Theflowersellingboy

Khamis, 5 Julai 2012

Penjawat Awam : Selagi Mendapat Perkenan Orang Politik Yang Berkuasa.......Anda Selamat

Isu KPPA - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam adalah diantara isu hangat yang mendapat liputan berbagai media dalam beberapa hari ini. Isu ini penting kerana jawatan KPPA itu adalah jawatan utama  dalam struktur organisasi perkhidmatan awam. Isu KPPA  menjadi kontroversi kerana pengosongan jawatan mendahului tarikh matang penjawatnya. 

Berita awal mengatakan penjawatnya bersara. Kemudian penjawat membuat kenyataan akhbar bahawa beliau sedih kerana perkhidmatannya ditamatkan. Dalam bahasa basahan atau bahasa pasar 'dia kena berhenti kerja'. Inilah yang lebih menghangatkan kesah KPPA ini. Maka timbullah berbagai reaksi. Ada yang bersimpati, ada yang berkecuali dan ada yang menyokong dan mengatakan tindakan memberhentikan itu sebagai wajar, tiada unsur kezaliman.

Saya sudah maklum akan berita ini dua tiga hari yang lepas dari laporan berbagai media. Berita ini langsung tidak menjentik hati, perasaan dan sanubari saya. Ianya satu perkara biasa yang telah diterima. Otak kepala saya pun sama juga dengan mudah menerima berita ini sesuatu yang terlalu biasa. Tiada yang luar biasa, melainkan biasa saja, dari dulu sehingga sekarang. Mungkin berterusan ke masa hadapan.

Secara peribadi saya mengenali Tan Sri Hj Abu Bakar itu. Kami pernah berkhidmat dalam sebuah kementerian yang sama.  Beliau berperwatakan baik dan kelihatan mempunyai potensi untuk meningkat lebih tinggi lagi. Itu gambaran pada tahun 1990an.

Mengapa pula saya tidak sensitif dengan peristiwa ini, sedangkan saya mengenali beliau? Sekurang-kurangnya turut menyatakan pandangan sebagai salah seorang bekas penjawat awam?

Mulanya begitulah kerana seperti yang saya katakan diatas tadi, peristiwa semacam ini adalah sesuatu yang terlalu biasa yang berlaku keatas penjawat awam. Tan Sri Abu Bakar bukanlah orang yang pertama menerima layanan seperti itu. Telah ramai mendahului beliau. Cuma dulu kurang hebuh atau kalau ada berita pun tiada pihak yang ambil 'pot'.  'Biasalah, kita kan telah berikrar "Saya Yang Menurut Perintah". Itulah respons biasa yang datangnya dari penjawat awam apabila berlaku peristiwa semacam ini.

Pandangan dan cerita saya tentang penjawat awam dan isu pemberhentian KPPA ini adalah begini: 

Pertama saya ingin menyatakan rasa dukacita diatas apa yang telah berlaku keatas KPPA itu. Simpati saya bukan kerana atas dasar peribadi tapi atas dasar konsep bertanggungjawab. 

Kedua, penyingkiran yang dikenakan kepada penjawat awam bukanlah setakat melihat pemberhentian kerja saja. Penyingkiran itu mestilah dilihat dalam berbagai bentuk yang membawa kepada kehilangan faedah kewangan dan menjatuhkan moral/maruah/air muka serta motivasi kerja penjawat itu. Misalnya penyingkiran dalam bentuk turun pangkat atau dibekukan kenaikan pangkat, dimasukkan kedalam 'pool' dengan diberikan sebuah meja dan sebuah kerusi tanpa ada tugas , ditukar dari jawatan penting kepada jawatan kurang penting, ditukar tempat kerja yang berbentuk menghukum, dan langkau melangkau jawatan, antara bentuk penyingkiran yang biasa terjadi.

Saya percaya sebahagian besar dari kita sudah tahu cerita seperti ini. Dan seperti saya, tiada seorang pun yang ambil 'pot'. Tiada orang yang ambil peduli.

Saya tidak mengatakan tindakan hukuman seperti diatas itu tidak wajar diambil. Jika dibuktikan benar penjawat itu bersalah, maksud saya diberi peluang untuk di dengar dan dibicarakan secara adil dan saksama, tindakan yang sesuai wajib diambil bagi menghukum penjawat itu.

Apa yang tidak betul dan tidak bertanggungjawab ialah apabila penyingkiran itu dilakukan atas keperluan selain dari mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dari penjawat awam itu demi kebaikan negara.

Maknanya penjawat awam yang memberikan perkhidmatan yang terbaik tidak semestinya terlepas dari hukuman disingkirkan. Ada keperluan yang lain mengatasi  keperluan memberikan perkhidmatan terbaik untuk negara. 

Ukuran dari segi watak dan peribadi yang unggul, kemampuan menjalankan tanggungjawab, potensi mengembangkan bakat serta kepimpinan, dan ketaatan kepada negara belum lagi mencukupi untuk menjamin penjawat awam itu dari tidak disingkirkan.

Apa yang kurang? Apa yang tidak cukup? 

Yang kurang dan yang tidak cukup itu adalah perkenan. Kalau tiada perkenan atau kalau yang berkuasa itu tidak berkenan atau dulu berkenan tetapi sekarang tidak lagi berkenan maka penjawat awam itu mesti bersedia menerima risiko singkiran. Kedudukan penjawat awam hanya akan selamat selagi ada perkenan. 

Jadi apakah watak dan keperibadian yang baik, kemampuan menjalankan tanggungjawab, potensi mengembangkan bakat dan kepimpinan, dan ketaatan kepada negara itu tidak penting? Sudah tentu ciri-ciri itu penting. Tetapi ciri-ciri itu adalah sangkutan saja. Bukan ciri-ciri yang memegang. Dan jika tidak disangkutkan dengan  ciri utama iaitu mendapat perkenan ianya tidak boleh berdiri dengan sendiri. Dia akan jatuh kerana tiada yang memegang.

Sebab itulah telah terpakai sejak lama lagi dalam perkhidmatan awam perkataan 'acceptability' dalam perlantikan seseorang itu bagi menjawat sesuatu jawatan yang utama dan penting misalnya KSN, KSU dan Ketua Pengarah termasuklah KPPA. Lebih tepat lagi 'political acceptability'. Saya terjemahkan sebagai perkenan politik.
 
Maka anda hanya boleh bermimpi-mimpi mengidam  jawatan seperti yang dinyatakan diatas dan yang setaraf dengannya atas dasar kekananan, peribadi dan watak yang terpuji, cekap dan amanah menjalankan tanggungjawab dengan prestasi kerja yang terbilang dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada perkhidmatan dan negara. Secara sedar pula anda mesti ingat adakah anda boleh dapat perkenan. 

Anda mesti juga menerima kenyataan bahawa perkenan itu tidak kekal sifatnya.

Dengan cara ini anda tidak mudah rasa kecewa untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Jangan berasa sedih jika anda diberhentikan apabila tarikh perkenan itu telah luput.

Jadi kemahiran yang paling penting yang perlu ada pada anda penjawat awam ialah bagaimana untuk mendapat perkenan itu. Atau macam mana penjawat awam itu boleh membuatkan tuan politik sentiasa tertarik pada dirinya dan lantas berkenan. Caranya perlukan berbagai kreativiti. Tapi kreativiti itu hendaklah mengarah kepada menjaga kepentingan tuan politik itu. Itu matlamatnya. Caranya bukan sesuatu yang penting. Maknanya ada prinsip-prinsip perkhidmatan dan norma-norma professional dikorbankan.

Merujuk kepada hukum kena berhenti KPPA itu,  berita yang saya perolehi menyatakan bahawa beliau diberhentikan berpunca dari SBPA. SBPA yang terpaksa di mansuhkan itu telah memberi malu kepada Kerajaan. Kerajaan yang di ketuai oleh DS Najib sebagai PM.

Ada juga berita mengatakan beliau diberhentikan dibawah tindakan disiplin. Saya tidak pula mendapat perincian bentuk kesalahan disiplin yang telah dilanggar oleh beliau.

SBPA terpaksa dibatalkan dan kerajaan yang diketuai oleh PM DS Najib dapat malu. Jatuh air muka. Air muka seluruh anggota kabinet yang menerajui kerajaan jatuh. Anggota kabinet itu adalah tuan politik kepada penjawat awam.

Penjawat awam, dalam hal ini sasarannya adalah KPPA. KPPA  adalah orang yang memberi malu kepada PM dan kabinet. KPPA tidak menjaga kepentingan PM dan kabinet. Jadi sampai masanya tempoh perkenan itu ditamatkan. Maka kena berhentilah dia.

Itu cara penyelesaian orang politik dalam apa saja isu dan masalah. Mereka tidak mahu berkongsi tanggungjawab. Mereka juga tidak mahu berkongsi kejayaan.

KPPA bukan ada kuasa meluluskan SBPA. Beliau seorang saja tidak mampu membuat cadangan SBPA. Perincian-perincian cadangan itu dilakukan dalam berbagai peringkat pegawai dan Kementeria/Jabatan. Benar, beliau yang bertanggungjawab mengemukakan draft cadangan dalam mesyuarat jawatankuasa bagi membincangkan SPBA itu. Saya percaya KSN dan KSP tidak dibiarkan begitu saja tanpa ada perbincangan sebelum dibawa ke mesyuarat jawatankuasa.  Jawatankuasa yang di pengerusikan oleh PM itu sudah tentu membincangkan kertas cadangan SPBA itu dengan terperinci dan mendalam sebelum di bentangkan dalam kabinet. 

Saya katakan perbincangan yang tererinci dan mendalam kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang besar dan masa depan negara dari segi mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dari anggota perkhidmatan awam.

Di mesyuarat kabinet sekali lagi SBPA dibincangkan untuk membuat keputusan secara kolektif. Adakah kabinet berbincang secara cincai? Saya rasa sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, perkara itu tidak akan berlaku.

Apabila SBPA itu mendapat tentangan sebahagian besar penjawat awam khususnya diperingkat menengah dan rendah yang merupakan majoriti kerana tidak adil dari segi kenaikan gaji berbanding dengan peringkat tinggi maka mahu tidak mahu kerajaan membatalkan SPBA kerana risiko politik terlalu besar. 

Jadi siapa yang kena tunjuk? Jari mana yang membuat tudingan?

KPPA, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mesti ambil tanggungjawab diatas perbuatannya yang mencadangkan SBPA. 

Siapa yang meluluskan? Kabinet. 'Tapi kabinet bergantung kepada cadangan hasil dari kajian penjawat awam', alasan yang terbaik agaknya yang digunakan bagi menepis jari yang mununjuk kearah kabinet.

Mengapa pula cadangan itu diterima dan diluluskan?  Adakah kabinet tidak ada kuasa menolak, atau membuat pindaan atau perubahan keatas cadangan itu?  Sudah tentu kabinet boleh melakukannya.

Adakah kabinet tidak faham dengan apa yang dicadangkan. Dan tidak sedar akan kepincangan yang melampau yang akan wujud dari segi gaji diantara peringkat tertinggi dan rendah dikalangan penjawat awam?

Saya tidak yakin anggota kabinet tidak faham dengan cadangan yang dikemukakan. Mereka bukan sebarang orang. Mereka mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan.

Saya tidak tahu apa jawapan yang betul mengapa SBPA yang pincang itu diluluskan oleh kabinet. Hanya saya cuba meneka bahawa ahli kabinet itu ada kepentingan. 

Katakan lah SBPA ini diluluskan , maka ianya satu alasan yang terbaik untuk kerajaan mencadangkan agar gaji dan elaun menteri/timbalan menteri dan yang setaraf dengannya termasuklah elaun wakil rakyat dinaikkan. Dinaikkan pada tahap yang sebanding dengan kenaikan gaji dan elaun penjawat awam di peringkat tinggi. 

Bukankah ada cadangan untuk menaikkan elaun wakil rakyat tetapi tidak diteruskan kerana menadapat tentangan dari pihak pembangkang? Cuba fikirkan kaitan dengan SBPA.

Cuma kabinet tidak menyangka berlakunya penentangan dari penjawat awam diperingkat rendah disebabkan jurang gaji yang besar. Sebab ada kemungkinan gaji penjawat awam peringkat rendah tidak  menarik untuk di tinjau.

Itu hanya tekaan saya saja.

Akhirnya yang mencadang SBPA kena ambil tindakan. Seorang saja pula. Yang meluluskan lepas bebas dan boleh pula menghukum memberhentikan kerja pegawai yang membuat cadangan. Pelik tak?

Apa prinsip yang dipakai? Bertanggungjawab? Saya jawab sesungguhnya tidak bertanggungjawab. Sepatutnya semua yang terlibat mengambil tanggungjawab. Jika KPPA diberhentikan, KSN dan KSP dan pegawai utama yang lain yang terlibat mesti diambil tindakan. Seluruh anggota kabinet kena berhenti. Itulah yang dikatakan berkongsi tanggungjawab.

Menteri meletakkan jawatan atas rasa tanggungjawab tidak akan berlaku di Malaysia. Jika berlaku ianya sesuatu yang luar biasa.

Penjawat awam diberhentikan kerana menteri tidak berkenan adalah suatu perkara biasa. Jangan merasa hairan. TS Abu Bakar jangan  bersedih. Siapalah kita. Kita hanya penjawat awam yang talian hayat terletak pada perkenan orang politik yang berkuasa.

Namun dalam pilihanraya kita boleh bertanya kepada mereka . Siapalah kamu tanpa saya.
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan