Theflowersellingboy

Khamis, 19 Julai 2012

Demam Panas dan Antibiotik

Hari ini hari yang ke sepuluh cucu saya Ahmad Naqib yang dipanggil Akib saja mengdidap demam panas. Panasny masih lagi tidak hilang. Disiang hari bermula dari pagi hingga senja panasnya menurun. Tapi selepas itu disebelah malam panasnya meningkat dan dia semacam meracau menyebut perkataan-perkataan kegemarannya seperti lori dan aie (air). Kami sekeluarga amat risau keadaannya itu.

Mulanya kami sekeluarga pulang ke Melaka untuk mengemas dan membersih rumah dan kawasan sekitar yang telah ditinggalkan semenjak menjaga Akib di Putra Jaya. Rumah terlalu kotor dan berhabuk. Tahi-tahi cicak bertaburan dan bersepah diatas lantai disemua ruang rumah. Dikawasan luar rumah, rumput liar tumbuh dengan subur dan sampah yang terdiri dari daun-daun kering serta pelepah kering  pokok pinang dan kelapa merah bersepah menyemakkan mata memandang. Maka kami semua bekerja keras membersihkan dalam dan luar rumah.

Terlalu banyak habuk dalam ruang  rumah. Saya menutup hidung dan mulut agar habuk itu tidak masuk kerongga badan bagi mengelakkan serangan lelah dan bersin. Alhamdulillah, setelah selesai kerja, tiada lelah dan tiada bersin.

Disebelah petang nenek mencadangkan supaya dua orang cucunya dihibur dengan mandi di 'kolam renang' plastik yang telah dibelinya dulu. Maka berseronoklah dua orang cucunya Yousef (yang dipanggil asyerf) dan Naqib bermain air simbah menyimbah badan masing-masing. 

Pada waktu itu, nyamuk terlalu banyak dan besar-besar belaka menyerang kami semua termasuk asyerf dan akib. Maka dibakarlah ubat penghalau nyamuk. Tapi nyamuk terlalu degil tidak mahu lari sebaliknya terus menyerang. Mungkin nyamuk itu telah lama tidak berjumpa mangsanya.

Kami semua memberi perhatian penuh agar asyerf dan akib tidak digigit. Tapi gagal. Kedua-duanya menerima gigitan nyamuk. Yang paling teruk akib , kena empat liang gigitan. Kulit akib terlalu sensitif menyebabkan gigitan itu mudah kelihatan dan kawasan gigitan itu sedikit membengkak.

Kami tidak tidur di Melaka tapi balik ke Putra Jaya. Keesokan harinya akib mula demam.

Kami amat risau sekali kerana khuatir kesan gigitan nyamuk yang mungkin menyebabkan akib demam. Bertambah risau jika gigitan dari nyamuk aedes. Semua susah hati. 

Tapi tanda-tanda demam denggi tidak ada. Naqib di bawa ke klinik dan diberi ubat demam. Demamnya tidak juga pulih. Suhu badan panas. Panas makin bertambah disebelah malam. Maka selain dari ubat demam kami juga menjaram Naqib dengan membasahkan kain dan mengelap anggota badannya terutama dibahagian kepala.

Begitulah keadaan Naqib dari hari ke hari. Setelah masuk hari yang ke tujuh, demam naqib masih lagi sama maka mama naqib memutuskan untuk mengambil darah naqib untuk melihat bacaan darahnya. Kami semua merasa lega apabila bacaan darah naqib itu tidak menunjukkan tanda-tanda demam denggi.

Tapi kenapa demam panas naqib tidak juga pulih? Tanpa apa-apa kepakaran perubatan saya mencadangkan supaya akib diberikan antibiotik berdasarkan pengalaman sendiri. Tanpa antibiotik , sakit yang saya idapi seperti demam tidak akan pulih. Tapi mama naqib seorang doktor perubatan tidak bersetuju dengan alasan tidak baik untuk anak kecil seperti naqib yang baru berumur setahun lebih.

Jadi bagaimana cara untuk memulihkan demam naqib itu? Sudah dua kali ujian darah dibuat. Kedua-duanya tidak menunjukkan tanda-tanda demam denggi. Sudah banyak kali berulang alik ke klinik termasuk klinik pakar kanak-kanak. Makan ubat menurut seperti yang ditetapkan. Tapi keadaannya sama saja.

Pagi ini saya dan isteri berpakat untuk mendapatkan rawatan alternatif. Rawatan perubatan Islam di Darul Shifa di Bangi. Kami ke Bangi setelah memaklumkan kepada mama Naqib tujuan kami itu. Mama naqib tiada halangan cuma meminta kami segera balik kerana dia bercadang untuk berjumpa doktor pakar di kliniknya. Naqib juga akan menjalani x-ray untuk melihat keadaan paru-parunya sama ada ada jangkitan kuman.

Di Darul Shifa, ustaz yang merawat membaca sesuatu pada air mineral yang telah dibuka tudungnya. Naqib menangis. Ustaz membaca sesuatu dan menghembus kepala Naqib.

Saya lihat bahawa Naqib sekarang terlalu takut untuk diambil atau dipegang oleh seseorang selain dari kami yang serumah dengannya. Ia semacam fobia. Mungkin disebabkan sudah dua kali darahnya diambil. Jadi sesiapa saja yang asing dianggap sebagai orang yang 'menyakitkannya'.

Kami ke Putra Jaya semula untuk berjumpa pakar di klinik Precint 9. Malang sekali alat x-ray di klinik itu sedang di senggara. Jadi x-ray tidak dapat dilakukan ke atas Naqib. Terpaksa datang esok. Tapi doktor memberi antibiotik.

Saya tidak pula bertanya kenapa doktor beri antibiotik sedangkan ianya tidak sesuai untuk anak kecil. Mungkin doktor itu telah begitu pasti bahawa antibiotik yang diberi itu tidak akan mendatangkan kesan yang kurang baik. Dia doktor pakar sudah tentu tahu apa yang dilakukannya.

Ya, yang penting Naqib akan sembuh. Malam ini jam 8 Naqib akan diberi antibiotik selain ubat demam. Semoga Allah SWT perkenankan doa kami semua agar Naqib sembuh dari demam panas itu. Amin.
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan