Jumpa dengan kawan lama. Asalnya dulu kawan saya tu seorang jurutera jalan di Jabatan Kerja Raya. Tapi membuat keputusan untuk bersara awal sebelum sampai umur 40 tahun untuk mencebur dalam bidang pembinaan.
Kawan saya tu ada sebuah syarikat pembinaan kelas D bertaraf Bumiputera .
Pada awal kegiatannya dulu, katanya peluang untuk mendapat kerja adalah baik kerana ada banyak projek walaupun kadang-kadang terpaksa melalui berbagai liku-liku yang amat perit dan sakit hati malah yang dia benci. Tapi sebagai kontraktor, dia tidak boleh meneruskan ciri-ciri sebagai penjawat awam. Banyak jalan yang berlobang dan banyak selekoh yang perlu dilalui. Ada masanya tergelincir dan terbabas.
Maknanya sebagai kontraktor tidak ada jalan yang lurus. Ada lobang, selekoh dan bengkang bengkok pula. Yang inilah perlu ada seni untuk menguruskannya, jika mahu terus bernafas. Dan dia sudah belajar semuanya itu.
Bagi dia , sistem untuk mendapatkan kerja tidak penting. Apa saja kaedah yang dilakukan bagi menawarkan sesuatu kerja misalnya melalui tender/sebut harga terbuka, design and built, runding harga, cabut undi dan sebagainya adalah sama saja. Tidak langsung memberi makna. Yang bermakna kepada kontraktor ialah bagaimana untuk mempunyai peluang yang besar untuk mendapat kerja.
Bagaimana caranyanya? Mesti banyak bergaul dengan orang-orang tertentu dan dapatkan maklumat yang tepat tentang kehebatan seseorang itu dari segi pengaruhnya dengan seseorang yang mempunyai kata putus tentang sesuatu kerja. Tapi awas banyak orang akan mengaku menjadi seseorang yang boleh 'carry' dan tunjuk jalan. Jadi untuk benar-benar mengetahui orang yang sedemikian ianya bukan perkara mudah. Dan bukannya tiada kos. Silap-silap kerja tidak dapat, kos sudah hangus.
Tapi kalau tidak turut cara begitu maka kena tutup kedai lebih awal.
Seni untuk mengenal dan mencari seseorang itulah sebenarnya yang mesti dikuasai. Mesti mahir dalam hal itu. Bukan lah kemahiran dalam menyusun pasukan pengurusan projek, mempunyai pekerja yang terlatih, dan kemampuan teknikal yang lain. Atau menawarkan harga yang terbaik yang kompetitif.
Prosedur-prosedur perolehan itu seperti tender adalah hanya untuk memenuhi keperluan rasmi saja, sebagai rekod untuk penelitian audit. Ia tidak mempunyai pengaruh yang besar.
Kawan saya itu masih lagi dapat survive. Cuma ketika ini katanya projek terlalu kurang tidak seperti biasa khususnya pada tahun 2008. Ketika itu banyak projek 'turun'. Ada kontraktor yang tak cukup tangan. Sekarang dia hanya menyiapkan projek yang masih berbaki yang diperolehi melalui aplikasi seni yang dinyatakan diatas. Dia tidak silap dalam mengenalpasti seseorang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan