Hari esok kita rakyat Malaysia beragama Islam mula berpuasa. Malam ini kita mulakan solat terawih.
Begitulah ketentuan dari Allah SWT yang perlu kita lakukan apabila sampai bulan Ramadhan. Kita telah melakukannya setiap kali datang Ramadhan. Kita yang masih dapat berulang kali melakukan setiap tiba Ramadhan sudah tentu rasa bersyukur kerana pada bulan ini kita telah dijanjikan Allah SWT dengan berbagai peluang untuk mendapat balasan yang baik. Semakin banyak perlakuan kita yang baik semakin banyak balasan baik yang akan kita terima, berlipat ganda dari bulan-bulan yang lain. Sudah tentu perlakuan kita itu adalah kerana mentaati perintah Allah SWT. Tidak ada tujuan lain dari itu.
Bagi yang sihat tubuh badan dan akal fikiran sudah tentu dapat melakukan ibadat dalam bulan Ramadhan ini melebihi dari orang yang sakit dan uzur. Sepatutnya begitulah. Kalau tidak rugilah kerana keupayaan dan kemampuan yang ada tidak dimenfaatkan seoptima yang mungkin demi mendapat habuan yang dijanjikan Allah SWT. Bagi yang sakit dan uzur, banyak bersabar dalam melaksanakan perintah Allah ini. Mudah-mudahan sakit dan uzur itu akan sembuh segera.
Pada solat Jumaat tadi , pihak masjid tempat saya berjemaah telah mengumumkan berbagai progaram sebagai pengisian dalam bulan Ramadhan al-mubarak ini. Selain dari solat Terawaih dimaklumkan juga program-program tazkirah, tadarus al-quran dan lain-lain lagi. Msjid ini akan melaksanakan Solat terawaih 20 rakaat dan witir tiga rakaat. Jika pada hari-hari tertentu ada ceremah/tazkirah terawih dipendekkan menjadi lapan saja.
Para jemaah juga akan dihidang dengan jamuan berbuka puasa dan moreh. Harap-harap semua anak kariah dapat memakmur dan mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadhan dan meneruskannya pada bulan-bulan yang lain.
Saya sekeluarga akan turut bersama, InsyaAllah.
Pagi tadi sewaktu ke pasar, kelihatan bilangan pengunjung lebih ramai dari hari biasa. Barang-barang yang dibeli banyak juga terutama bahan-bahan untuk dijadikan lauk pauk dan sayuran. Saya percaya sebahagiannya adalah bertujuan untuk dijadikan makanan untuk bersahur.
Kebetulan pada hari ini adalah hari pasar tani di Precint 2. Maka ramailah orang yang datang membeli untuk keperluan berpuasa. Sebahagian besar adalah terdiri dari penjawat-penjawat awam. Nampak gaya mereka membeli sakan.
Bazar Ramadhan belum bermula. Esok dijangka akan dibuka. Jadi kepada mereka yang tidak ada masa untuk menyediakan keperluan berbuka dan bersahur, bazar ramadhan amat membantu sekali. Cuma jangan beli terlalu banyak mengikut perkenan mata dan hiduan hidung. Semua berkenan dan cantik dimata. Semuanya mempunyai aroma menarik selera. Nafsu sudah tentu sedia bersetuju. Beli banyak-banyak kerana dah lama berlapar. Semuanya sedap belaka.
Bukan tahun ini saja. Tahun-tahun terdahulu pun begitu. Banyak beli dari makan. Akhirnya membazir. Bukan saja membazir wang bahkan membazir ibadat kerana kita berpuasa hanya untuk menahan lapar saja. Buktinya, bila berbuka, kita beli banyak makanan bag melayan nafsu lapar kita itu.
Harap-harap tahun ini amalan kita lebih meningkat dari tahun-tahun sebelumnya. Satu dari caranya ialah jangan membazir makanan untuk melayan selera yang lapar.
Selamat Berpuasa semoga puasa kita sentiasa diterima dan diberkati Allah SWT. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan