Theflowersellingboy

Sabtu, 3 Mac 2012

Tiada Pemberi Tiada Pengemis. Atau Tiada Perompak Tiada Pengemis.

Tiada Pemberi Tiada Pengemis. Itulah tajuk khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid tempat saya menunaikan fardhu Jumaat hari ini 2 Mac 2012. Mungkin di masjid-masjid yang lain di Wilayah Persekutuan mendengar khutbah atas tajuk yang sama.

Intisari dari khutbah atas tajuk itu ialah bahawa umat Islam digalakkan berusaha dari meminta-minta terutama orang yang mempunyai fizikal yang sempurna.  Secara keseluruhannya saya amat bersetuju apa yang telah disampaikan dalam khutbah itu. Tetapi khutbah itu tidak pula menyentuh tentang bagaimana cara untuk mengurangkan pengemis ini. Tidak juga menyentuh tentang tanggongjawab pihak yang berkuasa. Mungkin ruang masa tidak mencukupi. Tidak mengapa.

Kenapa kita perlu meminta sedekah? Mengemis di berbagai tempat dengan melakukan berbagai gaya untuk meraih simpati dan belas ikhsan . 

Ada yang berpakaian compang camping dan berbau busuk duduk diatas jambatan, ditepi-tepi kedai dan dimana-mana saja yang dikira sebagai tempat laluan orang ramai . Pilihan paling popular ialah di jambatan-jambatan berhampiran dengan stesyen bas atau teksi kerana terdapat ramai orang. Begitu juga di kaki-kaki lima kompleks perniagaan.

Ada yang menggunakan khidmat orang lain untuk membimbing tangan pergi dari satu meja ke satu meja dikedai makan atau restoran. Orang seperti ini biasanya memakai cermin mata hitam sebagai isyarat beliau adalah seorang yang cacat penglihatan. Ada juga yang benar-benar cacat penglihatan. Tetapi yang membimbing tangannya itu adalah orang yang segar bugar.  

Ada juga yang mengatakan mereka tidak kecukupan wang untuk tambang balik ke kampong kerana wang telah dicuri dan ada juga yang memohon bantuan kerana rugi dalam perniagaan dan berbagai lagi daya tarikan simpati dan belas ikhsan digunakan.

Yang paling terkedepan sekali ialah meminta bantuan/sedekah/sumbangan ikhlas bagi  tujuan pembangunan ummah misalnya untuk membina masjid/surau/sekolah agama , rumah anak yatim, menyambumg pelajaran agama dalam dan luar negeri , dan berbagai lagi. Sandaran yang digunakan bagi meyakinkan kita ialah surat-surat perakuan dari pihak-pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam setempat. Mereka ini mudah kita ketemu di tepi-tepi pintu bank, di perhatian-perhentian bas dan teksi, di kawasan rihat dan riadah di lebuhraya, dan di kompleks-kompleks perniagaan. 

Walaupun mereka meraih bantuan dan tidak sebagai peminta sedekah tapi bagi saya ianya juga satu bentuk minta sedekah atau kerja mengemis yang diubah suai. Lihat saja pakaian mereka. Lihat juga siapa yang terlibat. Lihat juga kaedah yang mereka gunakan.

Peminta sedekah atau pengemis seperti ini tidaklah berpakaian compang camping dan kotor. Malah penampilannya kadang-kadang melebihi kita yang berpakaian sederhana. Mereka ini terdiri dari anak-anak sekolah yang dianggarkan berusia 12 hingga 17 tahun. Berbeza dengan peminta sedekah yang lain, mereka menyediakan resit sebagai akuan penerimaan bantuan. Maka dengan cara ini boleh memberi keyakinan kepada orang untuk menghulurkan bantuan.

Apa pun cara dan gaya digunakan oleh golongan-golongan yang meminta sedekah/bantuan itu, gejala seperti ini wajarlah diberi perhatian oleh kita semua termasuk pihak berkuasa. Memang benar tidak kesemua dari peminta itu melakukan penipuan. Sesungguhnya mereka perlu dibantu. Mereka ini wajar di beri pertolongan. 

Tetapi saya kurang setuju mereka melakukan di khalayak ramai misalnya di jambatan-jambatan, dikaki lima, di pintu-pintu bank, di restoran dan di mana-mana tempat awam. Saya juga tidak bersetuju jika pihak-pihak berkuasa mengeluarkan surat sokongan atau perakuan kepada pihak atau orang perseorangan bagi tujuan mendapat bantuan.

Maksud saya ialah saya tidak bersetuju pengemis jalanan. Bermakna mereka yang perlukan bantuan/sedekah itu tidak perlu melakukan pengemisan jalanan. Tidak perlu menadah tangan atau meminta bantuan di tempaat-tempat yang dikatakan diatas tadi misalnya di jambatan. 

Jadi bagaimana kita boleh membantu mereka yang berkeperluan ini?

Dua pihak boleh memainkan peranan utama iaitu kita orang ramai yang bermurah hati ini dan Pihak Berkuasa yang bertanggongjawab untuk memberi kehidupan sejahtera kepada rakyat. 

Saya menyentuh dulu peranan pihak berkuasa yang bertanggongjawab.  Pihak-pihak yang bertanggongjawab seperti Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat misalnya mestilah mempunyai program bagi membantu mereka misalnya mengadakan tempat tinggal dan melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk melakukan pekerjaan tertentu. Soal kekurangan wang atau tiada wang adalah satu alasan yang tidak boleh di pakai. Negara kita amat kaya. Hasil kutipan zakat terlalu banyak. 

Apa bukti negara kita kaya? Buktinya ialah wang telah banyak disalah gunakan. Berapa banyak wang yang telah disalah urus yang menyebabkan kerugian. Jumlah kerugian berbilion seperti dalam kes kerugian syarikat MAS, pembelian peralatan tentera termasuk kapal selam, kes NFC, kerugian disebabkan pembinaan yang tidak sempurna seperti kes keruntuhan stadium di Terengganu dan banyak banyak banyak dan terlalu banyak sehingga tidak mencukupi ruang untuk di tulis. Pada zaman pemerintahan Mahathir saja telah di beritakan negara kerugian 100 bilion. Sungguh sedih dan menyakitkan hati. 

Sedih dan sakit hati sebab bilangan orang yang mengemis dijalanan semakin bertambah. Sedih dan sakit hati sebab anak-anak muda yang dahagakan pelajaran tidak mampu berbuat demikian kerana tidak punya wang yang cukup. Hendak belajar pun kena bayar. Bilangan yang dapat biasiswa semakin mengecil.  Gantinya ialah berhutang dengan PTPTN. Belum bekerja kena bayar hutang. Bebankan anak-anak muda yang baru saja mahu kenal kehidupan. 
Bukankah ini boleh menyusah dan memiskinkan rakyat? Kalau jadi orang miskin mereka kena minta bantuan. Kalau tiada bantuan maka mereka mula mengemis.

Macam mana pula dengan hasil zakat? Hasil zakat terlalu banyak. Buktinya kerana terlau banyak wang zakat disalahgunakan.

Jadi untuk melakukan tindakan menghapuskan pengemis jalanan ini adalah sesuatu yang mudah dan mampu dilakukan. Tidak perlu keluarkan surat akuan atau sokongan kepada mana-mana pihak yang perlukan bantuan.

Orang ramai juga walaupun berniat baik diharapkan tidak mudah memberi sedekah atau bantuan kepada pengemis jalanan ini. Pertama ada kemungkinan sebahagian dari pengemis itu melakukan penipuan. Kedua jika ada yang sanggup memberi maka untuk menghapuskan yang meminta adalah rumit sekali kerana kerja mengemis ini adalah satu pekerjaan yang mudah. Di Malaysia ini kerja ini menghasilkan pendapatan yang lumayan.

Yang penting bagi saya ialah kita semua mestilah menghapuskan perompak harta negara. Mereka inilah sebenarnya yang membuatkan sebahagian dari kita jadi pengemis. Memang benar jadi pengemis adalah satu perbuatan yang boleh menjatuhkan harga diri. Bagaimana pula mereka yang merompak wang negara? Bukan itu saja pandai pula berdalih. Kita panggil saja mereka ini......Maaf saya tidak jumpa perkataan yang sesuai. 

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan