Pagi tadi telah terjawab siapa yang terhandal dalam arena bolasepak di negara-negara Eropah. Spain menewaskan Italy dalam bilangan gol yang mewah sekali 4 gol tanpa balas. Hebat sungguh pemain-pemain Spain ini yang berjaya menewaskan pemain Italy yang 'bukan kecik anak'.
Sebelum perlawanan ramai kaki-kaki teka bola membuatkan berbagai tekaan. Ada tekaan berbentuk judi, maknanya kalau betul dapatlah untung dan jika sebaliknya hilanglah wang yang dipertaruhkan; ada tekaan suka-suka hati saja yang berdasarkan lebih kepada minat keatas sesuatu pasukan; dan ada tekaan dari mereka yang dikatakan pakar dalam bolasepak yang lebih mesra dipanggil sebagai ramalan atau 'prediction' dengan menggunakan pengetahuan/kepakaran masing-masing dalam hal bola sepak dengan meninjau dari segi pemain, formasi, strategi dan angkubah-angkubah yang lain.
Diantara tiga kumpulan peneka ini yang paling selesa ialah peneka kumpulan ketiga. Mereka ini dikatakan orang-orang professional yang dipanggil untuk berbicara memberikan pandangan dan ramalan keputusan perlawanan itu sebelum perlawanan bermula, dan kemudian diajak membuat analisis sebaik saja tempoh perlawanan itu habis sama ada sebahagian dari tempoh atau sepenuh tempoh.
Dan jika ramalan mereka tidak tepat atau tidak betul kita akan dengar bebagai sebab diutarakan mengapa jadi begitu iaitu mengapa ramalannya tidak sama dengan keputusan. Biasanya yang dipersalahkan ialah pemain atau jurulatih. Predictors tadi terlepas dari kritikan. Lain kali mereka akan dipanggil untuk membuat ramalan. Mesti dibayar. Sebab mereka orang professional. Jadi salah atau betul ramalan mereka , mereka tetap menerima bayaran.
Cuma satu hal yang ketara ialah bahawa kesemua kumpulan peneka tadi tidak dapat memberi jawapan seperti yang telah dilakukan oleh seekor sotong yang bernama Paul semasa Piala Dunia yang lepas di Afrika Selatan. Semua ramalan atau tekaannya tepat. Ingat Paul adalah seekor binatang !
Pada Euro 2012 juga, pernah satu kali saya tertonton dalam satu siaran sukan di tv yang memaparkan seekor babi membuat ramalan seperti mana yang telah dilakukan oleh Paul sisotong itu. Pada siaran itu kalau tidak silap saya babi itu telah membuat tekaan yang betul perlawanan diantara German dan Greece. Babi itu telah memilih makanan yang dihidangkan dalam pinggan berlogokan negara German.
Selepas itu saya tidak pula mendengar apa-apa tekaan yang telah dilakukan oleh sibabi itu. Mungkin tekaannya tidak menjadi sebab itu tidak diberitakan lagi. Kalau menjadi sudah tentu di heboh-hebohkan. Maklumlah babi. Mungkin babi itu telah mati? Ini tidak mungkin kerana jika babi itu mati beritanya sudah tentu mendapat liputan yang paling meluas dengan tajuk antaranya, "Malang Sekali Sibabi Peramal Bijak Telah Tiada Untuk Membimbing Kita".
Tak kesahlah hal teka meneka itu. Sekarang keputusan telah diketahui. Spain 4, Italy 0. Saya hanya tahu pada pukul lapan pagi tadi kerana tidak menonton secara langsong. Saya lebih meraikan mata dari menonton bola sepak kerana tidak sanggup berjaga dari pukul 2 pagi sehingga tamat permainan.
Tahniah kepada Spain. Malaysia bila agaknya. Bukan juara Euro tapi juara Asia pun sudah cukup. Sebab kita pun tak layak bersama Euro.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan