Kalau roboh kota Melaka
Papan di jawa kami dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Nyawa dan badan kami serahkan.
Mesej pantun diatas jelas sekali. Ia merupakan janji: Kalau sungguh bagai dikata ianya mesti dikotakan. Janji mesti ditepati. Janji tidak boleh dimungkiri.
Kerana yakin dengan kesungguhan apa yang dikata akan dikotakan maka seluruh tenaga, anggota badan akan digerak dan digunakan ke arah menjayakan sesuatu matlamat waemah sanggup berkorban nyawa sekali pun.
Rengkasnya pantun diatas membawa mesej 'janji dan pengorbanan'.
Orang yang berkasih sayang, orang yang dalam mabuk cinta tidak pernah gagal menyatakan kesungguhan kasih sayang dan percintaan mereka. Kesungguhan itu dipupuk dan dibaja dari masa ke semasa sehingga melahirkan janji-janji. Janji untuk sehidup semati. Janji untuk bersama menjalani kehidupan dalam sebuah rumah tangga. Sebuah rumah tangga yang diimpikan sebagai yang terbaik.
Setelah yakin dengan kesungguhan dan janji-janji itu maka pasangan yang berkasih sayang itu sanggup berkorban apa saja bagi menjayakan apa yang dihajati. Jika ada yang menghalang nyawa adalah sebagai penggalang ganti.
Begitulah teguh dan kuatnya pegangan keatas janji bagi mereka yang memadu kasih sayang. 'Jika sungguh bagai di kata, nyawa dan badan kami serahkan'.
Bagaimana pula janji mereka yang telah diberi kuasa untuk memimpin kerajaan?
Pertama, mereka berjanji untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Kedua, mereka berjanji untuk mewujudkan suasana negara yang aman.
Ketiga, mereka berjanji untuk sebuah negara yang rakyatnya bersatu padu.
Apakah itu kesejahteraan kepada rakyat? Kesejahteraan merangkumi segala aspek hidup yang boleh memberi keriangan, keceriaan, kebahagian, kemakmuran, kesentosaan, kebebasan (bukan kebebasan mutlak), keadilan, dan segala hal yang boleh menyenangkan rakyat termasuk persekitaran rakyat itu sendiri.
Maknanya kesejahteraan itu meliputi segala-galanya yang boleh melahirkan warga yang taat setia dan rasa bangga menjadi warga negara.
Soalan: Adakah ada mana-mana rakyat yang merasakan dianaktirikan atau mendapat layanan yang berbeza? Jika ada maka janji telah dimungkiri.
Suasana negara yang aman boleh dilihat dari segi kehidupan rakyat itu sendiri sama ada diancam, misalnya aktiviti dan pergerakan mereka; insiden jenayah dari berbagai bentuk; tangkapan dan tuduhan serta dakwaan tanpa asas dan bukti; dan berbagai lagi keadaan yang menekan kehidupan rakyat.
Soalan: Adakah rakyat tertekan dengan berbagai ancaman dalam penganjuran sesuatu aktiviti atau acara? Jika ada maka janji telah dimungkiri.
Rakyat bersatu padu ertinya terdapat kehidupan yang harmoni diantara rakyat yang berbeza dalam ari berbagai latarbelakang tetapi memberikan taat setia kepada negara.
Soalan: Adakah mana-mana rakyat yang sentiasa ungkit mengungkit perkara yang telah dipersetujiu bersama sehingga boleh menimbulkan kerenggangan dan pergeseran? Jika ada, itulah tanda kehidupan rakyat yang tidak harmoni. Maka sekali lagi janji telah dimungkiri.
Baik, kita telah paparkan janji-janji yang telah dibuat oleh kerajaan. Soalan-soalan pun telah ditanya untuk mendapat jawapan sama ada janji-janji itu telah dilunaskan.
Mereka yang memimpin sama seperti mereka yang berkasih sayang. Pemimpin kasihkan rakyat pimpinannya. Seorang kekasih sayangkan kekasihnya. Pemimpin dan kekasih tadi menunjukkan kesungguhan masing-masing dalam meyakinkan rakyat dan kekasihnya dengan menzahirkan janji-janji yang menyenangkan hati. Mereka sentiasa bersedia memberikan segala kerjasama dan pertolongan jika 'kalau sungguh bagai dikata', dikotakan, sehingga sanggup mengorbankan nyawa.
Tapi jika 'kalau sungguh bagai dikata', hanya tinggal kata-kata saja, kekasih yang sanggup berkorban apa saja itu termasuk nyawanya akan jadi kecewa, merana dan hilang percaya kepada kekasih yang mungkir janji itu. Ada yang mengambil tindakan membunuh diri.
Pemimpin yang mungkir janji juga akan menzahirkan rakyat yang kecewa, hidup perit terseksa dan hilang percaya.
Maka rakyat akan buat pilihan, pilih pemimpin yang lain yang boleh diyakini untuk diberi kepercayaan menerajui negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan