Sebab itulah ulang tahun kelahiran yang ke dua cucu pertama saya itu tidak termasuk dalam ingatan saya jatuhnya pada hari ini. Yang saya ingat ianya akan berlaku pada 26 Julai 2012 yang akan datang ini.
Namun pada hari ini saya mengambil peluang mendoakan agar Yousef Imran diberi kesihatan tubuh badan dan akal fikiran, membesar dengan mendapat didikan dan bimbingan untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa taat kepada Allah dengan melakukan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang; dan menjadi anak yang soleh dan berguna kepada diri sendiri, masyarakat dan negara. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan